Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati kadang-kadang meninggalkan lagu.
Itu yang terjadi kepada penyanyi dan penggubah muzik Indonesia, Deddy Dores yang menghembus nafas terakhirnya semalam.
Selain sejumlah lagunya yang masih dikenang, keupayaan Deddy, 65, bertahan dalam dunia muzik selama lebih tiga dekad adalah pencapaian yang mengagumkan.
Dilihat sesetengah pihak sebagai pencipta lagu pop, Deddy memulakan kerjayanya sebagai anggota kumpulan rock.
Malah media mendakwa kadang-kadang persembahannya di pentas boleh dianggap "liar" juga.
Pada ketika tertentu Deddy bertindak sebagai pemuzik kepada kumpulan dianggotainya, dan pada masa lain dia boleh juga menjadi vokalis.
Antara kumpulan pernah disertai seniman kelahiran Surabaya itu ialah Freedom of Rhapsodia, God Bless dan Giant Step.
Namun boleh dikatakan dia muncul dengan identiti sama - berkaca mata hitam dan berambut gondrong.
Selepas ketiadaannya lagu Deddy tetap dikenang dan didendang. Sebahagiannya adalah lagu ciptaan Deddy dan dinyanyikan oleh artis lain, manakala beberapa yang lain mendapat sentuhan suaranya sendiri.
Berikut adalah antaranya:
- Hilangnya Seorang Gadis (1972)
Ia ciptaan Johannes Sarwono. Selain melonjakkan nama Deddy Hilangnya Seorang Gadis turut menaikkan populariti kumpulan Freedom of Rhapsodia.
Album berkenaan mencatat rekod di Indonesia pada waktu itu kerana terjual sebanyak 50,000 unit.
Ia dianggap mewakili gelombang baru irama rock Indonesia di era awal 1970-an.
- Sixty Years On (1976)
Bersama wartawan terkenal pada waktu itu, Denny Sabri, Deddy membentu kumpulan Superkid.
Deddy bermain gitar dan melengkapkan Superkid ialah Deddy Stanzah dan Jelly Tobing.
Mereka mendapat bantuan Aktuil - majalah yang diusahakan oleh Denny.
Antara lagu popular Superkid ialah Sixty Years On yang terkandung dalam album Troublemaker. Membawa irama hard rock Superkid menjadi pujaan anak muda pada zaman itu.
- Tinggal Kenangan (1973)
Untuk seketika Deddy bergabung dengan God Bless namun tiada album diterbitkan. Bersama beberapa anggota lain God Bless dia kemudian membentuk Deddy Dores & The Road.
Anggota kumpulan The Road ialah Ludwig Lemans, Donny Fattah, dan Fuad Hasan. Secara bersama mereka menghasilkan sebuah album Tinggal Kenangan.
- Kisah Adam dan Hawa (1978)
Termuat dalam album Qasidah Modern, Deddy bersama Benny Soebardja dan Johannes Sarwono membentuk Fantastique Group dan membawa lagu berentak psychedelic pop.
Bagaimanapun mereka lebih dikenang sebagai kumpulan membawa irama dengan pengaruh pop Timur Tengah.
- Kasihku (1981)
Lagu ini dikatakan menjadi antara pembuka jalan untuk Deddy meneroka dunia muzik pop. Bersama isterinya Lilian Angela dia bernyanyi irama folk pop.
Kasihku mendapat sambutan hangat daripada peminat dan ia mungkin mendorong Deddy membuat percubaan sebagai penyanyi solo.
Tidak seperti sebelumnya secara umum boleh dikatakan usaha Deddy adalah gagal.
- Surat Biru (1984)
Pada suatu ketika Deddy membuang huruf "D" pada namanya - menjadikan dia dikenali sebagai Eddy Dores.
Sebagai Eddy, dia cuma sempat menerbitkan sebuah album, Surat Biru. Ia dilapokan mendapat sokongan beberapa tokoh muzik rock zaman itu, seperti Arthur Kaunang dan Denny Sabri.
- Seberkas Sinar (1991)
Apabila menemui potensi yang ada pada Nike Ardilla, Deddy mendapat semula sentuhan penggubahan lagu.
Nike memang berpotensi untuk pergi lebih jauh dalam industri hiburan. Pakej suara yang lunak dan wajah menawan, Nike dipersiapkan dengan lagu yang mudah menambat hati pendengar.
- Bintang Kehidupan (1992)
Lagu ikonik Nike Ardilla adalah Bintang Kehidupan. Album itu terjual kira-kira dua juta unit dan sebagai pencipta lagu nama Deddy melonjak tinggi.
Dia kemudian cuba membawa beberapa penyanyi baru ke tengah medan hiburan Indonesia. Antara penyanyi yang mendapat bimbingan Deddy ialah Poppy Mercury, Nafa Urbach dan Mayang Sari.
Namun hayat Nike tidak panjang.
Pada 19 Mac 1995 dia terlibat dalam kemalangan jalan raya yang mengorbankan nyawanya sekembali daripada satu pertemuan dengan rakan penyanyi itu di sebuah hotel di Bandung.
Nike berusia 19 tahun ketika itu.