Kalau ada jodoh Jaafar Onn memang berharap zaman solonya dapat ditamatkan pada awal tahun depan.
Menurut Jaafar, 64, sebaiknya soal jodoh diserahkan sepenuhnya kepada ketentuan Allah, namun dia tidak menolak seandainya itu menjadi takdir dalam perjalanan hidupnya yang sudah sekian lama hidup membujang.
“Memang pada awalnya segan untuk pergi hingga ke tahap bercinta. Maklum sajalah, umur sudah berapa, kan.
“Sangat jauh perbezaan antara kami, tetapi nampak macam boleh pergi jauh.
“Kita berserah kepada Allah, kerana kalau sudah jodoh tidak ke mana,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian .
Media hari ini melaporkan, Jaafar yang dikenali sebagai artis serba boleh kerana mampu menjadi penyanyi, pelakon, pengacara dan chef mungkin menamatkan zaman bujangnya tidak lama lagi.
Bagaimanapun, kata Jaafar, dia tidak mahu mendedahkan maklumat mengenai kekasihnya itu, cuma memberitahu wanita berkenaan berusia 35 tahun dan berasal dari Johor.
Katanya, nama dan wajah wanita itu bakal diketahui menjelang majlis perkahwinan yang dirancang berlangsung awal tahun depan.
Menurut Jaafar, bibit pertama cintanya terhadap wanita itu bersemi ketika dia melakukan persembahan di Kulai Jaya, Johor.
“Saya terjumpa dengan dia ketika berada di Kulai Jaya, Johor. Selepas itu cinta mulai bersemi dan akhirnya saya melamar beliau awal tahun ini," katanya.
Bercakap mengenai masa depannya, Jaafar berkata: "Mana tahu selepas hidup berdua, keadaan menjadi lebih baik. Kami boleh melakukan ibadah dan bina hidup baru bersama.”