ADS

KOLUM | Apabila sang pembenci menulis dan tulisan itu dibaca pula oleh si pandir sebelum disebar oleh kaki bakar, dunia yang damai akan menjadi tidak keruan, timbul perbalahan yang tidak perlu dan akhirnya persaingan yang merugikan.

Dalam kemajuan teknologi maklumat, kandungan di pentas pidato dan media sosial sangat mudah tular untuk menimbulkan kekeruhan dalam masyarakat. Segala persoalan hidup direkayasa menjadi isu politik.

Minggu-minggu mendatang ini, Ayer Kuning akan menjadi tumpuan politik. Maka bermulalah musim yang penuh dengan kekeliruan demi undi. Dan jangan hairan jika ada pihak yang menangguk di air keruh semasa musim PRK ini.

Mengambil kesempatan atau menangguk di air keruh semasa pilihan raya banyak contohnya. Antaranya menimbulkan ketakutan, keresahan, atau keghairahan dengan menjaja janji, menabur fitnah dan lain-lain.

ADS

Namun, istilah ‘menangguk’ dalam konteks tulisan ini merujuk kepada sesuatu yang dipandang dari sudut yang positif. Saya sekadar ingin menangguk kenangan peribadi di Ayer Kuning.

Kawasan Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning merupakan laluan saya ke Ipoh dari Teluk Intan. Di situlah letaknya stesen kereta api Tapah Road – Kuala Lumpur – Teluk Intan yang pernah menjadi laluan perhubungan sewaktu saya di universiti.

Harga tiketnya RM4 untuk perjalanan pergi balik dan sah digunakan dalam tempoh enam bulan.

Di situ jugalah tempat permainan zaman kanak-kanak. Saya akan berasa gerun mendengar bunyi kapal korek bijih timah yang beroperasi berhampiran Kampung Haji Dahlan. Ia seperti suara sang raksasa di celah-celah pohon getah.

ADS

Di kawasan DUN itulah tempat saya menemani arwah bapa menziarahi sahabatnya, Ustaz Busro yang pernah memimpin PAS Tapah.

Ada juga ramai kawan sekolah menengah saya menetap di situ. Arshad, Sulaiman, Shamsuddin, Sharif dan nama-nama lain yang sudah luput dari ingatan. DUN Ayer Kuning pernah menjadi tapak untuk saya berceramah politik semasa PRU.

Sejak PRU pertama, Umno sentiasa meletakkan calonnya untuk bertanding di situ dan berdepan dengan cabaran pelbagai parti pembangkang.

Angkatan mencabar Umno

PAS bukanlah parti pembangkang yang istiqamah menghantar calonnya ke Ayer Kuning. Berdasarkan rekod, PAS pernah menjadikan kawasan tersebut sebagai bahan tukar ganti untuk rakan pakatan politiknya.

Pada peringkat awal PRU dijalankan, PAS pernah Cuma mendapat beberapa ratus undi sahaja untuk kawasan tersebut. Hanya pada 1986 – ketika PAS diwakili Jamal Omar – parti itu berjaya mendapat undi yang mencecah angka lebih 1,000.

Sejak itu barulah PAS mampu mengumpul undi lebih banyak dalam setiap PRU namun jumlahnya begitu jauh ketimbang apa yang dikumpul oleh Umno-BN.

Pada 1990 dan 1995 PAS menyerahkan kawasan DUN Ayer Kuning itu kepada rakannya ketika itu, Semangat 46 (S46) bagi mewakili Angkatan Perpaduan Ummah mencabar Umno.

ADS

Kemudian pada 1999 dan 2004 PAS sekali lagi mengalah – kali ini kepada PKR pula – untuk bertanding atas nama Barisan Alternatif.

Dalam PRK bulan depan, PAS diberi laluan oleh parti komponen PN untuk bertanding. Namun parti itu mungkin akan kehilangan sentuhan magis Razman Zakaria yang khabarnya direhatkan daripada jawatan pesuruhjaya negeri.

Razman Zakaria

Ada kemungkinan langkah tersebut kesan daripada kelantangan Razman menyerang DAP yang sebaliknya merugikan karung undi PAS.

Justeru PRK Ayer Kuning pada 26 April ini merupakan peluang PAS untuk menunjukkan kemampuan mereka di Perak, sekali gus membuktikan parti itu masih ada ramuan mujarab mengumpulkan sokongan pengundi bukan Islam.

Ia bukanlah sesuatu yang sukar kerana di Perak ada tokoh besar seperti Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, yang terbukti bijak mengatur kata-kata.

Untuk rekod, DUN Ayer Kuning terletak di bawah kawasan parlimen Tapah. Asalnya kawasan parlimen itu dikenali sebagai Batang Padang. Ada dua kawasan DUN di bawahnya iaitu Tapah dan Tapah Road.

DUN Tapah Road yang itulah kini dinamakan sebagai Ayer Kuning.

Calon bukan Melayu

Ada sebatang sungai yang mengalir di kawasan tersebut. Sungai Batang Padang itu bermula dari Banjaran Titiwangsa memanjang ke Sungai Bidor dan seterusnya ke Sungai Perak.

Di sungai itulah orang kampung mencari ikan untuk menyara kehidupan dan menambah pendapatan.

Setiausaha Amanah Tapah, Berkali Kamal Hashim, pernah mengajak saya memancing ikan di situ. Malangnya saya bukan peminat aktiviti memancing. Apatah lagi menangguk atau menjala.

Kempen memancing pengundi kali ini mungkin kesempatan terbaik untuk saya singgah lebih kerap di Ayer Kuning.

Umumnya, DUN Ayer Kuning merupakan kawasan majoriti perkampungan Melayu seperti Temoh, Sungai Lesong, Ayer Kuning, Tanjung Keramat, Changkat Petai, Kampung Batu Masjid, pekan Tapah Road dan sekitarnya.

Pada PRU 1969, DAP melalui calonnya Ibrahim Singgeh memenangi kerusi berkenaan (Tapah Road) dengan mengalahkan calon Perikatan.

Nama Ayer Kuning pertama kali digunakan semasa PRU 1986. Ketika itu Azman Mahalan (BN) memenangi kerusi tersebut dan dia kekal menjadi wakil rakyat sehingga PRU 2004.

Pada PRU 2008, BN menguasai Ayer Kuning melalui Samsudin Abu Hasan yang mempertahankannya sehingga 2018 apabila parti itu meletakkan Ishsam Shahruddin sebagai calon.

Amanah pula – yang pertama kali menyertai PRU pada 2018 – mempertaruhkan Tan Seng Toh sebagai calonnya di Ayer Kuning. Ia adalah percaturan parti untuk merealisasikan citra Amanah sebagai sebuah parti untuk semua kaum.

Perhitungan tersebut gagal.

Langkah meletakkan calon bukan Islam di Ayer Kuning pernah diambil PAS sebelum itu, yakni semasa PRU 2013. PAS juga gagal merampas kerusi berkenaan daripada BN.

Secara idealnya, tugas mewakili kepentingan sesuatu kaum bukan bergantung pada warna kulit sebaliknya dipengaruhi oleh tekad politik (political will) yang sifatnya terlalu kayangan.

Banyak sejarah merakamkan tokoh yang lantang bersuara dalam isu agama dan bangsa hanya menunggang kedua-dua faktor tersebut untuk kepentingan kelompok sendiri.

Namun faktor bangsa dan agamalah yang masih mewarnai politik. Walhal ia boleh menjadi api yang membakar apa saja yang kita ada.

Justeru diharapkan semoga kempen PRK ini berlangsung dalam suasana jernih dan harmoni.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS