Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Tidak ada yang aneh dengan idea melakukan dua kerja serentak bagi Datuk Chef Wan kerana dia sudah melakukannya lama dulu.

Dan selebriti kulinari itu melaksanakan dua kerja itu bukanlah sangat kerana mencari pendapatan tambahan, sebaliknya melatih diri sendiri untuk masa depan.

Berpengalaman sebagai akauntan selama tujuh tahun, Chef Wan, 58, memberitahu dia melakukan lebih satu kerja dengan gigih untuk mengisi masanya mencari sumber pendapatan sampingan.

"Bukan kerana pendapatan tidak mencukupi, tetapi saya adalah individu yang tidak mudah berasa selesa dalam zon sendiri.

“Walaupun saya bekerja sebagai akauntan ketika itu, tetapi saya gigih melakukan pekerjaan lain, termasuk barangan kosmetik dan kelengkapan dapur melalui jualan langsung," katanya kepada Malaysiakini .

Chef Wan ditemui selepas sidang media program The Story II di Istana Budaya, Kuala Lumpur semalam.

The Story II adalah persembahan pengucapan awam beberapa tokoh berjaya yang berkongsi pengalaman mereka sehingga kini.

Selain Chef Wan program itu turut diisi tokoh korporat dan pengasas Kolej Asia Brickfield Raja Singham.

The Story II diadakan untuk memupuk semangat serta memberi inspirasi khususnya kepada anak muda menghadapi masa depan mereka.

Acara itu dianjurkan pertubuhan Generasi Bersatu Malaysia dengan kerjasama Universiti Kuala Lumpur.

Fahami selok-belok penjenamaan

Sebelum ini, The Story mengetengahkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan Datuk Kamarudin Meranun.

Dua pelakon baru Mia Ahmad dan Tya Arifin akan turut menyertai acara pada 9 Januari.

Membawa dirinya sebagai suatu jenama, Chef Wan juga berkata, pengalaman itu diperoleh sejak kecil ketika dia mula menjual kuih-muih.

Katanya, dengan menjual kuih, dia mula mengerti tentang selok-belok perniagaan yang membabitkan penjenamaan, promosi dan pemasaran.

“Dari awal sudah didik diri untuk faham mengenai penjenamaan dan promosi.

“Saya sentiasa bercakap mengenai perkara itu, cuma kali ini ia dalam cerita kuih,” katanya.

Walaupun sudah berjaya sebagai chef, beliau masih gigih menimba ilmu tidak kira di mana dia berada.

Justeru kesempatan berada di negara orang turut digunakan sebaik mungkin bagi memahami dan mempelajari budaya luar.

Masa untuk diri sendiri

Bagi Chef Wan, mengunjungi negara luar bukan semata untuk berseronok, tetapi juga untuk belajar dan dia banyak menghabiskan masanya di perpustakaan atau muzium.

Acara seperti The Story II pula bukanlah yang pertama untuk Chef Wan kerana dia sudah sering dijemput berceramah di pelbagai tempat termasuk untuk kalangan ahli korporat, kakitangan kerajaan dan pelajar universiti.

“Saya berjaya dalam bidang diceburi kerana menerapkan keyakinan tinggi, sentiasa ingin pergi lebih jauh, bekerja keras dan percaya diri sendiri,” katanya.

Chef Wan juga sentiasa berpegang kepada prinsip " good better best, i never rest ".

“Saya tidak gemar membuang masa di kedai kopi, baik saya buat hal sendiri dan beri perhatian kepada ibu.

“Dalam melakukan sesuatu perniagaan pula, kita kena membawa diri lebih jauh dan menumpukan perhatian.

‘Kita tidak boleh hanya bekerja tetapi tiada masa untuk anak, keluarga dan diri sendiri,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS