Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Sebelum ini masih menjadi tanda tanya sama ada ratu rock Ella akan melakar sejarah bersama suaminya di atas pentas untuk pertama kali dalam konsert berskala besar pertama selepas 20 tahun.

Dan semalam, suami Ella, Kapten Azhar Husaini Ghazali, 35, mengesahkan kepada Malaysiakini dia akan membuat kemunculan istimewa dengan bermain gitar dalam segmen khas di konsert Ella 2016.

Sebelum ini Malaysiakini pernah menyiarkan laporan mengenai Ella yang cuba memujuk Azhar untuk bersama-sama berkongsi detik manis itu seperti diharapkan peminat.

Sebenarnya, peminat Ella - sama ada dari dalam atau luar negara - dikatakan amat ingin melihat gandingan pasangan itu di atas pentas.

Menceritakan perasaan julung kali bakal membuat persembahan di sebuah konsert - apatah lagi yang berskala besar - Azhar berkata ia mungkin pengalaman yang akan dikenang seumur hidup.

“Saya tidak begitu bimbang untuk beraksi di atas pentas, sebaliknya amat teruja kerana medapat penghormatan bersama-sama artis senior dalam industri hiburan tanah air,” katanya selepas acara flash mob khas Ella di Pusat Penerangan Pelancongan (Matic) di Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam.

Bantu jadi tenang

Azhar yang memang 'membesar' dengan alunan muzik rock n roll berkata, biarpun penat bekerja, fokus untuk menjayakan konsert Ella tidak pernah terjejas.

Katanya, pembahagian masa untuk menjalani latihan tidak menjadi masalah kerana memang hobinya bermain gitar.

Jika ada kelapangan masa, katanya, waktu itulah dia akan memetik gitar.

“Kalau di rumah, selepas menghabiskan masa bersama keluarga saya akan bermain gitar, dan Ella akan bernyanyi," katanya yang menganggap muzik sebagai cabang mengekspresikan diri, selain membantu menjadikan seseorang lebih tenang selepas menjalani hari yang panjang.

Ketika ini Azhar mempunyai tiga koleksi gitar - akustik dan elektrik.

Selain itu, juga disebabkan minat yang mendalam, Azhar menulis banyak lirik yang dikumpulkan dalam dua buku tebal.

Dia juga ‘berkira-kira’ untuk merakam single bersama Ella.

Sementara itu konsert Ella 2016 di Stadium Malawati di Shah Alam pada pada 16 April ini bakal menjadi lebih istimewa apabila 'ratu rock' digandingkan dengan 'raja rock'.

Yakin dapat serasi

Justeru, mengikut perancangan semasa konsert itu nanti Ella akan berduet dengan Amy Search.

Artis lain yang turut dijemput untuk menjayakan konsert itu ialah Lord - yang pernah sinonim dengan penyanyi itu di awal kemunculannya sebagai Ella & The Boys - serta Bunkface dan Korie.

Gitaris terkenal tanah air Man Kidal pula bertindak sebagai pengarah muzik bagi konsert selama sekurang-kurangnya dua jam itu.

Pemuzik lain ialah Fly (pemain bass), Ridz (pemain gitar), Roza Rio (pemain keyboard) dan Ainol (pemain drum).

Konserti berkenaan yang dibawakan oleh Atlas One Events turut mendapat kerjasama daripada PEMADAM Selangor.

Kata Ella, biarpun masih bimbang terhadap persiapan konsert, dia tetap teruja dan menghitung hari untuk menghiburkan peminat.

“Alhamdulillah, persiapan menjangkau 50 peratus siap dan tiket pula sudah 60 peratus terjual. Saya terharu dan teruja dengan sambutan peminat.

“Selain itu, sudah lama saya tidak membuat persembahan bersama Man Kidal dan Lord. Justeru, saya berharap mendapat keserasian itu, insya- Allah boleh,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS