Sambutan memberangsangkan lagu Assalamulaikum sehingga diangkat sebagai Lagu Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2015 Oktober lepas, terus mendorong Faizal Tahir lebih banyak berkarya.
Sepuluh tahun dalam industri muzik, penyanyi lagu hits Sampai Syurga itu mahu terus melahirkan karya muzik ‘hidup’serta menggambarkan kehidupan sebenar.
Justeru, beliau kini muncul dengansingle terbaru berjudul Sayang, hasil ciptaan bersama Mike Chan.
“Saya menulis lagu ini beberapa bulan lalu apabila anak perempuan dimasukkan ke hospital kerana demam virus yang sangat teruk.
“Selama empat hari anak di dalam wad, saya melihat dia menangis kerana sakit dan itu sangat memilukan hati saya sebagai seorang bapa.
“Ia adalah satu pengalaman yang sangat menyedihkan apabila melihat anak menderita kesakitan. Setiap malam saya akan beritahu dia untuk menjadi kuat dan memujuknya tidur supaya esok dia akan berasa lebih baik.
“Pengalaman ini keseluruhannya yang memberi inspirasi kepada saya untuk menulis lagu Sayang,” cerita Faizal yang baru-baru ini dikurniakan cahaya mata keenam, diberi nama Khalid Al-Walid.
Berdasarkan lirik, lagu itu menggambarkan hubungan erat Faizal dengan anak-anaknya.
“Lagu Sayang adalah satu semangat yang luar biasa untuk saya sebarkan kepada masyarakat dan memberi mereka inspirasi bahawa anak-anak itu adalah anugerah Tuhan yang tiada gantinya,” ujar Faizal lagi.
Lagu itu edaran syarikat rakaman Warner Music Malaysia dan Faithful Music.