ADS
Paling Popular
Terkini

KOLUM | Bermula sejak awal Ramadan hinggalah sambutan hari raya puasa, pusara keluarga menjadi salah satu tempat ziarah. Itulah tradisi kami umat Melayu.

Tanah perkuburan akan dibersihkan, pusara dihias indah dengan bunga dan tanaman menghijau.

Bunga kemboja, bidara, melur, rerumput dan pohon menghijau tumbuh subur memberi makna dalam budaya dan falsafah orang Melayu.

Wangian dan kuntuman bunga menyegar rasa, menyapa rindu akan kenangan lama.

ADS

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda bahawa pelepah kurma boleh meringankan azab bagi penghuni kubur selagi ia masih menghijau. Tambahan pula, setiap hidupan akan berzikir dan limpahan zikir memberi rahmat kepada para penghuni kubur.

Di Tanah Perkuburan Yahya Ahmad Dungun, bersemadinya ibu mentuaku sejak empat tahun lalu. Dia wafat dalam Ramadan pada usia 91 tahun. Waktu itu musim Covid 19 belum pulih sepenuhnya, tetapi dia bukanlah meninggal kerana penyakit itu. Dia mengalami sakit tua.

Dalam kefahaman kita, roh mereka yang meninggal semasa Ramadan akan terus ke syurga dan diselamatkan daripada pertanyaan kubur. Allahuakbar!

Suaminya pula bersemadi sedekad lebih awal di Pasir Tumboh, Kelantan.

Kenal berpuluh tahun

Sewaktu karangan ini ditulis, isteri bekas Ustaz Abu Bakar Hussein pula menghembuskan nafas terkhir. Ustaz itu pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Perak dan bekas Adun Titi Serong.

Awal Ramadan baru-baru ini, bekas wartawan Harakah, Pak Bakaq Haq aka Penarik Beca meninggal dunia di hadapan sahabat-sahabat lamanya sewaktu dalam PAS.

Begitulah kematian datang.

Sewaktu saya menziarahi pusara ibu mentua baru-baru ini, kawasan perkuburan itu dikunjungi beberapa orang. Memang kebiasaan pada waktu begitu mereka membersihkan kawasan, berdoa dan membaca surah Yasin.

Saban tahun pusara bapa juga akan kami ziarahi. Kenangan bersama takkan hilang dari ingatan kami.

Pusara dan kenangan pada mereka yang telah pergi lebih awal menemui Maha Pencipta adalah ingatan tentang kematian. Dan mengingati kematian akan menjadi kehidupan lebih hampir dengan Tuhan.

Menziarahi keluarga mereka yang meninggal dunia bukan sekadar berkongsi rasa dan menyampaikan takziah. Ia adalah juga lambang hubungan persahabatan.

ADS

Sekembalinya ke Perak, kami terus menziarahi sahabat saya, Ustaz Misbahul Munir Masduki dan keluarganya. Ahli Parlimen Parit Buntar itu baru sahaja kehilangan isterinya.

Wanita itu meninggal setelah mengalami strok hampir setahun.

Saya mengenali pasangan terbabit sejak di kampus kira-kira 30 tahun lalu. Bahkan anak-anak kami membesar pada usia yang lebih kurang sama.

Sewaktu kami berada dalam bahtera yang sama - PAS - kami meniti perjalanan perjuangan politik yang mendewasakan. Betapa kerap kami meninggalkan anak-anak yang sedang membesar di rumah. Betapa jauh kami bermusafir dengan kereta yang sederhana.

Betapa banyak perbelanjaan yang perlu diagih-agihkan untuk kelangsungan hidup dalam politik pembangkang.

Dulu sama, kini bahtera berbeza

Hanya kuntuman bunga sendiri yang memahami erti semua itu. Pohon cinta tumbuh pada bumi yang subur. Senyumannya adalah keindahan yang menambat.

Bisik suaranya adalah gemersik bayu dingin. Redup renungannya adalah cahaya senja. Kerana itu, kesetiaan perjuangan pada idealisme jauh lebih kudus dari kembang layar bahtera.

Saya dan Ustaz Misbah mula bertanding atas tiket PAS semasa negara dilanda gelombang Reformasi iaitu PRU 1999.

Itulah era yang mengangkat citra PAS sebagai sebuah parti untuk semua - PAS for all. Ketika itu, dia merupakan Ketua Pemuda PAS Perak dan saya pula naib ketua merangkap Ketua Pemuda PAS Pasir Salak.

Sejak itu, pada setiap kali PRU diadakan, dia bertanding. Lima kali kalah di Rungkup dan akhirnya menang di Parit Buntar pada 2022.

Kini kami masih mengharungi gelora samudera politik walaupun tidak lagi berada dalam bahtera yang sama.

Saya bertanding dua kali iaitu di DUN Sungai Manik pada 1999 dan kira-kira lima tahun kemudian di Pasir Salak . Lawan yang ditentang ketika di Pasir Salak Ramli Ngah Talib.

Kemudian bakinya lebih kepada memahami erti hidup dalam memberi. Politik tidak hanya pada kertas undi.

Begitulah masa memberi khabar berita. Episod politik tidak pernah surut. Akan ada sahaja ruang membakar semangat yang membunuh kemanusiaan dan juga menghidupkan kemanusiaan dengan cahaya kebenaran.

Pramoedya Ananta Toer berkata politik tanpa kemanusiaan adalah kedunguan, manakala kemanusiaan tanpa politik adalah impian.

Persahabatan, rumahtangga, masyarakat berantakan hanya kerana doktrin politik sempit wajib dikambus mati oleh kita semua.

Suka duka manusia hidup adalah putaran alam. Berjaya atau gagal sekadar ukuran manusia dalam dunia yang penuh fatamorgana.

Kenangan adalah bahasa kemanusiaan buat kita menghargai kehidupan berkawan dan bermasyarakat. Kekallah bersahabat biar berbeza wadah.

Politik demokrasi sepatutnya menambah kawan dan mengurangkan musuh. Sayang jika perhitungan itu tidak dalam sifir bersiasah.

Apabila kenalan sekeliling semakin berkurangan atau hilang dari mata, itu petanda terowong kita bertemu Tuhan semakin hampir. Rambut kami pun mulai dan sudah memutih.

Semua kita akan ke sana jua nantinya.

Semoga Ustaz Misbah dan anak-anaknya tabah mengharungi dunia tanpa watak isteri dan ibu di sisi pada bulan yang mulia ini.

Hari raya adalah kesempatan terbaik untuk biduk berlalu, kiambang bertaut. Selamat hari raya Aidilfitri, maaf zahir batin daripada saya kepada sidang pembaca sekalian.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS