Menginginkan kemeriahan berganda, kumpulan Search mahu konsert sambutan ulang tahun ke-35 mereka mencatat sejarah tersendiri.
Justeru untuk meraikan momen yang istimewa itu, Search memilih untuk menyambutnya di ambang hari kemerdekaan ke-59 negara.
Konsert berkenaan yang sebelum ini ditunda, akan diadakan pada 30 Ogos dan - untuk menjadikan ia kemeriahan berganda - tempat yang dipilih pula dirasakan sebagai lokasi terbaik, iaitu di Litar Antarabangsa Sepang.
“Litar Antarabangsa Sepang mempunyai kemudahan yang lengkap dan bagus.
“Search dan pihak Afjets (penganjur) mengambil berat aspek keselesesaan dan kemudahan peminat yang akan meraikan dua perayaan sekaligus,” kata vokalis Amy menerusi aplikasi pesanan ringkas WhatsApp.
Konsert dengan tajaan kira-kria RM2 juta itu sepatutnya diadakan pada 9 April lalu namun selepas perbincangan antara penganjur dan Search ia dipersetujui untuk ditunda atas faktor keselamatan.
Lokasi asal yang dipilih adalah di Stadium Merdeka.
Namun ketika ini, berhampiran lokasi itu sedang berlangsung projek Warisan Merdeka yang dibangunkan oleh Permodalan Nasional Berhad dan dijangka siap sepenuhnya pada 2024.
Sementara itu rancangan asal untuk memperuntukkan slot khas kepada pemain dram Search, Yazid Ahmad, akan diteruskan.
Yazid yang mengalami masalah kesihatan dan terhalang beraksi selama ini, diberi ruang khas menghiburkan peminat di konsert berkenaan.
Search juga, kata Amy, menjadi artis tempatan pertama mendapat peluang mengadakan persembahan di litar berkenaan.
A photo posted by Suhaimi A.Rahman > Amy SearcH (@akuamysearch) on