KOLUM | Pada 1928, Kongres Kedua Pemuda di Betawi, Hindia Timur mengisytiharkan Sumpah Pemuda yang menyatakan bahawa tanah air mereka adalah satu iaitu Indonesia, bangsa mereka adalah satu iaitu Bangsa Indonesia dan bahasa mereka adalah satu iaitu Bahasa Indonesia.
Sejak itu, pejuang kemerdekaan mereka memulakan ucapan dengan: “Saudara-saudara sebangsa dan setanah air.”
Malaysia tidak ada perkara seumpama Sumpah Pemuda. Tidak ada sekumpulan warganya mengisytiharkan satu tanah air Malaysia, satu Bangsa Malaysia dan satu Bahasa Malaysia. Tetapi apabila Malaysia ditubuhkan, semangatnya begitu juga: Negara Malaysia, Bangsa Malaysia dan Bahasa Malaysia.
Tetapi pada tahun 1928 itu, Tanah Melayu dipanggil oleh British sebagai Malaya. Pusat pentadbirannya ialah di Singapura yang mengurus Malaya dalam bentuk tiga entiti, Federated Malay States, Unfederated Malay States dan Straits Settlements.
Ia kemudian diterjemahkan menjadikan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-negeri Selat. Tetapi kalau menganggap bahawa “state” itu “negara” dan bukannya “negeri”, maka terjemahannya sepatutnya Negara-negara Melayu Bersekutu, Negara-negara Melayu Tidak Bersekutu dan Penempatan Selat.
Kesemua sembilan “Malay States” itu adalah negara. Sebab itu di Perak, ada Istana Negara dan Dewan Negara. Perkataan “negeri” awalnya merupakan bermaksud “country” dalam bahasa Inggeris. Maka Kementerian Dalam Negeri adalah terjemahan daripada Ministry of Home Affairs. Ministry of Foreign Affairs diterjemahkan kepada Kementerian Luar Negeri.
Maka “state” yang merupakan entiti utama iaitu “negara” kemudiannyq bertukar menjadi “negeri”. Maka “Negara-negara Melayu” apabila menyertai entiti persekutuan diperkecilkan untuk menjadi negeri-negeri. Sementara Penempatan Selat dinaikkan kedudukannya sebagai Negeri Selat setaraf dengan “Negara-negara Melayu”.
Dalam Bahasa Indonesia, “state” iaitu negara yang bergabung ke dalam persekutuan seperti Malaysia dan Amerika Syarikat disebut sebagai “negara bagian” yang bermaksud “negara yang merupakan sebahagian daripada persekutuan”.
Singapura ditubuhkan sebagai negara pada tahun 1959 dan disebut sebagai “State of Singapore”. Maka Ketua Negaranya disebut sebagai Yang di-Pertuan Negara. Singapura menjadi negeri semasa menyertai Malaysia. Apabila ia keluar dari Malaysia, ia menjadi Republik Singapura dan Yang Dipertuan Negaranya menjadi Presiden.

Tanah air dalam bahasa Melayu bermaksud “negeri” dalam erti kata “country”.
Jadi apabila Sumpah Pemuda itu mengisytiharkan tanah air mereka adalah Indonesia, ia tidak bermaksud hanya kampung halaman tempat tinggalnya atau di mana wilayah yang mana raja mereka berdaulat. Tetapi tanah air mereka menjadi luas pada keseluruhan Hindia Timur.
Satu lagi istilah merujuk kepada tanah air ialah Ibu Pertiwi. Konsep ini datang daripada istilah Sanskrit; Prithvi yang bermaksud Bumi dan merupakan seorang dewi. Apabila disebut Ibu Pertiwi, maka anak-anaknya adalah “putera”. Mereka kesemua adalah anak Bumi atau “Bumiputera”, iaitu rakyat. Kalau dalam bahasa Inggeris, ada istilah “motherland”. Di Jerman, ia menjadi bapa iaitu “fatherland “.
Bangsa bukan merujuk etnik semata-mata
Selepas pengisytiharan kemerdekaan pada 1945, warganegara Indonesia menjadi Bangsa Indonesia, dengan di dalamnya ada pelbagai suku pribumi dan juga kaum yang datuk nenek moyang mereka adalah imigran seperti kaum Cina dan Arab. Mereka memanggil kaum Cina sebagai Tionghoa, suatu istilah yang dianggap lebih selesa daripada Cina.
Indonesia mempunyai banyak suku. Paling besar ialah Jawa, sementara Melayu yang tinggal di Sumatera adalah salah satu suku. Maka dengan pengisytiharan kemerdekaan, kesemuanya menjadi Bangsa Indonesia yang setara.
“Bangsa” di Indonesia bermaksud “nation” dan bukannya “race”. Ini kerana “race” disebut sebagai “ras”. Di Malaysia ada kekeliruan. “Bangsa” disamakan dengan “race”, dan bukannya “nation.” Apa yang disebut sebagai “kaum” dikatakan sebagai “bangsa”. Orang masih menggunakan perkataan bangsa Melayu, bangsa Cina dan bangsa India. Sebenarnya yang ada ialah Bangsa Malaysia.
Sementara Melayu, Cina dan India itu adalah kaum. Tetapi ada orang Melayu menganggap Melayu adalah bangsa kerana istilah kaum itu bersifat kecil. Istilah Bangsa Malaysia tidak disukai kerana dianggap bahawa ia merujuk pada persamaan hak dan taraf semua kaum di Malaysia. Ini kerana mereka menganggap Malaysia ini negara Melayu. Sebenarnya tidak. Malaysia adalah negara Bangsa Malaysia.
Pada tahun 1928 juga, Sukarno menubuhkan Parti Nasional Indonesia (PNI). Nasional adalah dari perkataan Belanda “nationaal” yang bermaksud kebangsaan, iaitu daripada istilah “nation” dan bermaksud bangsa. Maka parti ini memperjuangkan kebangsaan Indonesia, iaitu Bangsa Indonesia. Istilah “bangsa” sudah ditakrifkan semula sebagai kumpulan manusia yang menjadi warga pada suatu negara moden, juga disebut sebagai “nation-state” atau negara bangsa. Perkataan “bangsa” sudah tidak merujuk pada golongan etnik semata-mata.

Pada tahun 1928, konsep Indonesia sebagai negara dan bangsa belum dapat direalisasi. Istilah Indonesia hanya digunakan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan. Ia diharamkan oleh Belanda yang nemanggil tanah jajahannya Hindia Belanda. Bahasa Indonesia ketika itu pun belum ada. Ia masih dipanggil sebagai bahasa Melayu yang diterima oleh Belanda sebagai bahasa pentadbiran kolonial dan lingua franca.
Sukarno mengisytiharkan kemerdekaan Indonesia pada tahun 1945. Sekaligus ia melaksanakan Sumpah Pemuda iaitu wujudnya Bangsa Indonesia. Tetapi Belanda tetap mahu kembali. Perang berlaku hinggalah Belanda sedia berunding pada tahun 1949.
Pada tahun 1945. United Nations Organisation (UNO) ditubuhkan. Dalam Bahasa Indonesia, ia diterjemahkan menjadi Perserikatan Bangsa-bangsa (PBB). Tetapi dalam bahasa Melayu di Malaya, UNO dinamakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Kini UNO hanya dipanggil UN. Bangsa dan bukannya negara adalah terjemahan kepada “nation “
Pada tahun 1945 parti pertama orang Melatu ditububkan. Ia bernama Malay National Party (MNP) atau Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) oleh Mokhtaruddin Lasso, Dr Burhanuddin Helmy, Ishak Muhammad dan Ahmad Boestamam. Mereka memperoleh inspirasi dari PNI. Namun begitu pada masa itu perkataan “nasional” belum lagi digunakan dalam bahasa Melayu di Malaya. Perkataan yang digunakan ialah “kebangsaan.”

Pada tahun berikutnya, 1946, Dato’ Onn Jaafar yang turut terinspirasi dengan PBB menubuhkan United Malay National Organisation (UMNO) yang diterjemahkan menjadi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar). Sekali lagi kebangsaan digunakan untuk merujuk pada “national”.
Malaya mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Tetapi dalam bahasa Melayu, Malaya dipanggil Tanah Melayu dengan warga negaranya terdiri daripada orang Melayu, Cima, India dan lain-lain. Dalam bahasa Inggeris, mereka disebut Malayan, atau Malayan Nation yang pada hakikatnya ialah Bangsa Malaya.
Tetapi Bangsa Malaya tidak menjadi istilah atau konsep yang popular. Maka tidak pernah disebut Bangsa Tanah Melayu. Apabila disebut Bangsa Melayu, ia tidak inklusif untuk memasuki kaum Cina dan India. Pada realitinya Melayu adalah kaum dan bukannya bangsa. Apabila disebut Bangsa China ia merujuk pada warganegara China, begitu juga dengan Bangsa India merujuk pada warganegara India. Di Malaya, mereka adalah kaum.
Tetapi kemudian, perkataan “negara” menjadi terjemahan kepada “national “ Maka Natonal Mosque adalah Masjid Negara. National Museum jadi Muzium Negara. National Monument jadi Tugu Negara dan National Zoo jadi Zoo Negara.
Menyentuh setiap warga
Apabila ditubuhkan Malaysia pada tahun 1963, keadaan lebih mudah. Rakyat Malaysia dipanggil sebagai Bangsa Malaysia yang pada awal penubuhannya meliputi semua warganegara dari Malaya, Singapura, Sarawak dan Sabah. Bangsa Malaysia adalah Malaysian Nation.
Walaupun tidak disebut dalam perlembagaan bahawa. bahasa Melayu menjadi Bahasa Malaysia tetapi istilah ini digunakan dari tahun 1970-an dan 1970-an. Kalau Bangsa Indonesia ada Bahasa Indonesia maka Bangsa Malaysia ada Bahasa Malaysia, dan kedua-duanya adalah sebahagian daripada bahasa Melayu.
Tetapi banyak orang Melayu tidak suka konsep dan istilah Bangsa Malaysia dan Bahasa Malaysia. Ada sebabnya dan ada perbahasannya. Ketika saya bersekolah pada tahun 1970, salah satu buku teks saya bertajuk Bahasa Malaysia. Secara peribadi saya suka pada gagasan Bangsa Malaysia dan Bahasa Malaysia. Saya juga ada hujahnya, demi perpaduan kaum dan jati nasional.
Pada tahun 1970 selepas peristiwa 13 Mei, perkataan “nasional” mula banyak digunakan di negara ini menggantikan istilah “kebangsaan”. Maka muncullah Barisan Nasional. Perbadanan Nasional (Pernas), Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Permodalan Nasional Berhaf (PNB), Bank Simpanan Nasional (BSN), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan lain-lain.

Pada sekitar tahun 1980-an, Bahasa Malaysia kembali menjadi Bahasa Melayu. Mulanya sebagai nama mata pelajaran sekolah. Tetapi kemudian diterima secara rasmi dan digunakan secara umum.
Sebahagian orang Melayu bukan saja rasa tidak selesa dengan istilah Bahasa Malaysia tetapi juga berasa terancam dengan konsep Bangsa Malaysia. Mereka bukan saja mahu menggunakan istilah Bahasa Melayu tetapi juga Bangsa Melayu. Sedangkan “bangsa” itu merujuk pada “nation” yang di dalamnya terdapat pelbagai kaum. Nasional itu bermaksud kebangsaan meliputi bukan saja ruang geografi tetapi juga menyentuh setiap warganya dari semua kaum.
Kebangsaan Malaysia ini perlu diperkukuhkan dan bukannya diletakkan dengan sentimen negatif perkauman. Kena ada satu rasa penerimaan bahawa rakyat Malaysia adalah sebegitu rupa dan di atasnya dibina satu kehidupan bersama yang sejahtera.
ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.