Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Celine menangis kenang bekas suami
Diterbitkan:  May 23, 2016 1:56 PM
Dikemaskini: 6:02 AM

Apakah kata-kata pujukan akhir Celine Dion sejurus sebelum suaminya menghembus nafas terakhir pada Januari lalu?

Penyanyi itu meyakinkan suaminya, Rene Angelil, bahawa semuanya akan baik-baik saja - sama ada kehidupan mereka, anak-anak, kerjaya dan semuanya.

Berkongsi saat akhir bersama, Celine, 48, berkata dia memujuk Angelil supaya bertenang dan tidak bimbangkan kehidupan isteri dan anak mereka selepas ketiadaannya.

"Kamu risaukan segala-galanya. Cukuplah. Adakah kamu mempercayai aku? Percayalah," katanya dalam program ABC News.

Pada ketika lain Angelil berkata kepada Celine: "Aku mahu mati di tanganmu."

Ia dibalas Celine: "Baiklah, aku akan ada bersamamu. Kau akan menghembuskan nafas terakhir di tanganku."

Penyanyi itu bertemu Angelil kali pertama pada 1980 ketika baru berusia 12 tahun dan bakal suaminya 38. Mereka bertemu secara tidak sengaja kerana Celine hadir untuk menyampaikan rakaman suaranya dalam lagu Ce n'etait qu'un reve (It Was Only a Dream/Nothing But A Dream).

Angelil adalah penerbit album, pengurus bakat baru dan penyanyi terkenal Kanada.

Lagu itu digubah bersama oleh Celine, ibunya Therese Tanguay dan abangnya Jacques Dion.

Tujuh tahun kemudian Celine menjalin hubungan dengan Angelil sebelum bertunang pada 1991.

Mereka akhirnya berkahwin pada 17 December 1994 di Montreal, Quebec Kanada.

Angelil meninggal dunia pada 14 Januari 2016 akibat komplikasi barah. Dia berusia 73 tahun ketika itu.

Dua hari kemudian abang Celine, Daniel pula meninggal dunia, juga kerana barah. Daniel berusia 59 tahun.

Sementara itu hari ini Celine mengalirkan air mata ketika menerika Anugerah Ikon Muzik Billboard di Las Vegas.

Mendedikasikan anugerah itu kepada Angelil, Celine berkata: "Reni, ini untuk kamu."

Pada asalnya dia diberitahu anugerah berkenaan akan disampaikan oleh Seal namun dia - dan penonton - terkejut apabila penyanyi British itu menjemput anak Celine, Rene-Charles, 15, untuk bersama-sama di pentas.

"Saya minta maaf kerana menangis. Saya mahu kuat di depan keluarga saya dan anak-anak saya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS