Penerbit drama A Aida memberitahu, beliau lebih selesa hidup menjanda tanpa kehadiran lelaki bergelar suami.
Aida, 44, berkata, pintu hatinya tertutup dan serik untuk bercinta buat masa ini.
Menurut BH Online, Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang berkata, beliau tidak kisah memegang status janda walaupun dianggap negatif sesetengah pihak.
"Saya tidak pernah merasa gembira dan bahagia sebegini. Tidak terikat dan bebas untuk melakukan apa saja yang saya inginkan tanpa menurut arahan sesiapa.
"Boleh dikatakan menjanda ini satu rahmat buat diri saya kerana ia membuka mata saya betapa indahnya hidup ini. Kalau boleh tidak perlu wujudnya orang ketiga yang mengganggu kehidupan saya dan anak-anak.
"Kes nafkah dulu pun kiranya sudah selesai namun bukanlah seperti yang dijanjikan. Tahun ini adalah tahun kedua saya beraya tanpa suami tetapi Alhamdulillah hidup saya disinari dengan kehadiran anak-anak dan keluarga saya," kata Aida.
Aida sebelum ini berkahwin dengan Deputi Superintendan (DSP) Suffian Sulaiman pada April 2007 dan dikurniakan seorang cahaya mata.
Bagaimanapun, Aida dan Suffian sah bercerai talak dua pada 2013.
Sebelum berkahwin dengan Suffian, Aida juga pernah bernikah dengan bekas vokalis kumpulan Spring iaitu Ameng pada tahun 1994 dan berpisah pada tahun 2003.
Aida juga pernah berkahwin dengan seorang anggota polis sebelum mengenali Suffian.