Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Berkelana di negara asing mungkin mengubah jati diri seseorang, tetapi tidak bagi penyanyi kelahiran Indonesia Anggun Cipta Sasmi yang kini menetap di Perancis.

Anggun dilihat tidak mahu kalah dalam memperjuangkan bahasa ibundanya sendiri, sekurang-kurangnya itu yang dititikberatkan kepada anak perempuannya, Kirana Cipta Montana yang berusia lapan tahun.

“Nama anak saya Kirana, dari situ kamu boleh nampak nama dia tidak kebaratan.

“Kalau dari segi berkomunikasi pula, saya sering menggunakan bahasa Indonesia kerana sudah menjadi tanggungjawab untuk memastikan dia tahu budayanya.

“Biarpun dia sering makan keju dan makan nasi atau mencampurkan kedua-duanya, kami tidak pernah mencampurkan bahasa,” ujarnya berseloroh.

Anggun ditemui sebelum berlangsung konsert Datuk Siti & Friends di Stadium Negara kelmarin.

Beliau adalah antara artis yang diundang bagi menjayakan konsert berkenaan.

Mula meninggalkan Indonesia pada tahun 1994, Anggun mula memasang harapan untuk mengukir nama di persada antarabangsa. Langkah itu bermula dengan cubaannya untuk ‘menawan’ peminat muzik di London dan Paris selama dua tahun.

Album antarabangsa pertama Anggun berjudul Snow on the Sahara yang dikeluarkan pada 1997 dan diedarkan di sebanyak 33 negara.

Ia mencatatkan jualan album paling laris oleh artis Asia malah menduduki tempat pertama carta muzik di beberapa negara.

Cukuplah jadi diri sendiri

Mungkin mudah bagi Anggun untuk beralasan apatah lagi melupakan asal-usul setelah lama meninggalkan negara asalnya.

Namun Anggun menganggap sekiranya dia berbuat demikian, ia seolah-olah mengingkari kedua orang tuanya.

“Melupakan diri sendiri dan bahasa itu membuatkan saya derhaka kepada orang tua, mana mungkin untuk melupakan mereka.

“Kerana itu saya sering mengingatkan siapa diri ini, tidak kira pada rambut dan cara berbual bicara,” katanya.

Bagi Anggun, beliau tidak mahu terikut-ikut dengan budaya asing tetapi cukuplah dengan menjadi diri sendiri.

“Mungkin lebih ramai orang lebih suka dan mudah untuk meniru orang lain. Padahal menjadi diri sendiri itu senang sekali.

“Untuk itu, kita harus tahu hidup ini berdiri atas kapasiti apa?” soalnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS