Bagi kita yang sejak kecil dididik dan dibesarkan dengan filem-filem aksi Hollywood lewat James Bond, Mission Impossible mahu pun Fast and Furious , tidak sukar untuk berasa terhibur dengan Polis Evo.
Polis Evo memiliki kebanyakan elemen hiburan yang telah ditetapkan oleh sekolah perfileman Hollywood - adegan polis mengejar penjahat, berbalas tembakan, kereta meletup, pergaduhan, komedi - selain elemen cinta (yang diringankan dalam filem ini).
Malah tidak sukar mencari filem yang seiras dengan Polis Evo dari Hollywood. Ia barangkali ada dalam filem-filem seperti Beverly Hills Cop atau American Gangster.
Polis Evo mereplikasikan elemen ini dengan sangat baik dalam latar Malaysia, ditambah dengan latar tempatan seperti penggunaan loghat Terengganu, watak gangster tempatan dan sedikit pemaparan budaya Melayu - Islam dalam beberapa babak.
Justeru adakah Polis Evo layak diperikan sebagai filem yang berwajah Malaysia?
Apa pun, semua itu tidak menolak kenyataan bahawa filem ini dibikin dengan cukup baik dan teliti oleh pengarahnya, Ghaz Abu Bakar yang sebelum ini pernah mengarah Hantu Kapcai dan Suami Aku Ustaz.
Sifat jujur pengarah
Adegan dalam Polis Evo disusun dengan lojik tanpa kecenderungan membodohkan penonton seperti lazim dilakukan filem lain Malaysia.
Sebagai contoh, dalam babak Inspektor Sani (lakonan Zizan Razak) menumbuk-numbuk dinding hospital lantaran marah apabila mengetahui adiknya diculik penjahat. Pelakuan itu disedari dan diperhatikan oleh salah seorang jururawat yang tidak setuju dengan perbuatan tersebut tetapi dia tidak berani melarang.
Babak sebegini walaupun kecil, memberi signifikan dan menghormati intelek penonton terhadap isu “takkan tak ada orang tegur polis buat begitu di hospital?”
Begitu juga dalam babak Inspektor Sani dan Inspektor Khai (Shaheizy Sam) melawat Maya (Mimie Ernida) yang baru sedar dari pengsan. Bekas jerutan di leher Maya akibat pergelutan dengan Jimbo beberapa hari sebelumnya masih kelihatan – satu lagi lojik yang tidak dipandang rendah oleh Ghaz.
Menghormati penonton adalah satu sifat jujur pengarah yang jarang ada dalam filem tempatan kini dan ia sangat dihargai. Pengarah tidak boleh sambalewa berbuat itu ini dan berharap penonton sama ada cukup bodoh untuk tidak menyedarinya atau memaafkan sahaja kesilapan tersebut.
Selain itu, filem kepolisan yang dibawa Ghaz juga lari dari kerangka yang telah dibina Datuk Yusuf Haslam dan Skop Productions – satu kesegaran yang melegakan.
Bijak memanipulasi
Sejak dari zaman Roda-roda Kota Raya tahun 1990-an sehingga Gerak Khas, gaya kepolisan dari sekolah pemikiran ini masih belum dicabar sesiapa sehinggalah Ghaz membikin Polis Evo .
Walaupun demikian, Ghaz tidaklah sehingga memperleceh - malah sebaliknya tetap menghargai - Gerak Khas sebagai perintis drama dan filem dalam genre ini apabila beliau dengan baik hati memasukkan A Galak yang memegang watak pegawai Inspektor Khai.
Berbalik kepada persoalan elemen Hollywood dalam Polis Evo, Ghaz sebenarnya bijak memanipulasi isu ini.
Beliau tahu tingkat hiburan yang dikehendaki ramai orang pada masa ini; nafsu dan selera penonton Malaysia secara umum, lalu menghidangkan sebuah naskhah yang kena dengan tingkat selera tersebut.
Ini kira-kira menjawab soalan bagaimana filem ini mampu mencatat jumlah kutipan RM11 juta dalam tempoh tiga minggu ditayangkan. Tanpa mahu mempertikaikan strategi ini, Polis Evo hakikatnya masih belum boleh diangkat sebagai filem terbaik atau berada sebaris dengan filem-filem hebat tempatan seperti Bunohan, Matinya Seorang Patriot atau Abang.
Berdasarkan sifir yang digunakan Ghaz dan Astro Shaw ini, saya berpandangan Polis Evo mungkin boleh diletakkan pada tingkat yang sama dengan Ombak Rindu.
A photo posted by Nora Danish Hanif (@noradanish) on
Secara jujur, kita menghargai usaha gigih, kreativiti dan kebijaksanaan Ghaz dalam membikin Polis Evo yang mampu “meletupkan” pawagam dan membuat penonton secara umum berasa berbaloi membeli tiket.
Tapi jika kita melihat kepada gambar yang lebih besar, harapan kita juga jadi lebih besar iaitu mahu melihat filem yang lebih dekat dengan jiwa dan akal budi kita seperti yang pernah dilakukan Datuk Rahim Razali lewat Puteri, Shuhaimi Baba lewat Selubung, malah oleh Mamat Khalid lewat Man Laksa.
Bulu roma meremang
Tanpa meletupkan kereta atau menculik Nora Danish pun, jiwa kita masih boleh disentuh oleh Seri, anak kecil yang bertanya adakah ayahnya (watak Azlan lakonan M Nasir) marah dalam Fenomena. Atau berasa diejek dengan watak Medical Assistant lakonan Sofi Jikan yang selalu berasa megah dengan pekerjaannya tapi penakut dalam Zombi Kampung Pisang.
Kita malah merindukan aksi bergaya dan bersahaja Ahmad Tamimi Siregar membalas cabaran Yusuf Wahab yang meradang sehingga naik atas meja pejabat dalam Anak Sarawak.
Juga bulu roma yang meremang sewaktu Hattan menyanyikan lagu kemanusiaan di atas pentas, menyambut kedatangan anak-anak pelarian Palestin, ketika M Nasir sedang menemani Deanna Yusuf di hospital yang sedang bertarung nyawa dalam Selubung .
Ah, mana perginya nilai dan kehalusan budaya Melayu yang misterius yang terpapar lewat tarian dan lagu dalam Puteri, nilai perjuangan berbumbu semangat kekeluargaan dalam Matinya Seorang Patriot, dan nilai penentangan, pemberontakan anak muda terhadap kapitalis dalam Kembara Seniman Jalanan ?
Begitu juga dengan sindiran sosial setajam Buai Laju-laju atau kritikan pedas terhadap gaya hidup baru bangsa Melayu pasca-DEB dalam Abang ?
Nilai-nilai inilah dikira lebih Malaysiawi, dekat dengan hati nurani kita, lebih kita senangi dan kenali wajahnya yang kuning langsat atau sawo matang, tidak pula asing seperti wajah Eurasian atau Caucasian yang pucat lesi.
Nilai-nilai ini jika ditempa dengan cukup berseni di tangan seorang pandai atau tukang yang betul akan lebih mampu menyentuh jiwa kita, meninggalkan kesan di sana; atau sebenarnya, yang ingin saya tulis sejak dari tadi – memuaskan tingkat nafsu yang lebih tinggi.
Ya, kita boleh terhibur dengan Polis Evo, malah boleh sangat terhibur. Tetapi selepas dua puluh atau tiga puluh tahun, barangkali tidak ada satu babak pun dalam filem itu yang melekat kuat di kepala dan hati kita.
HAIZIR OTHMAN anak Melaka yang menetap di Kelang dan bekerja dalam persekitaran buku-buku akademik di sebuah kolej swasta di Subang Jaya. Selain menulis cerpen dan puisi dia juga gemar berkhayal, menonton filem dan bola sepak