Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Dunia seni dan hiburan tanahair terus diwarnai pelbagai kisah suka dan duka sepanjang 2015.

Tahun ini juga menyaksikan kemunculan ramai pendatang baru dalam industri muzik dan filem tempatan, sekaligus memeriahkan lagi industri seni tanahair.

Tidak kurang juga yang mencipta kejayaan demi kejayaan menerusi hasil karya mereka, dan seterusnya melangkah setapak lagi dalam arena yang penuh mencabar ini.

Namun, lumrah bagi individu bergelar artis, pastinya tidak lekang dengan pelbagai cerita dan kontroversi.

Dengan berakhirnya 2015 yang bakal melabuhkan tirainya beberapa jam lagi, kami di Malaysiakini memaparkan beberapa sorotan peristiwa menarik dalam dunia seni hiburan tanah air sepanjang tahun ini.

Dakwaan gambar lucah Tasha Shila

Antara selebriti yang terpalit dengan kisah panas adalah pelakon wanita popular Tasha Shila. Kisah percintaan Tasha atau Natasha Sheila Abdul Razak, 28, dengan peninju Hans Wong yang berakhir Mac lalu tidak terhenti di situ.

Ia menjadi panas selepas dakwaan gambar separuh bogel persis wajahnya menjadi viral menerusi Internet Jun lalu.

Ekoran itu Tasha membuat satu laporan polis dan menyerahkan kepada pihak berkuasa itu untuk menyiasat berhubung penyebaran gambar berkenaan.

Dalam pada itu Hans dan kekasih barunya ketika itu, Carmen Emirda dikatakan turut membuat aduan polis berhubung dakwaan berlaku serangan di sebuah kelab.

Rakaman aksi ranjang tiga individu

Peminat industri tanahair dikejutkan kononnya dengan kewujudan rakaman lucah yang didakwa membabitkan tiga pelakon sekitar Oktober lalu.

Dalam rakaman itu, dua lelaki dikatakan melakukan adegan seks bersama seorang wanita tetapi kewujudan rakaman itu segera disangkal oleh pelakon Atikah Suhaimi, Ammar Alfian dan Idris Khan.

Tiada pihak tampil membuktikan kesahihan rakaman berkenaan.

Zamani dan dadah

Bekas vokalis kumpulan Slam, Zamani Ibrahim, 44, ditahan Januari lalu di kediamannya di Keramat atas kesalahan positif dadah jenis morfin.

Turut ditahan bersama Zamani ketika itu adalah pembantu peribadinya Nur Juliana Abdul Rani.

Ekoran itu, masing-masing didenda RM5,500 atau 18 bulan penjara selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur Mei lalu.

Ketika masih dalam proses menjalani rawatan pemulihan pada Oktober lalu, Zamani dilaporkan melarikan diri dari rumah PENGASIH di ibu negara.

Bagaimanapun, Zamani tampil memperjelas isu berkenaan dengan menyatakan dia bukan melarikan diri sebaliknya mengambil keputusan untuk "keluar".

Zamani dikatakan dengan rela melanjutkan tempohnya di pusat pemulihan berkenaan dari enam bulan hingga ke lapan bulan.

Amir Ukays miliki ‘senjata api’

Amir atau nama sebenarnya Mohd Azmir Muhammad Yusof ditahan oleh polis Oktober lalu kerana memiliki sepucuk pistol berwarna hitam yang tertera tulisan Walther CP99 Compact dengan nombor siri 12L20520.

Ketika itu, vokalis terkenal era 1990-an itu baru pulang daripada menjalani latihan program realiti Gegar Vaganza 2 dan dia ditahan di susur masuk Kampung Chubadak, Sentul.

Namun, setelah diperiksa, pistol berkenaan hanyalah alat permainan yang sering digunakan oleh anaknya untuk "menembak cicak".

Amir dibebaskan daripada tahanan polis sehari kemudian.

Kecoh susuk tubuh Kilafairy

Pelakon yang sedang mencipta nama, Kilafairy memuat naik gambar yang memaparkan susuk tubuhnya dari belakang sehingga mendapat respon netizen pada Mac lalu.

Antara yang memberikan komen adalah selebriti fesyen terkenal, Wak Doyok.

Komen Wak Doyok itu bagaimanapun dikecam ramai kerana dianggap berbaur lucah hingga mendapat perhatian ibu Kilafairy, Rohana Jalil.

Wak Doyok akhirnya tampil memohon maaf.

Fazura dan 'KimK'

Perkataan ringkas yang menjadi trend pada zaman ini, kadang kala boleh menimbulkan pelbagai tafsiran. Itu yang terjadi kepada pelakon popular Fazura atau Nur Fazura Sharifuddin, 32.

Seorang pengguna akaun Vii Narza atau nama sebenarnya Nur Atiqah Annuar mengulas imej dimuat naik oleh selebriti wanita itu bersama rakannya di Instagram dengan ungkapan “macam kimK yang di depan itu.”

Malangnya, ungkapan itu dikatakan disalah tafsir sebagai bahasa kesat oleh Fazura, lantas dia mengkritik lantang wanita berkenaan. Sebenarnya, Nur Atiqah menjelaskan, dia hanya seorang peminat yang mengikut penuh setia diari kehidupan pelakon jelita itu.

Bagi Nur Atiqah, "KimK" disamakan dengan selebriti antarabangsa Kim Kardashian, cuma kali ini dia menggunakan nama singkatan.

Diana Rafar, Zamarul Hisham rujuk semula

Tanpa menyatakan sebab yang menjadi punca perceraian, pasangan yang dilihat sering mempamerkan aksi mesra itu tiba-tiba mendedahkan sudah bercerai pada Januari.

Namun, ikatan cinta masih utuh di jiwa kedua pasangan berkenaan dan mereka merujuk semula pada Februari lalu.

Zamarul dan Diana berkahwin pada 2009 dan pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki Kashfi Haiqal yang kini berusia lima tahun.

Pelakon filem Mirip bercerai

Pelakon yang terkenal sering membawa watak antagonis Fezrul Khan, 33, disahkan bercerai talak satu dengan isterinya Noorhafizah Zulkafli Ogos lalu.

Fezrul enggan mendedahkan punca sebenar perceraian tetapi menyatakan ingin menumpukan sepenuh perhatian dalam karier dan mahu meneruskan kehidupannya dengan anak Farrel Khan yang kini berusia dua tahun.

Wings bikin konsert sempena 30 Tahun

Memang banyak konsert tahun ini, tetapi di tangan Wings ia boleh dikatakan berlangsung pada skala besar di Stadium Merdeka pada November.

Beberapa artis turut diundang bagi meraikan peminat sempena 30 tahun penubuhan kumpulan rock itu. Antara yang hadir ialah M Nasir, Ito dan Hattan.

Kumpulan Wings melakar sejarah pada malam konsert berkenaan dengan menyampaikan 33 buah lagu dan persembahan berakhir pada jam 3 pagi.

Walaupun stadium dibasahi hujan sepanjang persembahan, anggota Wings yang terdiri daripada Awie, Black, Joe dan Eddie tetap memberi persembahan mantap buat peminat mereka.

Selebriti dalam kenangan

Dalam kemeriahan industri hiburan tempatan, peminat turut dikejutkan dengan berita pemergian artis kesayangan yang kembali ke rahmatullah.

Pemergian mereka meninggalkan kesan yang mendalam dan ditangisi ribuan peminat. Antaranya:

Harun Salim Bachik - Pelakon berusia 55 tahun meninggal dunia di kawasan rehat dan rawat Bukit Merah, Perak pada Mac lalu.

Difahamkan, allahyarham berhenti mengisi minyak dalam perjalanan pulang dari majlis perkahwinan di Pulau Pinang.

Yus Jambu - Juara Raja Lawak musim pertamaYusrry Edoo meninggal dunia selepas mengalami akibat sesak nafas di Hospital Selayang pada November.

Yus Jambu juga terkenal dengan jolokan Pak Yus berusia 39 tahun.

Allahyarham difahamkan rebah selepas membuat persembahan di Dataran Merdeka.

Mariani - Seniwati dengan nama sebenar Mariam Ismail, 82, menghembuskan nafas terakhirnya ketika berusia 82 tahun. Jenazah beliau kemudian disemadikan bersebelahan pusara adiknya Puan Sri Saloma dan adik iparnya Tan Sri P Ramlee di Tanah Perkuburan Jalan Ampang di ibu negara.

Beliau dilaporkan menderita sakit usus sejak setahun lalu.

Anugerah Sasterawan Negara

Datuk Dr Zurinah Hassan, 66, terpilih sebagai Sasterawan Negara ke-13 pada Oktober lalu.

Penghormatan itu menjadi lebih unik kerana beliau adalah wanita pertama menerima penghargaan demikian.

Bagi anak kelahiran Alor Setar itu, setelah lama berkecimpung dalam dunia penulisan, anugerah tertinggi kesusasteraan yang diterima baru-baru ini adalah pencapaian paling manis buat orang sepertinya.

Habuan yang tertangguh

Anugerah Sastera Selangorkini mencetuskan kontroversi apabila pemenang utama dan saguhati merungut kerana wang dimenangi 'lewat' diterima daripada penganjur (kerajaan negeri).

Walaupun kelewatan pemberian wang kemenangan bukanlah sesuatu yang terlalu luar biasa, pemenang menjadi kecewa apabila tarikh yang dijanjikan berlalu begitu saja.

Bagaimanapun pada hari ini mereka mengesahkan wang berkenaan sudah diapungkan dalam akaun bank masing-masing.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS