Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Ironi - itu ungkapan paling tepat untuk menggambarkan perasaan Zarul Albarki mengenai klip video kempen kesedaran mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Dalam klip video selama 2.30 minit itu, penerbitnya menjelaskan kesan perjanjian berkenaan kepada industri seni negara.

Dalam keterangan mengiringi video berkenaan, penerbitnya menyatakan TPPA "memanjangkan tempoh perlindungan untuk karya seni, persembahan, lagu, filem dan buku dari tempoh 50 tahun sedia ada kepada 70 tahun".

Keadaan itu, katanya, membolehkan karyawan atau waris mereka menikmati imbuhan lebih lama daripada karya yang dihasilkan.

"Pada waktu sama penapisan kandungan dari luar tidak berubah. Masih mengekalkan undang-undang penapisan dan peraturan yang sedia ada," kata keterangan itu.

Mengambil sedutan filem terbitan 1986, Kembara Seniman Jalanan, paparan klip video itu pula menyatakan ia mengisahkan "kesengsaraan warga seni apabila karya mereka tidak dihormati, dirompak, diciplak dan hak cipta mereka tidak dilindungi".

Bagaimanapun, petikan filem itu sendiri diambil tanpa mendapat kebenaran - bertulis atau lisan - daripada pemegang hak ciptanya.

Ketika dihubungi Malaysiakini, penerbit Kembara Seniman Jalanan Zarul Albakri ( gambar ), berkata tiada sesiapa memaklumkan filem itu digunakan sebagai bahan kempen kesedaran TPPA.

"Minggu lalu Pyanhabib menghubungi saya menyatakan ada sedutan filem Kembara Seniman Jalanan dijadikan bahan dalam sebuah klip video mengenai TPPA.

"Ia memang mengejutkan. Tak ada sesiapa pun menghubungi saya untuk mendapatkan kebenaran menggunakan bahan itu," katanya.

Bukan kegunaan komersial

Mengakui kini sibuk dengan filem terbarunya - yang tidak mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem - Zarul berkata penerbit klip video itu sekurang-kurangnya boleh menghubunginya untuk mendapatkan kebenaran.

"Atau paling tidak menghubungi saya sebagai tanda hormat menggunakan petikan filem itu untuk kempen mereka," katanya.

Kembara Seniman Jalanan diarah Nasir Jani mengisahkan mengenai perjuangan pemuzik mempertahankan hak cipta mereka daripada diciplak.

Filem itu dibintangi Datuk M Nasir sebagai Bujang, Pyanhabib (Osman Tikus), Imuda (Brader Joe), dR Sam, Amy Search selain kumpulan muzik Kembara, Search, Blues Gang dan Sweet Charity.

Kata Zarul, dia seolah-olah "mati akal" dengan insiden itu.

"Saya tak tahu nak cakap apa," katanya.

Malaysiakini menghubungi pengendali akaun Facebook TPPA Malaysia dan berikut adalah jawapan mereka: "Saudara boleh rujuk kepada Akta Hak Cipta 1987. Pengecualian-pengecualian yang diberikan ke atas penggunaan bahan berhak cipta. Terima kasih."

Berdasarkan komen TPPA Malaysia di akaun Facebook Pyanhabib pula, mereka berpendapat melalui Akta Hak Cipta 1987, penggunaan bahan yang dilindungi hak cipta untuk tujuan bukan komersil (termasuk penyiaran) bukan komersil bukan suatu kesalahan.

"Untuk kegunaan bukan komersil memerlukan dengan jelas dimaklumkan bahawa hak cipta itu bukan milik pembikin," kata salah satu komen berkenaan.

TPPA juga menyertakan satu pautan ke laman web lain dipercayai untuk menjelaskan keadaan berkenaan tetapi setakat petang ini laman web itu gagal dicapai.

TPPA dan warga seni. TPPA memanjangkan tempoh perlindungan untuk karya seni, persembahan, lagu, filem dan buku dari tempoh 50 tahun sedia ada kepada 70 tahun. Ini akan membolehkan mereka atau waris mereka menikmati imbuhan yang lebih lama dari karya-karya yang dihasilkan. Pada waktu yang sama penapisan kandungan dari luar tidak berubah. Masih mengekalkan undang-undang penapisan dan peraturan yang sedia ada.

Posted by TPPA Malaysia on Saturday, 2 January 2016


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS