Seramai tujuh penyanyi bergelar Datuk bergabung tenaga meraikan konsert Raja dan Rakyat Berpisah Tiada di Istana Budaya kelmarin yang diadakan sempena sambutan hari keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar yang ke-85.
Turut berangkat ke konsert berkenaan, Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom Abdullah.
Artis yang membuat persembahan ialah Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Datuk Yusni Hamid, Datuk Hattan, Datuk David Arumugam, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Leonard Tan dan penyanyi dari seberang, Datuk Rossa.
Secara keseluruhan mereka menyampaikan 21 buah lagu popular masing-masing termasuk yang dipilih Sultan Ahmad Shah sendiri.
Antara lagu yang berkumandang pada malam itu ialah Aku Penghibur, Bukan Cinta Biasa , Dari Kekasih Kepada Kekasih dan Hingga Akhir Nanti.
Konsert gilang-gemilang yang dianjurkan oleh Yayasan Luhur Nurani itu diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan.
Sesuai dengan statusnya, tiket untuk 100 kerusi terpilih pada konsert berkenaan dijual pada harga RM5,000 setiap satu. Dan ia habis terjual lebih awal.
Selain berhibur, matlamat konsert berkenaan adalah untuk mengumpul bagi untuk disalurkan kepada anak-anak yatim dan golongan kurang berkemampuan.
Pameran sejarah Kesultanan Pahang mengandungi 85 foto eksklusif Sultan Ahmad Shah turut ditempatkan di ruang legar Istana Budaya selama empat hari.
Persembahan pada malam Konsert Raja dan Berpisah Tiada diakhiri dengan acara memotong kek hari lahir Sultan Ahmad Shah.
Posted by Malaysiakini (BM Version) on Sunday, February 28, 2016