Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

'Buah tangan' istimewa yang biasanya diterimanya mengiringi kehadiran orang baru dalam keluarga mereka kali ini terasa sedikit lewat hingga mendorong dia menyangka si suami mungkin terlupa.

Rupa-rupanya ia bukan dilupakan, sebaliknya bersebab.

Dan tanpa disangka Siti Sarah Raisuddin, dia mendapat kejutan lebih besar daripada suaminya, Shuib, apabila dihadiahkan sebuah rumah sempena kelahiran anak ketiga mereka.

Menerusi akaun Instagram, penyanyi yang selesa disapa Sarah, 32, itu berkongsi kegembiraan dengan peminat selepas memperoleh hadiah daripada suaminya yang juga pelawak dari kumpulan Sepahtu.

“Setiap kali aku melahirkan anak si suami pasti memberikan hadiah, tetapi pelik tahun ini sampai ingatkan ia tiada. Namun, dia akhirnya bagi sesuatu yang paling besar iaitu rumah.

“Syukur di bulan mulia ini dapat hadiah sebesar itu. Alhamdulillah @shuibsepahtu terima kasih cinta,” tulisnya.

Sarah mendirikan rumah tangga dengan Shuib - atau Shahmira Muhamad - pada 26 Februari 2011. Hasil perkongsian hidup berdua, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.

Percaya atau tidak, Sarah sebenarnya sudah lima tahun meninggalkan bidang seni suara.

Sekiranya diingat kembali, anak kepada bekas penyanyi dan pelakon popular tahun 1980-an, Raisuddin Hamzah, pernah hit dengan lagu Kesetiaan.

Malah pemenang tiga kategori Anugerah Industri Muzik pada 2003 itu pernah dilihat bakal bertahan lebih lama dan menjadi pelapis dalam dunia nyanyian.

RIndu aksi di pentas

Namun, hal itu tidak berpanjangan kerana dalam kamus hidup Sarah sudah tertulis takdirnya - dia kehilangan 'suara emas' sesudah melahirkan anak sulung.

“Saya menyedari kehilangan suara selepas melahirkan anak pertama. Saya hampir memiliki suara itu semula, namun ia hilang lagi sebaik hamil anak kedua.

"Keadaan itu berterusan hingga kelahiran anak bongsu.

“Walaupun banyak tawaran menyanyi datang saya tidak berani menerimanya kerana bimbang persembahan yang diberi tidak berbaloi dengan harga dibayar," katanya ketika ditemui media di The Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Menurut Sarah kehilangan suara yang dulu memang mengecewakan kerana berasakan satu daripada anugerah amat disayanginya tiba-tiba hilang.

"Rupa-rupanya Allah bagi nikmat amat besar, cuma saya tak sedar dan hanya begitu terasa selepas ia ditarik,” katanya.

Namun Sarah tidak mahu terus mendiamkan diri.

Menyedari suara itu kini kembali - selepas melahirkan anak ketiga - Sarah mengakui amat merindui untuk kembali beraksi di atas pentas.

Justeru dia bercadang mahu muncul dengan single terbaru - mungkin selepas menyambut Aidilifitri nanti.

Sebagai persediaan Sarah akan mengikuti kelas vokal untuk memantapkan suaranya semula.

“Saya bersyukur suara sudah kembali walaupun tidak sepenuhnya tetapi itulah yang diusahakan selama lima tahun ini.

“Suami juga amat memahami apabila dia sentiasa menyokong karier saya walaupun ia bermakna saya terpaksa berusaha dari bawah semula,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS