Paling Popular
Terkini

Pemain dram Search, Yazid, diminta menghentikan serta-merta sebarang tuduhan bersifat jenayah terhadap kumpulan itu atau berdepan tindakan undang-undang.

Selain itu anggota kumpulan rock legenda berkenaan turut menuntut Yazid membuat permohonan maaf secara terbuka selepas membuat kenyataan negatif terhadap Search.

"Nama baik Search kini tercemar kerana laporan polis dibuat beliau menyebabkan wujud persepsi awam bahawa Amy kononnya mempergunakan sekolah agama untuk kepentingan peribadi," kata peguam Search Yusmadi Yusoff hari ini.

Katanya Yazid diberi tempoh 48 jam untuk membuat permohonan maaf berkenaan sebelum Search mempertimbangkan langkah lain yang perlu diambil.

"Kami akan memberi notis tegas kepada Yazid untuk menghentikan fitnah. Kes ini memberi impak kepada reputasi Amy sendiri selaku pengasas sekolah tahfiz, selain menjejaskan nama baik anggota lain," katanya.

Hari ini Harian Metro melaporkan Yazid mendakwa dia sudah lama berasa "tawar hati" dengan kumpulan berkenaan tetapi masih banyak bersabar.

Terdahulu dia membuat laporan polis mengenai Amy dan isteri vokalis Search itu, Nourish (atau nama sebenarnya, Norhasniza Hassan) kerana mendakwa tidak mendapat bayaran hasil persembahan dengan kumpulan itu.

Yazid juga mendakwa dia ditengking Nourish apabila bertanya mengenai wang yang dirasakan haknya.

Yazid buat Search kecewa

Pemain dram berusia 58 tahun itu juga berkata dia tidak kisah jika disaman kerana apa yang dilakukannya hanya untuk mempertahankan haknya.

“Apa yang saya cakap ini ada kebenaran dan disertakan dengan bukti. Saya dimaki oleh Nourish hanya kerana bertanya mengenai wang yang sepatutnya saya terima,” katanya dilaporkan portal Harian Metro.

Yazid juga bercadang menubuhkan Search Junior jika Search sedia ada ini berpecah.

Sementara itu Amy berkata tuduhan Yazid sama sekali tidak berasas dan tidak melambangkan hubungan erat terjalin sejak kumpulan itu ditubuhkan 35 tahun lalu.

"Kami tidak pernah mengetepikan dia (Yazid) dalam segala urusan termasuk berkaitan bayaran konsert 35 Tahun Search yang bakal berlangsung pada 30 Ogos di Sepang.

"Tindakan dibuat Yazid amat mengecewakan kami semua kerana ia melulu.

"Saya amat terkejut apabila seorang kawan ibarat hendak memutuskan hubungan yang terjalin selama ini," katanya.

Tak masuk akal

Turut hadir di sidang media khas di Hartamas hari ini ialah anggota lain Search iaitu Nasir Daud (bass), Nordin Taib (gitar) dan Hamzah Mohd Taib atau Kid (gitar) serta Nourish.

Di sidang media itu Search menjelaskan semua urusan pembayaran dan pengurusan dibuat dengan merujuk kepada memorandum persefahaman (MoU) 25 Disember 2015.

Dokumen itu ditandatangani antara penaja konsert, Afjets Sdn Bhd, dan Amy, Nasir, Nordin dan Kid. Yazid - yang menghadapi masalah kesihatan - tidak terbabit dalam MoU itu.

Disebabkan perjanjian itu masih di peringkat perbincangan, urusan berkaitan kewangan masih terletak secara langsung di bawah pertimbangan Search.

"Berhubung kedudukan Yazid sebagai pemain dram dalam Konsert Search 35 Tahun, Search mengambil berat terhadap kedudukan pemain dram mereka.

"Seperti diketahui umum Yazid berada dalam keadaan kurang sesuai untuk beraksi sepenuhnya dalam konsert kelak.

"Pun begitu Search sebagai sebuah kumpulan masih tidak melupakan apatah lagi mengetepikan Yazid sebagai anggota kumpulan," kata kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kenyataan itu juga menyebut Search tidak pernah mengabaikan kebajikan Yazid atau mengetepikannya.

Malah, kata kenyataan itu, Search sentiasa berkongsi rezeki dengan Yazid walaupun mereka "sedia maklum" dalam banyak keadaan dia tidak berkemampuan beraksi sepenuhnya sebagai pemain dram.

"Tuduhan pecah amanah seperti dilaporkan adalah tidak masuk akal," kata kenyataan itu.

Pada sidang media hari ini juga, wartawan diberitahu Yazid tidak menerima bayaran pertama tetapi sudah menerima bayaran kedua yang dikeluarkan Afjets kepada Search.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS