Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Ada setan di kepalanya - begitu gimik untuk filem seram Jwanita yang menjanjikan pengalaman berbeza kepada penonton.

Lembaga Penapis Filem (LPF) kemudian berpendapat beberapa adegan perlu dipotong.

Namun penerbit Jwanita mengadakan rundingan dan hasilnya memang menggembirakan Nuansa Sdn Bhd - tapisan itu dibatalkan dan LPF memberi lampu hijau supaya filem berkenaan ditayangkan seperti asal.

Perkara itu dinyatakan Pengarah Nuansa, Julian Jayaseela, kepada Malaysiakini semalam.

“Kami dengan gembiranya mengumumkan ia diluluskan oleh LPF,” katanya selepas pelancaran lagu Dendam Cinta yang menjadi runut bunyi filem Jwanita di Hulu Klang semalam.

Jwanita adalah filem seram thriller arahan Osman Ali menggabungkan pelakon handalan seperti Maya Karin dan Bronte Palarae

Sebelum ini dilaporkan sebanyak 30 peratus adegan dalam Jwanita terpaksa dipotong kerana dianggap tidak sesuai untuk tontonan di negara ini.

Terkilan kalau potong banyak

Satu daripada adegan yang menjadi perhatian LPF ialah babak Maya Karin memasak sup daging manusia untuk disajikan kepada keluarga adiknya.

Jwanita dikategorikan untuk penonton berusia 18 tahun ke atas.

Kata Julian ( gambar ), beliau akan terkilan jika terlalu banyak adegan sesebuah filem perlu dipotong.

"Sebagai penerbit, aspek penapisan memang tidak boleh diambil mudah kerana ada dua perkara yang perlu dipertimbangkan," katanya.

Pertama, menurut Julian, sebagai ibu bapa yang mempunyai anak, penapisan memang perlu supaya kandungan sesuatu bahan dapat dikawal agar tidak merosakkan.

Sebagai penerbit pula, katanya, unsur seram penting untuk menghidupkan cerita.

Lindungi wanita

Namun, kata Julian, tidak semua babak seram itu perlu dihasilkan secara jelas kerana ia boleh ditonjolkan dengan cara berbeza.

“Ini pendapat saya yang bukan sekadar sebagai penerbit, tetapi juga sebagai rakyat Malaysia dan seorang bapa," katanya.

Mengenai Jwanita, Julian sendiri menyatakan filem itu "amat seram".

"Saya takut gila. Saya tengok pun tutup mata,” ujarnya berseloroh.

Jwanita - jika ada yang bertanya - bermaksud jiwa wanita.

Sesuai dengan judulnya itu, filem berkenaan menjadikan wanita sebagai fokus utama untuk menyampaikan mesej bahawa isu sosial adalah tanggungjawab yang harus dipikul seluruh masyarakat.

Kata Julian, filemnya itu ditulis mengikut isu semasa yang sering dilaporkan media massa seperti kes wanita dibunuh, diseksa, diperlakukan tanpa rela dan pelbagai keganasan lain.

"Masyarakat harus bersama-sama melindungi wanita, kanak-kanak dan remaja perempuan.

"Itulah yang cuba diketengahkan dalam filem Jwanita ," katanya.

Filem terbitan Nuansa dengan kerjasama Ehsan Production itu akan mula ditayangkan pada 24 September ini.

 

 

 

#Hiburan Alyah menyanyikan lagu 'Dendam Cinta', lagu tema filem seram terbaru, Jwanita. Baca selanjutnya: http://www.malaysiakini.com/hiburan/309104

Posted by Malaysiakini (BM Version) on Tuesday, 18 August 2015

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS