Hak ke atas alam sekitar adalah antara hak asasi manusia yang belum ditekuni secara serius, atau boleh dikatakan sering diperlengahkan.
Manusia dan makhluk hidup yang lain saling berinteraksi dan mempunyai kebergantungan sesama sendiri.
Interaksi dan kebergantungan secara teratur ini merupakan ekosistem yang mengandungi makna bahawa hubungan antara manusia dan alam tidak dapat dibicarakan secara berasingan.
Selain daripada ahli sains, ahli alam sekitar, ahli ekologi, aktivis alam sekitar dan ahli falsafah, kalangan penulis juga ada yang mempunyai kesedaran untuk mengambil berat dan berasa khuatir terhadap perkembangan alam sekitar.
Di Malaysia, jika selama ini unsur alam sekitar menjadi ungkapan manis untuk menggerakkan imiginasi tentang keindahan dunia saya melihat keberanan Faisal Tehrani dalam novel Bagaimana Anyss Naik ke Langit? (BANKL) menunjukkan usaha yang serius mengangkat sama ke dalam penulisan beliau.
BANKL mengisahkan tentang penindasan terhadap perempuan Penan dan watak utamanya adalah Profesor Anyss, seorang linguis-antropologis yang gemar mengkaji tentang bahasa-bahasa asli.
Isu utama yang diangkat oleh Faisal Tehrani adalah isu hak asasi kaum Penan yang tertindas (dizalimi dalam keadaan yang tidak dapat diterima oleh binatang, apa lagi oleh manusia). Namun, pada masa yang sama ia telah menyentuh secara jelas tentang isu perhutanan di Sarawak, pembalakan yang memusnahkan alam sekitar dan menjejaskan (dengan teruk) kehidupan puak asli.
Kewujudan manipulasi politik dalam pembahagian konsesi balak termasuk membabitkan tokok penting juga disebut secara terang dan berani.
Keganasan bersistematik
BANKL diterbitkan pada April 2014, dan pada November tahun yang sama terbit pula buku bertajuk Money Logging: On the Trail of the Asian Timber Mafia ditulis oleh Lukas Strauman, pengarah eksekutif Bruno Manser Fund di Switzerland yang juga merupakan seorang sejarawan.
Dalam bukunya Strauman menjejaki empayar rahsia harta didakwa milik bekas Ketua Menteri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud.
Jika anda membaca buku Strauman anda akan lebih faham apa yang Faisal Tehrani cuba sebutkan dalam BANKL.
Pada halaman ke-18 BANKL, Profesor Anyss menyebutkan bahawa jenayah rogol ke atas gadis Penan adalah keganasan bersistematik.
Ia dilakukan berulang-ulang oleh kumpulan lelaki yang sama dan dilakukan dengan cara yang amat kejam. Mereka diupah merogol demi menakutkan komuniti Penan dan secara halus serta keji mengusir orang asal meninggalkan tanah adat mereka.
Mangsa rogol terdiri daripada kanak-kanak seawal usia sembilan tahun sehinggalah wanita setua 57 tahun.
Ini novel lucah?
Ketika menceritakan tentang kisah dan kronologi penindasan terhadap komuniti Penan ini, Faisal secara langsung menyentuh isu pembalakan di Sarawak.
Dalam BANKL Faisal (gambar) turut menyatakan: "Siapakah yang akan mendapatkan faedahnya dan bila, merupakan isu politik dan ekonomi yang hangat terutama apabila hutan itu sudah pun dibahagikan kepada sebilangan kecil ahli politik dan ahli perniagaan yang mengawal industri balak Sarawak.” Inilah inti sebenar dalam isu penebangan hutan di Malaysia.
Apa lagi yang tinggal untuk dijual jika bukan hutan?
Alasan untuk tujuan pertanian, perladangan, pembinaan empangan dan lebuh raya, atau alasan untuk memajukan ekonomi rakyat miskin hanyalah umpan yang digunakan untuk memikat undi, sedangkan di sebaliknya ada wajah puntianak yang akan mencekik darah dan maruah rakyat.
Siapa yang akan peduli? Seperti kata Profesor Anyss dalam dialog pilunya bersama Ratu ketika gadis Penan itu memujuknya memberitahu orang di Petra Jaya dan Putrajaya tentang kekejaman ke atas gadis Penan: “Mereka tak akan peduli. Mereka punca semua ini.”
Ada pihak yang menganggap novel BANKL adalah novel lucah. Saya pun tidak faham. Ini bukan kisah tentang gadis Penan dirogol oleh pembalak kacak yang kaya raya dan kemudian mangsa rogol jatuh cinta kepada perogolnya dan kemudian mereka pun berkahwin dan hidup bahagia.
Pada bahagian tertentu saya fikir Faisal sengaja memperincikan bagaimana gadis Penan dirogol secara bergilir untuk menyampaikan mesej tentang trauma yang dialami oleh gadis-gadis itu.
Rogol adalah perbuatan jijik, keji dan zalim, bukannya adegan yang ganas tetapi romantik.
Sama rakus, sama serakah
Di sini saya sangat memuji Faisal yang sebelum ini memang terkenal dengan karya berunsur feminisme, kerana sebagai penulis lelaki beliau seakan lebih memahami realiti sebenar perasaan seorang perempuan (yang dirogol) berbanding dengan penulis wanita yang lebih gemar menerapkan unsur romantis dalam adegan rogol.
Selain itu, saya sebagai pembaca menganggap perincian terhadap adegan rogol itu juga suatu simbolik terhadap apa yang telah dilakukan oleh manusia terhadap hutan.
Kedua-duanya menampakkan kerakusan dan keserakahan yang disengajakan. Bukan hanya pokok ditebang, tetapi hutan digondolkan, bukit diratakan, sungai habis dikotorkan.
Serangan itu datang bertubi-tubi dari segenap sudut sehingga ia licin habis hangus – seperti gadis Penan yang dirogol di belakang, di depan dan di mulut hingga habis semua anggota badan mangsa digunakan untuk memuaskan nafsu bangsat dan lahanat (istilah yang digunakan oleh Faisal) mereka.
Kalau kepedihan dan kesakitan gadis Penan yang dirogol itu tergambar melalui raungan dan jeritan yang tidak dipeduli, begitulah alam yang dimusnahi dan hutan yang diperkosa oleh jentera rakus.
Siapakah yang akan mewakili jeritan hutan dan alam yang dinodai itu? Kalau Profesor Anyss akhirnya menjadi korban kerana keberaniannya mengutarakan isu penindasan terhadap komuniti Penan, siapa yang sanggup menjadi korban untuk mewakili jeritan dan pekikan hutan kita yang semakin lenyap dan licin?
Saya menganggap novel yang bertemakan hak asasi puak asal diangkat Faisal dengan berani ini secara tidak langsung mengangkat juga isu alam sekitar kerana hak ke atas alam itu adalah sebahagian daripada hak kemanusiaan yang tidak wajar diperkatakan secara terpisah.
Hak ke atas alam dan hak ke atas kemanusiaan, kedua-duanya merupakan seruan agama ke atas manusia.
Saya paling gemar bahagian ini: Professor Anyss meneguk kopi sambil menulis sesuatu dalam buku hariannya. ‘Isu ini sewajarnya sangat dekat di hati orang Islam memandangkan inti besar, inti benar dan inti sejagat agama Islam sewaktu diserukan oleh baginda SAW di kota Mekah ialah untuk membebaskan golongan kecil dari penganiayaan pihak berkuasa yang zalim’.
Apa yang dilakukan orang politik terhadap komuniti Penan dan hutan adalah sebahagian daripada perbuatan zalim, dan ia tidak harus didiamkan sahaja. Keberanian Faisal bagi saya adalah keberanian Profesor Anyss di dalam novel BANKL ini.
Kita tidak memerlukan sebuah novel yang sempurna untuk diangkat menjadi sebuah novel yang baik, tetapi kita memerlukan sesuatu yang penting sebagai inti penyampaian yang dibawa.
Isu Penan sudah bertahun tenggelam. Namun kepedihan hati mereka yang menanggung kehidupan pascakemusnahan hutan yang menjadi sumber hidup mereka masih berlangsung.
Bagi saya BANKL adalah naskhah yang sarat dengan unsur agama, alam sekitar dan kemanusiaan. Inilah novel Islamik sebenar tanpa perlu ada sepatah pun perkataan assalamualaikum dan insya-Allah di dalamnya.
Selamat hari bumi sedunia.
ZAHARAH MUHAMMAD penuntut PhD di Jabatan Sejarah Universiti Malaya yang sedang memuat kajian berkenaan penyahhutanan di Semenanjung Malaysia.