Disebabkan pentingnya gaya pemakaian dalam kehidupan seseorang, kerajaan Selangor mengangkat tema itu dalam usahanya menjadikan Shah Alam sebagai Bandar Dunia Fesyen Muslim.
Menurut Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, belanjawan kali ini dibentangkan untuk membangun negeri itu sebagai “Smart Selangor yang peduli” - sekali gus menjadikannya 'lubuk' penggemar seni.
“Pembangunan ekonomi perlu diimbangi menerusi sektor fesyen, muzik, filem, konsert, kegiatan intelektual dan kebudayaan.
“Ini kerana sektor berkenaan turut mencipta peluang pekerjaan di samping memberi pulangan ekonomi,” katanya semasa berucap membentangkan belanjawan di Dewan Undangan Negeri di Shah Alam, Selangor hari ini.
Menurut Azmin, ledakan trend berpakaian cara Islam kelas menengah dan keyakinan agama mencetuskan fesyen keperibumian, hijabista dan pakaian sukan wanita yang sopan.
Justeru, katanya, Selangor mengambil inisiatif daripada trend fashionista untuk memanfaatkan kebangkitan dalam industri fesyen Muslim.
“Melalui inisiatif ini, kita yakin Shah Alam akan masyhur sebagai pusat fesyen umat Islam di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
IDE tidak dilupakan
Sementara itu Azmin berkata, lanjutan daripada pengumuman Petaling Jaya sebagai Kota Seni, kerajaan negeri juga mencadangkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya mewujudkan Open Studio - ruang pengkarya muda - untuk mempamerkan hasil kreatif seperti seni catan, seni cetak dan seni arca.
Harapannya, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa itu, Petaling Jaya dapat menganjurkan pameran bertaraf biennial seperti yang pernah dibuat oleh Gwangju, Korea Selatan dan Jogjakarta, Indonesia.
Dalam pada itu, usaha lain kerajaan negeri boleh dilihat dalam memperkayakan khazanah ilmu melalui penterjemahan dan Buku Audio.
Kerajaan negeri, kata Azmin, memperuntukkan sebanyak RM2 juta menerusi produksi buku audio karya Melayu klasik moden untuk tujuan itum selain membantu golongan orang kurang upaya penglihatan berkongsi maklumat.
Peruntukan sebanyak RM5 juta juga dikhususkan untuk Institut Darul Ehsan (IDE) demi merancakkan aktiviti wacana dan mempergiatkan penyelidikan serta penerbitan.
"Ia bertujuan menggembleng tenaga fikir dan merangka strategi dalam menghadapi cabaran masa depan," katanya.
Azmin berkata, menerusi peruntukan sejumlah RM1 juta yang dicadangkan, pojek Peta Kebudayaan dengan kerjasama Psat Kebudayaan Pusaka dan Institut Smithsonian di AS akan dilaksanakan bagi memartabatkan warisan kebudayaan masyarakat orang asli Selangor.
"Kerajaan negeri juga telah memulakan inisiatif untuk membangunkan Galeri Seni dan Muzium Muzium Tekstil di Kelab Diraja Klang untuk mempamerkan koleksi lukisan serta kain tenunan, selain menempatkan hasil karya seni untuk menarik pelancong.
"Keseluruhan kos pembangunan ini dianggarkan berjumlah RM30 juta, termasuk membina laluan Heritage Walk," katanya.
Bagi mempamerkan koleksi setem yang mempunyai nilai sejarah dan warisan pula, kerajaan negeri bercadang untuk membina Muzium Setem di Shah Alam dan pembinaannya menelan belanja RM15 juta.