Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
EODM 'berselisih' dengan maut di Paris
Diterbitkan:  Nov 14, 2015 12:00 PM
Dikemaskini: 4:07 AM

Kumpulan Eagles of Death Metal (EODM) baru saja menaiki pentas di konsert rock Bataclan, Paris untuk memulakan persembahan apabila dewan itu gempar dengan serangan pengganas sebentar tadi.

Reuters melaporkan semua anggota kumpulan EODM selamat namun status anggota kru mereka belum dapat disahkan.

EODM ditubuhkan pada akhir 1990-an oleh dua sahabat Jesse Hughes dan Josh Homme dan anggota lain kumpulan itu sering bertukar ganti.

Perancis sebentar tadi mengisytiharkan darurat dan menutup semua sempadanya selepas lebih 150 orang dilaporkan maut dalam serangan berasingan di sekitar Paris.

Di dewan konsert di Bataclan sendiri, kira-kira 80 orang dilaporkan terbunuh.

Ribuan tentera berkawal

Media melaporkan penyerang - yang setakat ini belum dikenal pasti - menahan ramai tebusan sebelum polis bertindak dan menyerang mereka.

Media Perancis yang memetik sumber polis melaporkan, semua lapan penyerang sudah terbunuh dengan sesetengahnya meletupkan diri mereka sendiri.

Empat daripada mereka maut di Bataclan; tiga di Stade de France dan seorang lagi di Voltaire.

Penduduk Paris dilarang keluar dan kira-kira 1,500 anggota tentera dikerah berkawal di seluruh kota raya berkenaan.

Sementara itu ibu Hughes, Jo Ellen Hughes, memberitahu wakil Reuters di luar kediaman mereka di Palm Desert, California, dia sudah bercakap dengan anaknya melalui telefon.

"Dia kedengaran sangat terkejut dan menggeletar," katanya.

Daripada apa yang difahaminya, Jo Ellen berkata, semua anggota EODM dalam keadaan selamat.

"Namun saya tak pasti status kru yang menyertai rombongan mereka," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS