Anda sering bergurau jenaka dengan ungkapan "kipidap"? Tahukah anda apa maksudnya?
Kipidap adalah singkatan kepada "Kami pilih damai dan perpaduan" ilham dan slogan kepada Abdul Rani Kulup Abdullah atau lebih sering dikenali sebagai Ayah Arka.
Dan ini pula perkembangan terbaru beliau. Album lagu Abdul Rani bersama Neves Pretty Ugly dan Radhi OAG sudah siap dan bakal diedar tidak lama lagi.
Ia dinamakan sebagai Projek RNR - singkatan bagi Rani, Neves dan Radhi.
Penulis lirik Kipidap , Ahmad Abdullah mengesahkan lagu berkenaan sudah siap proses rakaman.
“Insya-Allah, jika tiada perubahan jadual, projek RNR dijangka keluar sebelum tahun baru,” katanya kepada Malaysiakini.
Ahmad yang juga Pengurus Persatuan Karyawan Malaysia berkata, tidak mudah untuk menyiapkan Kipidap kerana ia membabitkan tiga penyanyi sekaligus.
Susunan muziknya pula menggabungkan instrumen gitar, bass, dram, keyboard, akordian dan ukulele oleh kumpulan The Cekelat Cedap - kumpulan yang terbentuk kira-kira 10 minit selepas rakaman selesai.
Datang dengan pakej
Ahmad memberitahu, tidak mudah untuk membuat rakaman terutama apabila ia membabitkan tiga penyanyi sekaligus.
“Abdul Rani paling sibuk. Hanya pada 22 September baru kami dapat ‘tangkap’ dia sedangkan yang lain-lain sebulan sebelum itu,” katanya.
Kipidap juga bakal dikeluarkan dalam bentuk pakej yang datang bersama CD dan komik dihasilkan oleh kartunis Ronasina.
Komik itu mengisahkan Abdul Rani seorang yang cintakan keamanan dan sering membantu orang dalam kesusahan.
Ketika diwawancara Malaysiakini September lalu, Abdul Rani pernah menjelaskan dia tidak berkesempatan untuk merakam lagu kerana tidak sihat.
Dihubungi Malaysiakini hari ini pula, Abdul Rani berkata, dia memang sibuk menyebabkan hanya pada tengah malam baru dapat membuat rakaman.
“Kesibukan itu menjejaskan kesihatan.
“Untuk merakam lagu, saya perlu lebih tenaga kerana perlu banyak menyanyi,” katanya.
Ada lagi yang menarik di sebalik tabir Kipidap.
Walaupun di studio rakaman dan awal pagi, Abdul Rani tetap tampil dengan seragam lengkapnya - termasuk kaca mata hitam.
Namun, Rani mempunyai alasan tersendiri untuk berbuat demikian.
“Itu imej Kipidap Dongibab. Saya berbuat demikian (berpakaian seragam) kerana ia menunjukkan tahap disiplin tinggi,” katanya.