Bagaikan geram dan menyuarakan ketidakpuasan hatinya, pelakon Que Haidar membayangkan anugerah yang disediakan dalam Festival Filem Malaysia (FFM) kali ini hanya wajar diberikan untuk kanak-kanak.
Luahan di hati pelakon itu dimuat naik melalui akaun Twitter que_haidar mulai kelmarin selepas penganjur FFM ke-27 megumumkan senarai calonan terpilih untuk pelbagai kategori dipertandingkan.
Untuk makluman, Que Haidar terpilih sebagai salah seorang calon untuk Pelakon Lelaki Terbaik melalui filem Ophilia .
Filem itu juga terpilih dipertandingkan untuk Pengarah Harapan (Raja Mukhriz) dan Pelakon Harapan Lelaki (Kodi Rasheed).
Namun, ia tidak tercalon bagi kategori cerita asal dan kostum terbaik.
“Serius tidak faham kenapa Ophilia tidak tercalon dalam kategori cerita asal dan kostum terbaik. Memang tidak masuk akal. Syok kalau tahu siapa juri FFM27#,” katanya melalui Twitter.
Que Haidar atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 36, mendakwa pencalonan yang dibuat penganjur FFM ke-27 "tidak berdasarkan kajian" atau "tiada pengetahuan" dalam hal pemilihan.
Ikut tekak juri
Sambil mendakwa hanya filem dengan bajet besar saja layak memasuki FFM27, Que Haidar juga tidak menolak kemungkinan pemilihan berkenaan dipengaruhi amalan kronisme.
“Jadi jangan salahkan sekiranya anugerah itu tidak diambil serius. Ia kelihatan seperti anugerah pilihan kanak-kanak,” katanya.
Sementara itu, pelakon Bront Palarae tampil memberi respon untuk meredakan isu berkenaan - juga melalui Twitter.
“Kroni itu tidak mungkin. Tetapi barangkali elemen sub culture dalam Ophilia itu tidak ikut tekak juri dari sudut estetik.
“Bab penjurian, selalunya mengenai cita rasa dan sentimen. Di semua festival dari Cannes sampai ke Sundance, sampai ke Oscar,” katanya.
Bront turut memuatnaik komen itu dengan hashtag #sadly.
Bagaimanapun, Que Haidar memohon maaf sekiranya komen berkenaan menyinggung mana-mana pihak.
Katanya, dia terpanggil untuk memberi komen itu atas rasa cinta, kasih dan hormat bagi kerja seni. Dan untuk itu Que Haidar mengajak semua berfikir agar kejadian sama tidak berulang.
Que Haidar yang berasal dari Kulai Johor adalah bekas tenaga pengajar Akademi Seni Warisan Kebangsaan (Aswara) sebelum bergiat aktif dalam seni pementasan dan kemudian ke layar perak.
Dia pernah memenangi beberapa anugerah termasuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian, Anugerah Skrin TV3 dan FFM (2006 hingga 2009).