Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Apabila diumumkan dua daripada tiga nama calon finalis yang bakal berentap di pusingan akhir Masterchef Asia adalah peserta dari Malaysia, sudah pasti ia membawa harapan sekaligus debaran kepada penonton yang mengikuti siri berkenaan.

Sudah pasti tugasan memasak itu bukan saja menghadapi cabaran di dapur, tetapi ia juga mempertaruhkan status kemenangan.

Itulah ‘tanggungjawab’ yang perlu digalas oleh Marcus Low, 24, dan Jasbir Kaur, 54.

Seorang lagi pencabar ialah Woo Wai Leong, 37, dari Singapura.

Ketiga-tiga mereka berpeluang merebut pengiktirafan sebagai juara pertama Masterchef Asia pada 10 Disember ini.

Bagi Low yang berasal dari Kuala Lumpur, matlamat utama dia menyertai pertandingan itu adalah untuk berkongsi minatnya yang mendalam terhadap makanan.

Bagi Low, memasak bukan sekadar mencampakkan ramuan ke dalam kuali, tetapi mengadun ramuan sebaik mungkin untuk mendapatkan hasil yang benar-benar memuaskan hati.

“Saya mahu makanan yang dihasilkan dibuat dengan perasaan ikhlas kerana sebagai tukang masak, kamu masak makanan yang digemari.

"Saya berasa makanan bukan hanya mengenai ramuan sebaliknya ia menceritakan kisah tukang masak itu sendiri,” katanya semasa diwawancara di pejabat Malaysiakini kelmarin.

Memasak melawan bosan

Sebenarnya, kehidupan Low jauh berbeza daripada pertandingan yang disertainya.

Di luar Masterchef Asia, Low adalah pegawai bank.

Ditanya mengapa dia mahu menukar arah dalam kerjayanya, Low menjawab, dengan memasak dia berpeluang bergerak lebih cergas dan tidak hanya duduk setempat.

“Saya lebih selesa bergerak aktif dan berasa bosan sekiranya hanya duduk membuat satu kerja.

"Dengan memasak, saya juga berpeluang menyalurkan kreativiti,” kata lelaki yang mendapat jolokan Raja Pencuci Mulut itu.

Kreativiti Low di dapur bermula sejak dia berusia 15 tahun dan makanan pertama dimasak ketika itu adalah bruschetta - roti bakar dihidang dengan tomato dan bawang putih.

Hasil tangan Low buat pertama kalinya ‘dihakimi’ bapanya sendiri, dan sehingga ke hari ini masakan itu sering menjadi sebutan lelaki itu.

Menurut Low, hobinya itu berlanjutan hingga dia meneruskan pengajian di Melbourne, Australia.

Disebabkan kos sara hidup yang tinggi dan memerlukan perbelanjaan berjimat cermat, Low memilih untuk memasak sendiri hidangan hariannya.

“Bila belajar di sana, terlalu banyak masa terluang. Apabila tiada kuliah, itulah masanya saya memasak.

"Kos makanan di sana mahal, justeru jika mahu jimat saya kena masak sendiri.

"Selepas memasak berkali-kali, itulah saatnya saya menyedari saya mahu lakukan aktiviti itu hingga ke tahap tertinggi,” katanya.

Dia Ratu Rempah

Dalam industri memasak yang dimonopoli kebanyakannya lelaki, Low tidak memandang ia sebagai satu faktor perbandingan lazim yang perlu dipertikaikan.

Katanya, jantina seseorang tukang masak tidak perlu dijadikan isu persoalan.

“Saya tidak pernah menitikberatkan perbezaan antara tukang masak lelaki dan wanita kerana jika seseorang suka memasak, ia bukan mengenai jantina si tukang masak.

"Walaupun saya akui lebih ramai tukang masak adalah lelaki, saya juga tahu ada wanita begitu handal di dapur, dan dia adalah ibu saya,” katanya.

Bagi Jasbir pula, usia dilihat tidak menjadi penghalangnya untuk merebut gelaran sebagai juara Masterchef Asia.

Surirumah berasal dari Singapura tetapi kini menetap di Kuching, Sarawak sejak 29 tahun lalu selepas berkahwin dan dikurniakan tiga anak.

“Saya memang gemarkan makanan dan rancangan Masterchef menjadi inspirasi besar buat saya menyertai pertadingan ini.

"Keluarga saya tidak menghalang, malahan mereka amat positif dalam memberi galakan,” katanya.

Kalau Marcus diberi jolokan sebagai Raja Pencuci Mulut, Jasbir pula mendapat gelaran Ratu Rempah.

Ada buah salak

Dalam pertandingan itu nanti, Jasbir bercadang untuk memberi kejutan dengan membawa tema makanan yang sinonim dengan kepelbagaian etnik di Malaysia.

Jasbir berkata, dia mahu memasak makanan dengan ramuan yang jarang diguna malah memberi contoh ramuan ‘pelik’ yang pernah dimasak.

“Sebagai rakyat negara berbilang kaum, saya beruntung mengetahui pelbagai kegunaan ramuan yang berlainan.

"Saya akan cuba masak makanan yang jarang diketahui umum. Contohnya, hidangan menggunakan buah salak. Ia perkara yang mengujakan kerana di Malaysia bukan hanya mengenai buah durian,” katanya.

Menetap di Sarawak menjadikan Jasbir arif dan mahir pelbagai jenis masakan kaum selain Punjabi.

Dan dengan pengalaman memasak selama 54 tahun itu, Jasbir bercita-cita mengetengahkan makanan Malaysia yang kaya dengan ramuan etnik ke persada antarabangsa.

Untuk dinobatkan sebagai juara Masterchef Asia , ia memerlukan keazaman, minat dan cinta kepada makanan yang tidak berbelah-bagi.

Kedua-dua peserta itu - bersama Woo - berjaya mengalahkan 12 peserta lain dari pelbagai negara termasuk China, India, Indonesia, Filipina dan Taiwan.

Berjuang hingga garis terakhir

Dalam pertandingan akhir nanti, persembahan makanan mereka akan diadili finalis Masterchef Australia yang berasal dari Singapura Audra Morrice, chef selebriti dari Hongkong (kini menetap di Kanada), Susur Lee dan chef Michelin yang memiliki restoran Perancis di Jepun, Bruno Menard.

Sementara itu Low berkata kebimbangan lebih digeruninya bukanlah kritikan penonton tetapi kekangan masa ketika pertandingan berlangsung.

“Ada cabaran lain, iaitu kami perlu berlumba dengan masa sambil menyiapkan makanan.

"Ia memang memerlukan keazaman kerana kamu perlu mencabar diri sendiri untuk pergi lebih jauh," katanya.

Selain itu, Low juga berkata, fikirannya tidak tenang sepanjang memasak kerana memikirkan kemungkinan jika dia tersingkir.

“Dengan kesalahan kecil, kamu akan pulang. Walaupun ini adalah pertandingan, semua peserta adalah tukang masak yang hebat.

"Apa yang membezakan kamu daripada yang lain adalah kesungguhan kerana ia akan membuat kamu berjaya mengharungi pertandingan hingga ke garisan penamat,” katanya.

Jasbir pula berkata, bagi seseorang yang memasang impian untuk berjaya sebagai tukang masak, mereka tidak perlu mempunyai keraguan.

“Kamu tidak perlu berfikir banyak, sebaliknya lakukan saja. Pergi ke luar sana dan buat apa yang kamu suka. Jangan gentar sekiranya kamu sudah berusia lebih 40 atau 50 tahun. Walaupun saya berusia 54, saya berjaya berada di tempat ketiga jadi jangan takut untuk mengejar impian kamu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS