Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Khalid Ibrahim 'masuk filem'
Diterbitkan:  Feb 18, 2016 9:57 AM
Dikemaskini: 3:53 AM

Cerita kejayaan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melakukan 'serangan mengejut' untuk membolehkan negara menguasai syarikat asing akan dipaparkan ke layar perak.

Diarahkan pelakon Bront Palarae, filem itu diberi judul Dawn Raid: The Hands That Rattled The Queen .

Ia mengisahkan bagaimana bekas Menteri Besar Selangor itu membawa syarikat gergasi perladangan Guthrie menjadi milik Malaysia dalam gerakan terancang dan mengejut.

Filem itu akan dihasilkan syarikat produksi Bront ( gambar ), Pixel Play dan dikatakan sedang dalam proses pembikinan, lapor Screen Daily .

Skrip Dawn Raid ditulis oleh pelakon merangkap jurubank Redza Minhat dan Chew Kin Wah.

Filem berbahasa Inggeris itu dibiayai Perbadanan Pembangunan Filem Nasional (Finas).

Peristiwa yang berlaku di sekitar 1981 itu menceritakan syarikat perladangan Kumpulan Guthrie yang asalnya dimiliki oleh syarikat British, dibawa masuk ke Malaysia selepas kerajaan melancarkan 'serbuan' di Bursa Saham London.

Khalid yang ketika itu Ketua Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) menjadi individu yang bertanggungjawab mengendalikan proses berkenaan.

PNB memiliki pegangan 51 peratus saham Guthrie selepas membeli sejumlah besar saham syarikat berkenaan dalam tempoh kurang dari dua jam.

Khalid menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Guthrie dari 1995 hingga 2003.

Selepas meninggalkan bidang korporat, beliau menyertai PKR dan berkhidmat sebagai menteri besar Selangor dari 2008 hingga 2014 sebelum dipecat lembaga disiplin partinya.

Insiden itu pula digelar sebagai "Langkah Kajang" membabitkan cubaan PKR menggantikan Khalid dengna Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismaill.

Kini Khalid berkhidmat sebagai ahli parlimen bebas untuk Bandar Tun Razak dan ADUN Pelabuhan Klang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS