Selama dua malam peminat seni tari boleh menyaksikan keindahan dan keunikan 16 karya baru dipersembahkan dalam program Inspitari pada esok dan lusa.
Dibawa oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), ketua pengarahnya Datuk Norliza Rofli berkata, program berkenaan dibuat untuk mengembangkan khazanah seni budaya yang terdapat di negara ini.
“Ia untuk diketengahkan agar dapat dihayati bersama oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia,” katanya.
Menurut Norliza, objektif Inspitari adalah memperbanyakkan koleksi tarian baru.
"Tarian baru itu meliputi persembahan unik, segar, beridentitikan negara, dan mampu meningkatkan daya kreativiti koreografer serta artis setiap kumpulan kesenian JKKN," katanya.
Program itu bermula pada jam 8.30 malam pada 7 dan 8 November di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurut kenyataan dikeluarkan JKKN, Inspitari sebenarnya sudah berlanjutan selama enam tahun iaitu mulai 2010.
Sejak diperkenalkan, ia mempamerkan 96 karya baru yang digarap dengan idea segar tetapi masih mengekalkan identiti Malaysia.
Inspitari adalah persembahan tarian lama yang disuntik elemen baru supaya menjadi moden dengan unsur komersial agar terus relevan dalam industri persembahan.
Kali ini, seramai 278 artis Kumpulan Kesenian JKKN bersama 16 koreografer akan menyertainya.
Antara peserta ialah Ibu Pejabat JKKN dengan tarian Joget Jengket dan Tari ‘Gong’, JKKN Perlis (Tarian Lenggang Harum Manis), JKKN Kedah (Tari Gobek), JKKN Pulau Pinang (Zapin Parsi), JKKN Perak (Bubu Kert), JKKN Selangor (Tarian Batu Tumbuk), JKKN Kuala Lumpur (Rou You Gang) dan JKKN Negeri Sembilan (Monang Kobau).
Norliza berkata, Inspitari edisi sebelum ini mendapat sambutan hangat dan pihaknya berharap ia bakal melahirkan lebih ramai artis dalam bidang tarian.
“Ia juga sesuai menjadi pemangkin untuk melahirkan kumpulan yang mantap dan profesional,” katanya.