Usia bukan penghalang bagi pelakon dan pengarah Datuk Rahim Razali untuk meneroka pembaharuan dalam hidupnya.
Rahim atau nama sebenarnya Abdul Rahim Mohd Razali, masih bergiat aktif dalam dunia lakonan, biarpun usianya kini sudah mencecah 76 tahun.
Terkini, peminat akan menyaksikan Rahim menerusi teater komedi ringan Zombie La La La arahan Erma Fatima dengan wataknya sebagai Z - Patih Kurnia .
Menurut Rahim yang sinonim dengan watak serius di sepanjang kerjaya seninya, genre komedi masih dianggap sebagai ‘resipi baru’ sepanjang kerjayanya sebagai anak seni.
“Puluhan tahun sampai sekarang masih ada lingkaran baru dalam seni teater.
“Komedi adalah bentuk genre yang lain sangat daripada yang pernah saya lalui sebelum ini,” katanya ketika ditemui Malaysiakini di sidang media pengumuman Zombi La La La di Istana Budaya baru-baru ini.
Pementasan kali ini juga menemukan anak kelahiran Batu Gajah, Perak itu dengan pelakon dan penyanyi Amy Mastura buat kali pertama.
Dan pertemuan itu dianggap sebagai satu sejarah buat dirinya sebagai pelakon veteran.
“Sudah berpuluh tahun saya terbabit dalam teater, filem dan drama.
“Kalau diikutkan, dalam seratus tahun, ini kali pertama kami berjumpa di pentas,” katanya berseloroh.
Sebelum ini, Rahim pernah memegang watak sebagai Pak Akob dalam teater komedi Mak Cun yang juga diarahkan Erma Fatima.
Aktivis teater itu pernah merangkul pelbagai anugerah dalam Festival Filem Malaysia (FFM).
Antara anugerah pernah dimenangi adalah Pelakon Lelaki Terbaik bagi Watak Pembantu FFM20 (2007), Pengarah dan Skrip Terbaik FFM6 (1986), Sutradara dan Lakon Layar Terbaik FFM5 (1984), Pelakon Lelaki Terbaik dan Skrip Terbaik FFM2 (1981).
Satu ketika dulu, Rahim juga pernah menjadi penyampai sukan.
Sehingga kini, Rahim berlakon sekurang-kurangnya 27 filem antaranya, Kapsul (2015), Anak Jantan (2014), Sayang disayang (2014) dan Hikayat Merong Mahawangsa (2010).
Namun, nama Rahim sememangnya tidak dapat dilupakan apabila namanya dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik menerusi lakonan dan arahannya dalam Abang (1981).
Menurut Rahim, satu persatu percaturan dunia seni sudah boleh diagak dan hal itu semakin sebati dalam dirinya.
“Selepas ini, tiada apa lagi yang memeranjatkan dalam teater.
“Semua perkara boleh terjadi,” katanya.
Untuk mengisi kekosongan slot pada awal tahun depan, teater Zombi La La La akan mengambil tempat dari 13 hingga 21 Februari 2016.
Zombie La La La mengisahkan sekumpulan ketua zombie dari China, Amerika Syarikat, Indonesia, Mexico, Thailand dan Mesir belayar dengan kapal ke Kuala Lumpur.
Misi mereka adalah untuk mencari formula yang dapat mengembalikan kecantikan dan ketampanan masing-masing selepas dijangkiti virus perosak.
Zombie La La La dibawakan oleh produksi CTRA Production dengan kerjasama Rumah Karya Citra Sdn Bhd, Persatuan Teater Malaysia dan Persatuan Generasi Seni Malaysia.
Selain mengarah, Erma akan membawakan watak sebagai Miss K.
Zombie La La La juga akan turut dijayakan oleh barisan pelakon seperti Amar Baharin (Z - Kapten Cook), Janna Nick (Z - Me Mang Nak), Hafreez Adam (Z - Elvi Pasola), dan Mei Fen (Z - Lili Poh) dan lain-lain.