Pemuzik, penggubah dan salah seorang anggota awal kumpulan God Bless, Deddy Dores, meninggal dunia di sebuah haspital di Tangerang, Banten awal pagi tadi.
Seniman itu berusia 65 tahun.
Menurut akaun Facebook God Bless, jenazah lelaki kelahiran Surabaya itu akan disemadikan di Sumedang, Jawa Barat.
Sementara itu portal berita hiburan Indonesia melaporkan sebelum ini Deddy berharap dapat berkumpul bersama anak-anaknya.
Kata bekas isterinya Dagmar Clara Sunardi, Deddy menghantar mesej pesanan ringkas kepadanya tiga hari lalu.
"Katanya, Dag, cari rumah besar di Jakarta.
"Saya tanyakan, untuk apa? Dia jawab, mahu berkumpul dengan anak-anak," cerita Dagmar.
Bagaimanapun pesanan itu tidak diambil berat Dagmar kerana kebiasaannya Deddy sekadar bergurau.
Ditemui media di rumah mayat hospital, Dagmar kelihatan gagal menahan sedihnya.
"Untuk almarhum kang (abang) Deddy, saya percaya kang, segala sesuatu yang telah diberikan oleh kamu ke saya, anak, almarhum papa, saya merasa sangat berterima kasih," katanya.
Pesan jaga diri
Dagmar juga berjanji untuk "tetap menyayangi dan menjaga" dua anak yang lahir hasil perkahwinan mereka dulu.
"Satu yang saya percaya, Allah Maha Mendengar, Melihat dan Maha Mengetahui. Saya yakin pasti Allah ada untukmu, kang Deddy.
"Berikan tempat yang indah di sisi-Mu," katanya berdoa.
Anak Deddy dan Dagmar, Calvin, pula berasa tanda-tanda aneh pada bapanya dikesan beberapa hari lalu.
Kata Calvin, Deddy berpesan kepadanya untuk pandai menjaga diri selepas dia tiada.
"Saya kurang endahkan kerana selama ini saya memang selalu menemani dia jika ke mana-mana," katanya.
Deddy dikenali ramai sebagai penyanyi dan pencipta lagu slow rock. Namanya meningkat naik pada 1971 selepas menghasilkan lagu Hilangnya Seorang Gadis.
Pada 1990-an Deddy berjaya mengangkat bakat baru Indonesia, Nike Ardilla, yang turut diminati di Malaysia.
Selain mendidik Nike, mereka juga pernah berduet dalam beberapa lagu, termasuk dalam album Seberkas Sinar pada 1990 dan Bintang Kehidupan (1992).
Bagaimanapun kematian mengejut Nike pada 19 Mac 1995 seakan memberi kesan besar kepada Deddy kerana sejak itu dia mula jarang muncul di televisyen.
Di Malaysia Deddy pernah berduet dengan ratu rock, Ella, dalam lagu Mendung Tak Bererti Hujan.
Difahamkan, Deddy menghembus nafas terakhir kira-kira jam 12.45 pagi (waktu Malaysia) kerana serangan jantung.