Paling Popular
Terkini

KOLUM | Artikel ringkas ini akan cuba memperkatakan persoalan "orang kita" dalam sesuatu kelompok atau organisasi politik terutama dalam parti kerajaan.

Pembentukan dan pengembangan identiti "orang kita" atau "orang aku" adalah bersifat dinamik, sebagaimana dinamiknya seni politik itu sendiri.

Oleh sebab itu dalam politik wujud watak dan perwatakan sesumpah, katak, amfibia dan sebagainya.

George Orwel bijak mengadun watak-watak politik dalam karyanya Animal Farm yang menarik sehingga terkenal di seluruh dunia.

Dalam sosiopolitik istilah "orang kita" atau lanjutannya menjadi "orang aku"boleh mencetuskan kegusaran dalam organisasi dengan membawa natijah hingga bercerai-berai.

Samuel P Huntington menulis sebuah buku yang bertajuk Who Are We yang membincangkan soal identiti AS sebagai sebuah negara. Banyak unsur yang menjadi identiti negara tersebut.

Bagaimanapun terdapat unsur-unsur lain turut mempengaruhi rupa wajah sesebuah negara.

Negara ialah entiti terbesar dalam cakerawala politik, manakala parti dan ahli politik pula adalah nukleus yang berlegar-legar di bawahnya.

Subur secara tak langsung

Sebagai contoh, Amanah - yang ditubuhkan pada 2015 - berada dalam fasa pengukuhan identiti dan di situlah tumbuhnya istilah "orang kita" atau mengikut retorik politik, disebut sebagai sejemaah, sefikrah dan seumpamanya.

Amanah adalah lanjutan kepada hilangnya status "orang kita" dalam tubuh PAS beberapa tahun sebelum itu.

Dalam bidang akademik, istilah "orang kita" membawa maksud yang paling hampir dengan oligarki. Tetapi dalam politik kampung, memang tiadalah istilah oligarki.

Secara akademik, oligarki merujuk kepada segelintir kelompok yang menguasai sesebuah parti politik atau kelompok tertentu. Ia cenderung bersifat elitis, eksklusif dan lazimnya tidak mempedulikan keperluan majoriti kecuali jika ia boleh menjejaskan kedudukan mereka.

Sifat elit dan eksklusif itu boleh disolek dengan slogan retorik yang sedap dihadam telinga. Contohnya istilah seperti syura, merakyat, membumi, mesra alam dan dan lain-lain.

Oligarki wujud dalam demokrasi dan sistem itu sendiri menyuburkannya secara tidak langsung. Ia dibaja dengan sentuhan kuasa birokrasi bagi memperkukuhkan kelompok berkuasa.

Meski demokrasi bermaksud kuasa rakyat, sistem itu tetap memberikan kekuasaan kepada kelompok tertentu dalam kalangan rakyat bagi mewakili mereka demi kebaikan untuk masyarakat.

Dari situlah lahirnya slogan yang mendasari demokrasi iaitu "daripada rakyat, untuk rakyat demi rakyat". Secara falsafahnya begitulah demokrasi itu diciptakan dan berlangsung sejak ribuan tahun lalu.

Ahli falsafah, Socrates, menganggap demokrasi adalah sistem pemerintahan yang buruk jika 'iblis' mendapat kuasa. Dia merujuk demokrasi di Athens pada masa hidupnya.

Cuma, kita sekarang bukan hidup dalam zaman Socrates. Demokrasi sudah banyak berubah dan beradaptasi.

Wakil suara dalam kerajaan

Secara praktikalnya, oligarki itu juga berlaku dalam masyarakat demokrasi. Dalam sistem itu, rakyat sebagai pengundi memilih calon untuk dijadikan wakil rakyat bagi mewakili suara mereka di parlimen atau di dewan legislatif.

Pada masa sama untuk menjadi calon pilihan raya yang mendapat restu parti, seseorang itu perlu menyiapkan dirinya menjadi "orang kita" atau "orang aku".

Banyak cara untuk mengidentitikan seseorang calon itu sebagai "orang kita" atau "orang aku". Proses tersebut tidak sekadar untuk mencipta citra pilihan raya, bahkan digunakan untuk jawatan-jawatan politik dan jawatan bukan politik.

Identiti yang dampak seperti logo, slogan, warna dan nombor keahlian tidak begitu kompleks ketimbang identiti tidak nampak.

Ia juga tidak terikat kepada keahlian parti. Keahlian adalah bab pentadbiran dan birokrasi yang berada di bawah kekuasaan orang atasan dan "orang kita".

Siang dia ahli parti cap ayam, malamnya pula dia boleh menjadi ahli parti cap itik. Benda boleh diatur!

Seorang wakil rakyat pula mewakili suara sejumlah pengundi di kawasan legislatifnya. Kemudian sejumlah wakil rakyat memberi sokongan daripada kalangan mereka (orang kita) untuk dipilih sebagai perdana menteri, menteri besar, ketua menteri dan seumpamanya.

Mereka yang terpilih sebagai perdana menteri dan seumpamanya akan melantik beberapa ahli legislatif sebagai anggota kabinet bagi mewakili suara mereka dalam kerajaan.

Menteri dan timbalan menteri mewakili sejumlah majoriti wakil rakyat yang memberi kepercayaan kepada perdana menteri.

Di peringkat jabatan atau kementerian pula, orang yang memiliki kuasa memilih beberapa orang kepercayaannya sebagai pegawai yang membantu tugasnya. Ia adalah sistem dan bentuk birokrasi.

Ia termasuklah pelantikan sebagai setiausaha politik, setiausaha sulit, pegawai media, pegawai khas dan tidak ketinggalan pengawal, pemandu dan tukang bawa beg.

Ruang dalam demokrasi

Untuk memudahkan kerja perdana menteri, menteri atau mereka yang berkuasa, akan wujud lingkungan kecil yang dianggap sebagai pembantu. Itu pun termasuk dalam kategori "orang kita" atau "orang aku".

Itu adalah sebuah forum perbincangan yang tidak mengikat diri mereka sebagai orang parti. Forum itu bukan mesyuarat yang formal sebaliknya adalah sejenis oligarki politik.

Ia boleh saja dibuat di kedai minum atau di rumah. Ia berlaku dalam organisasi parti, pertubuhan, dan jemaah.

Dalam tingkat tertentu, pengaruh "orang kita" itu pula mungkin boleh ditenggelamkan dengan daya kekuatan "orang aku".

Realitinya dari rahim demokrasilah oligarki, "orang kita" atau "orang aku" itu dilahirkan.

Lazimnya kekejaman dan kejahatan oligarki berselindung di bawah bayangan lidah suci dan kuasa pada tangan pemimpin. Bahkan oligarki berperanan menjustifikasi tindakan organisasi untuk diterima.

Perdana menteri, presiden, pengerusi atau apa jua jawatan dalam organisasi memang sedar kewujudan oligarki ini dan memang seringlah ia dimanfaatkan.

Ada ketikanya oligarki itu dibentuk di bawah kuasa dan inisiatif mereka yang mahu mengekalkan kedudukan. Pengekalan kuasa tidak salah dan sesuatu yang wajar dalam dunia politik.

Meskipun begitu perlu diingat bahawa demokrasi juga memberi ruang pada seseorang untuk membolehkan pemimpin atau sesebuah organisasi dilucutkan daripada kuasa sama ada melalui peti undi, pintu belakang atau dari langit.

Itu yang menariknya dunia politik, jika kamu belum tahu.


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS