Tidak mudah untuk menggabungkan beberapa kelab pemotoran berkuasa tinggi kerana masing-masing mempunyai 'ideologi' tersendiri yang dibawa bersama.
Tetapi kali ini, demi projek amal kira-kira 35 kelab motosikal berkuasa tinggi mengetepikan pendirian masing-masing bagi mencapai satu matlamat.
Matlamat itu adalah mengumpul dana untuk disalurkan kepada rumah kebajikan anak yatim, orang tua, sekolah tahfiz dan program amal Bikers Unite for Charity pada 22 Mei ini di Restoran Saloma di Jalan Ampang Kuala Lumpur.
Tarikan istimewa projek itu pula ialah Awie dan Erra Fazira.
Selaku duta yang dilantik bagi memeriahkan majlis amal itu , Erra, 42, berkata dia kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh sukarelawan yang menyertai projek berkenaan.
“Sebenarnya ada lebih 100 kelab motor berkuasa tinggi yang mempunyai matlamat, tujuan dan pandangan berlainan.
“Tetapi demi kerja amal mereka sanggup bergabung dan mengetepikan ego masing-masing. Bagi saya ia mengagumkan dan semuanya dilakukan atas dasar amal kebajikan, tiada tujuan lain,” katanya di sidang media Bikers Unite for Charity anjuran Bikers United Club Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur kelmarin.
Islam atau bukan sama dibantu
Untuk projek itu tiket bernilai RM50 setiap satu akan dijual kepada orang ramai dengan RM35 daripadanya dijadikan dana untuk membantu golongan yang memerlukan.
Pembeli juga berpeluang menyertai cabutan bertuah dan minum petang bersama anggota rombongan motorsikal besar itu.
Sementara itu Awie, 47, berkata dia tidak menyangka perbincangan untuk menggerakkan majlis itu dirancang kurang dari sebulan tetapi hasilnya sangat positif.
“Selama saya menjadi penunggang motosikal berkuasa tinggi, ini adalah gabungan terbesar pernah diadakan bagi tujuan kebajikan," katanya.
Vokalis Wings itu berkata kutipan daripada projek berkenaan akan diagih-agihkan kepada pelbagai rumah kebajikan, termasuk dikendalikan oleh pihak bukan Islam serta sumbangan kepada pelajar kurang berkemampuan.
Turut menjadi sasaran, kata Awie, adalah rumah usang atau kediaman golongan fakir miskin yang akan diperbaiki.
“Kami juga akan membuat sumbangan untuk sekolah tahfiz dalam bentuk keperluan yang sesuai seperti naskhah al-Quran, telekung dan sejadah," katanya.
Untuk membolehkan pembabitan kelab motor berkuasa tinggi besar-besaran itu mencapai matlamatnya, Awie berpendapat ia perlu dihebahkan.
“Sebenarnya kelab motor berkuasa tinggi memang selalu terbabit dengan kerja amal cuma bezanya sebelum ini ia tidak dihebahkan.
“Untuk menarik ramai penderma, dan juga gabungan sebesar ini rugi kalau ia tidak diuar-uarkan. Mungkin ada kumpulan motor lain berminat untuk turut serta,” katanya sambil berharap projek itu dapat dijadikan acara tahunan.
Sebagai permulaan, pada sidang media itu sejumlah RM70,000 sudah dikumpulkan dan jumlah itu akan bertambah dari semasa ke semasa.
Tiket boleh dibeli daripada wakil Motor Cub & Motor Group serta Red Garage Malaysia, FS Bike dan premis terpilih sehingga 21 Mei ini.