Di konsert sempena 20 tahun 'bergelumang' dalam dunia seni, penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin terkenang insan yang sudah pergi.
Dua daripada mereka adalah watak yang sangat hampir dengannya iaitu arwah bapanya, allahyarham Tarudin Ismail dan komposer Datuk Adnan Abu Hassan.
Individu ketiga yang mendapat penghargaan daripada Siti di Stadium Negara malam tadi ialah mendiang Whitney Houston.
Untuk menjayakan persembahan yang boleh dianggap mengagumkan itu, Siti memilih untuk meraikan detik bermakna itu bersama beberapa rakan seperjuangan, sesuai dengan tema konsertnya – Datuk Siti Nurhaliza & Friends.
Di minit-minit awal persembahan, Siti meminta lampu stadium diterangkan bagi membolehkan dia melihat kira-kira 7,000 penonton yang hadir.
Siti meneruskan acara itu dengan menyampaikan kata-kata penghargaan buat rakan artis yang turut sama melakar detik bersejarah itu.
Rasa berdebar-debar
Dia juga mengambil kesempatan untuk menghargai peminat yang setia bersamanya hingga ke hari ini.
“Sebenarnya saya dalam keadaan berdebar-debar tetapi selebihnya teruja kerana anda semua bakal menyaksikan perjalanan kerjaya saya selama 20 tahun dan ini pula adalah konsert yang ke-30 sepanjang saya bergelar anak seni.
“Saya bertuah dapat bekerja dengan insan yang mempunyai kebolehan hebat tidak kira dari dalam mahupun luar negara.
“Yang turut sama hari ini adalah kawan-kawan, termasuk anda di hadapan saya yang memberikan inspirasi.
“Terima kasih sayangku,” ucapnya di atas pentas.
Konsert Datuk Siti Nurhaliza & Friends itu dibawakan oleh Celcom Xpax dengan Yonder Music.
@ctdk @anggun_cipta #xpax #yondermuzicliveseries #YonderMusicMY #sitiandfriends2016
A photo posted by YONDERMUSICMY (@yondermusicmy) on
Untuk mendapat undangan menonton konsert, penonton perlu menjadi pengguna Celcom Xpax dan melanggan perkhidmatan muzik digital sosial Yonder Music kerana pas tidak dijual kepada orang ramai secara terbuka.
Siti juga berkongsi pentas bersama penyanyi bertaraf antarabangsa dari Indonesia, Anggun Cipta Sasmi, serta Afghan, Cakra Khan, Hafiz Suip, Faizal Tahir, Joe Flizzow, SonaOne dan Jaclyn Victor.
Konsert Datuk Siti & Friends diiringi 40 pemuzik orkestra dan kugiran dari New York, The Gotham All Stars.
Sekadar bermanja
Selepas menghiburkan peminat dengan empat lagu secara akustik, Siti beralih pula ke irama lebih rancak bersama Joe Flizzow dan SonaOne bagi lagu Destinasi Cinta .
Ketika itu Siti sempat menyatakan: “Saya segan, dah berusia seperti sekarang masih nak hip hop, tetapi... bolehlah sekadar untuk bermanja-manja,” katanya.
Bahagian paling menarik pada persembahan malam tadi adalah apabila Siti menguji vokalnya dengan menyanyikan lagu Snow On The Sahara yang asalnya dinyanyikan lagu Anggun.
Anggun pula diminta Siti untuk menyanyikan lagunya, Bukan Cinta Biasa. Dan Anggun dengan tenang menyatakan: “The pressure is on!”
Sementara itu Siti dilihat amat mengagumi Whitney dan dia melakukan tribute itu dengan cara tersendiri.
A photo posted by YONDERMUSICMY (@yondermusicmy) on
Menggunakan teknologi terkini, Siti menyempurnakan impiannya 'berduet' dengan penyanyi AS itu membawa lagu Memories yang dihasilkan pada 1982.
Detik itu turut dirakam sebagai klip video bersama hadirin.
Selepas Whitney, tiba giliran Siti merakam penghargaan buat arwah bapanya melalui lagu Menatap Dalam Mimpi , sebelum diikuti dengan lagu Jerat Percintaan – untuk Adnan.
Untuk persembahan bersama Faizal Tahir, Siti memberi kelonggaran untuk penyanyi itu memilih lagu yang akan dibawakan.
Dan Faizal Tahir memilih untuk menyanyikan lagu Bagaikan Sakti – sedikit- sebanyak menimbulkan perasaan terkejut kepada Siti.
“Saya tidak sangka dia memilih lagu bukan rock,” kata Siti.
Persembahan malam tadi diakhiri dengan lagu Kau Ilhamku – nyanyian asal Man Bai – bersama semua artis jemputan.
Konsert itu menjadi penampilan terakhir Siti di atas pentas konsert untuk peminatnya sebelum dia bercuti panjang.
“Konsert ini amat istimewa dan saya akan kenang selamanya kerana ia berjaya berjalan dengan lancar.
“Selepas ini saya boleh tidur dengan tersenyum,” katanya.