KOLUM | Angkatan Reformasi 1998 pasti akan mengenang jasa Pak Lah apabila beliau bertindak tegas untuk tidak masuk campur dalam kes urusan Mahkamah Persekutuan melibatkan tuduhan liwat Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Ketegasan tersebut terzahir apabila Anwar dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan pada tahun 2004 apabila wujud keraguan dalam kes pendakwaan. 

Perkara ini pernah disuarakan oleh anak beliau dalam buku “Being Abdullah Ahmad Badawi” tulisan Dato’ Wong Sulong.

Susulan pembebasan Anwar, timbul teori konspirasi untuk membawa semula Anwar ke dalam Umno. Teori ini ditebalkan lagi apabila Khairy membantu Anwar mendapatkan passport dengan kadar segera selepas pembebasannya untuk beliau mendapatkan rawatan di Munich. 

Maka gegak gempitalah Perhimpunan Agung Umno pada tahun 2004. Ketua Pemuda Umno waktu itu antara yang menjadi juara dengan ucapan berkobar-kobar.

Apa kata yang tak dihemburkan dari mulutnya? “Petualang Bangsa yang telah memecahbelahkan Umno, melemahkan ekonomi negara… petualang ini tidak boleh diberikan ruang walau seinci di dalam Umno.” 

Kepanasan PAU itu telah melenyapkan terus teori konspirasi tersebut.  

Berbalik kepada ketegasan Pak Lah, sebenarnya tindakan Pak Lah ini tepat. Pak Lah mengambil alih jawatan perdana menteri daripada seorang pemimpin yang menjadi punca tercetusnya gelombang reformasi Rakyat.

Gelombang yang tercetus bukan sahaja kerana Anwar Ibrahim dipecat, tetapi ia adalah luahan terpendam rakyat yang mahukan perubahan, keadilan dan ketelusan. Ketika itu Anwar ikonnya.

Dalam masa sama Pak Lah menyedari kedudukan beliau di dalam parti masih belum kukuh. Sebagai orang politik beliau tahu risiko yang bakal berlaku ke atas beliau atas setiap keputusan yang diambil. 

Namun, atas rasa tanggungjawab beliau harus perbaiki keadaan. Defisit kepercayaan rakyat terhadap institusi penting negara semakin menebal. 

Ini termasuklah Institusi Kehakiman akibat dari krisis Kehakiman yang membawa kepada krisis Perlembagaan pada tahun 1988.

Defisit kepercayaan semakin memuncak apabila pada tahun 2007 tular rakaman video perbualan antara peguam VK Lingam dan seorang hakim kanan berkenaan janji peguam tersebut untuk memastikan hakim dinaikkan pangkat.

Perbualan tersebut telah berlaku pada tahun 2002.

Maka, pada tahun 2008, seiring dengan kebangkitan Kumpulan pendesak NGO serta pencapaian luar biasa gabungan pembangkang dalam pilihan raya, Pak Lah mengambil inisiatif lanjutan untuk membaiki keadaan.

Bayaran Ex-gratia kepada Salleh Abas

Pak Lah telah memberi bayaran anugerah ex-gratia kepada bekas ketua hakim negara Tun Mohd Salleh Abas (gambar bawah) dan lima lagi bekas hakim kanan - Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh, Tan Sri George Edward Seah Kim Seng, Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh,  Tan Sri Eusoffe Abdolcadeer dan Tan Sri Azmi Kamaruddin.

Mereka ini mangsa penyingkiran akibat krisis kehakiman 1988 yang berlaku.

Antara isu latar termasuklah bila mana kali pertama Perlembagaan Persekutuan dipinda khususnya melibatkan Perkara 121 yang membawa kepada pengurangan kuasa institusi kehakiman yang seolah meletakkan badan kehakiman berada di bawah Parlimen. 

Bekas ketua hakim negara Tun Mohd Dzaiddin Abdullah pernah nyatakan pada satu acara:

“The reason why this amendment is so objectionable is because parliament attempted to dictate to the judiciary that it only has the powers which parliament says the judiciary has.” 

Pak Lah pula menegaskan “Saya tidak membuat anggapan untuk menyamakan sumbangan, penderitaan dan kehilangan dengan sekadar mata wang, tetapi saya harap tuan-tuan dapat menerimanya sebagai satu sumbangan tulus ikhlas bagi memperbaiki apa yang telahpun berlaku," dalam ucapan bertajuk ‘Delivering Justice, Renewing Trust' di jamuan malam Majlis Peguam April 2008. (Dipetik dari laporan Malaysiakini)

Inisiatif ini menggambarkan usaha beliau yang merupakan Ketua kepada cabang Eksekutif untuk membalut dan menyembuhkan luka lama yang sekian lama dibiarkan berdarah.

Dalam masa sama, ia adalah satu pengharapan dari beliau sendiri agar luka ini tidak berdarah kembali di masa hadapan.

Perkenal Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) 2009

Seterusnya, sebagai jalan ke depan memperbaiki kewibawaan cabang kehakiman, Pak Lah telah menggubal Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009. 

Tujuannya adalah untuk membentuk satu suruhanjaya yang bertanggungjawab mencadangkan nama-nama calon hakim kepada perdana menteri.

Dalam erti kata lain, perdana menteri sebelum berbincang dengan YDPA, Majlis Raja-Raja Melayu, Ketua Hakim Negara dan Hakim-Hakim dalam proses lantikan Hakim seperti yang termaktub dalam Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya ini akan bertanggungjawab dalam cadangan nama lantikan yang ingin dibuat.

Ia secara tidak langsung memastikan proses pencalonan dan lantikan lebih telus dan seimbang. Maka akan wujud hubungan yang saling hormat menghormati apabila wujudnya tatacara lantikan yang teratur.

Hormat kebebasan kehakiman

Bekas ketua hakim negara Tun Abdul Hamid Mohamad dalam buku beliau “Hakim Bukan Parlimen - Koleksi Ucapan dan Rencana 2016-2020”, menulis pengalaman beliau semasa menjadi anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK).

Beliau mengesahkan Pak Lah ketika menjadi perdana menteri telah menghormati cadangan-cadangan yang diberikan anggota SPK tanpa campur tangan.

Begitu juga dalam urusan kenaikan pangkat Hakim, menurut Tun Abdul Hamid, Pak Lah akur dengan bantahan DYMM Sultan Azlan Shah terhadap desakan pihak tertentu untuk menghalang Tun Abdul Hamid menjadi ketua hakim negara sedangkan beliau adalah hakim yang paling kanan. 

Sekali lagi isu melibatkan kes Anwar timbul. Menurut Tun Abdul Hamid (gambar atas), desakan dari pihak tertentu timbul hanya kerana beliau bersama Tengku Baharuddin Shah membebaskan Anwar dalam pertuduhan kes liwat di Mahkamah Persekutuan kerana wujudnya keraguan dalam kes pendakwaan.

Jika kita renungi, risiko yang diambil beliau untuk bertindak telah mengeluarkan hayat akhir kerjaya politik beliau dari satu bingkai lukisan yang indah. Namun, walau demikian, perjalanan yang beliau tempuhi untuk melakukan perubahan adalah jauh lebih bermakna. 

Itulah Pak Lah. Beliau bertindak atas rasa hati untuk menggalas tanggungjawab bukan desakan pihak yang menggugat kedudukan beliau. 

Sesungguhnya pemergian beliau adalah satu kehilangan yang besar buat negara.

Pemergian beliau ini akan sentiasa dikenang bersama legasi besar yang beliau tinggalkan dengan memulakan Refomasi Kehakiman, sebagai iltizam untuk kembali membaiki kebobrokan lampau.

Legasi dan sikap ini harus diteladani pemimpin politik hari ini khususnya generasi muda.

Salam takziah buat seluruh anggota keluarga besar perdana menteri kelima Malaysia Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Tanggal 15 April 2025, Alhamdulillah saya berkesempatan untuk bersama umat Islam menunaikan solat jenazah dan memberikan penghormatan terakhir kepada beliau di Masjid Negara.

Semoga ruh beliau sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah SWT.


MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ  pengerusi Bersih.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS