Dia mendominasi dunia hiburan sejak 16 tahun lalu dan pada 2000 namanya menjadikan India berbangga selepas dinobatkan sebagai Miss World.
Dia ialah Priyanka Chopra yang kini menjadi wira dalam siri televisyen Quantico.
Dalam temubual dengan Bombay Times Priyanka menceritakan perkembangan terkini mengenainya sejak terbabit dalam penghasilan siri berkenaan.
Turut disentuh, penyertaannya membawa watak Kashibai dalam filem Bajirao Mastani.
Adakah watak Alex Parris dalam Quantico lebih mengujakan berbanding Kashibai?
Entahlah. Hakikatnya kedua-dua watak itu amat menarik.
Pada 2000 - ketika saya berumur 17 tahun - saya terlalu gembira kerana menjadi Miss World. Kini sekali lagi perasaan itu muncul melalui watak Alex dalam Quantico .
Bagi saya, kejayaan terbesar adalah menerima penghargaan dan kepercayaan di luar negara asal. Saya amat gementar untuk menghadiri majlis anugerah People's Choice di Los Angeles baru-baru ini.
Saya tak kenal hampir sesiapa pun di situ tetapi nampaknya semua orang mengenali saya. Amat hebat apabila kerjaya anda dinilai dan dihargai. Itu yang paling penting pada saya.
Bagaimana dengan Kashi?
Saya begitu kagum dengan cara Sanjay Leela Bhansali (pengarah Bajirao Mastani ) 'menghidupkan' Kashi. Daripada tokoh yang tidak dikenali sama sekali, Sanjay memperkenalkan Kashi kepada dunia dengan penuh bermaruah.
Jika anda mahu tahu, saya adalah pelakon pertama menandatangani kontrak untuk filem itu. Saya masih berlakon untuk filem Mary Kom apabila Sanjay membuat tawaran kepada saya.
Ketika itu saya ta k pasti bagaimana watak Kashi tetapi saya sangat pasti saya mahukan peranan itu. Saya dapat rasakan kepiluan dan penderitaan Kashi. Lazimnya begitulah, kesepian adalah jeritan paling nyaring.
Kashi bukan seorang wira tapi filem itu memberikan keadilan kepadanya. Saya bangga Kashi kini dikenang dengan penuh penghormatan.
Nampaknya Quantico berjaya membawa anda jauh dari India...
Tidak, saya tak pernah jauh dari negara saya. Saya adalah sebahagian daripada industri perfileman Bollywood.
Sekarang memanglah saya berada di luar negara kerana menyiapkan musim kedua siri Quantico yang akan memulakan penggambarannya tidak lama lagi.
Namun Bollywood tetap menjadi keutamaan saya. Semua kejayaan ini dicapai hasil pembelajaran terhadap industri perfileman dan keyakinan diperoleh daripada aktiviti Bollywood.
Sejujurnya, apa yang saya mahu hanyalah berlakon terus. Saya tak peduli apa yang perlu saya lakukan untuk mendapat kepuasan ini.
Bagaimana anda terus dekat dengan India?
Saya seboleh mungkin akan pulang setiap hujung minggu, tapi anda juga perlu faham saya ada komitmen lain. Namun di sebalik kesibukan itu saya tak pernah lupakan negara sendiri.