KOLUM | Hari berganti hari. Minggu menjadi bulan. Bulan menjadi tahun.
Hari ini kita bersama-sama mengucapkan selamat tinggal 2024. Hari ini kita mengucapkan selamat sampai 2025.
Satu tahun telah berlalu. Maka mari kita lihat kembali apa yang telah kita lakukan.
Mari kita renung kembali apakah janji-janji diri telah kita lunaskan. Apa babak hidup yang telah kita lalui pada tahun 2024.
Saya ingat lagi tahun 2024 dahulu dimulai banjir. Tahun ini juga kita akhiri dengan banjir.
Banjir kini menjadi perkara biasa yang akan melanda kita saban tahun. Setiap tahun banjir ini akan lebih meluas dan lebih ampuh. Ini tanda bukti iklim dunia telah berubah.
Tahun 2023 dulu saya dan beberapa kawan-kawan telah menerbitkan buku Malapetaka Iklim – Memahami Pemanasan Dunia.
Kami - para penulis merasa bertanggungjawab untuk memberi pencerahan tentang iklim dunia yang semakin berubah. Tahun 2024 apa yang kami tulis menjadi benar dan benar belaka.
Buktinya kita boleh baca dari laporan media.
Dunia tahun 2024 kita lalui dengan perubahan cuaca yang semakin berubah – cuaca semakin panas.
Bertingkah-tingkah data muncul merakamkan bagaimana musim panas tahun 2024 yang terpanas di German, di Jepun atau di Australia.
Musim panas tahun 2024 merakamkan hari paling panas dalam rekod: 22 Julai 2024. Ini menurut analisis Nasa yang mengumpul data suhu harian global. Pada 21 dan 23 Julai tahun 2024 suhu panas juga melebihi rekod harian sebelumnya, yang ditetapkan pada Julai 2023.
Saya tidak perlu menjadi pakar cuaca untuk menyedari bahawa dunia semakin panas. Saya di besarkan di Jelebu wilayah paling kering di Malaysia. Saya juga pernah dua tahun tinggal di Kamunting Taiping wilayah paling basah di Malaysia.
Justeru saya tahu apa itu wilayah kering dan apa itu wilayah basah.
Sekarang saya tinggal di Kuala Lumpur. Setiap minggu saya akan pergi ke Pasar Chow Kit untuk membeli sayur dan buah-buahan. Saya akan masuk ke Jalan Raja Alang. Di kiri kanan jalan pasti ada gerai menjual durian. Saya perhatikan setiap minggu dan setiap bulan ada sahaja durian untuk dijual di gerai durian.
Menyimpang masuk ke Lorong Raja Bot saya lalu disebelah warung Cendol Durian. Perniagaan rancak sepanjang tahun. Saya ulang. Cendol Durian menjalankan perniagaan rancak sepanjang tahun.
Durian tidak lagi bermusim. Durian sudah menjadi macam pisang, buah kelapa dan betik. Berbuah sepanjang tahun.
Kalau tidak ada durian dari Pahang akan ada durian dari Jelebu. Jika Jelebu tanpa durian akan sampai durian dari Segamat. Hakikatnya durian tidak lagi bermusim. Durian ada di Pasar Chow Kit sepanjang tahun.
Tahun 2024 saya perhatikan juga kesampaian manggis, duku, langsat dan rambutan.
Semua ini pada satu ketika dulu jenis buah-buahan bumi tropika yang bermusim. Tahun 2024 ini saya perhatikan di Pasar Chow Kit manggis dan rambut ada hampir setiap minggu.
Harga mungkin berubah-ubah. Tapi untuk ibu yang mengidam nak merasa buah rambutan tidak akan kecewa jika datang ke Pasar Chow Kit.
Kalau begini nampaknya perubahan iklim itu positif. Dalam satu segi memang betul tapi awas perubahan iklim membawa malapetaka.
Malah saya pernah melawak satu masa nanti petai boleh tumbuh di London atau di Paris.
Tahun 2024 juga kita dalam tahun kedua kerajaan baru – kerajaan Madani.
Madani hasil kerajaan ‘titah’
Mahathir dengan kerajaan Sains dan Teknologi. Pak Lah dengan kerajaan Hadhari. Najib dengan kerajaan Satu Malaysia. Muhyiddin tidak sempat berkerajaan kerana di landa Cobid-19. Ismail Sabri dengan kerajaan Keluarga Malaysia.
Kini Anwar Ibrahim dengan kerajaan Madani. Sekali air bah. Sekali pantai berubah. Inilah yang berlaku sekarang.
Jangan sesekali kita lupa bahawa awalnya kerajaan Madani ini 'kerajaan titah'. Ini kerana dalam PRU15 tiada parti yang menang mutlak. Agong menitahkan agar kerajaan perpaduan didirikan.
Justeru Anwar dengan Pakatan Harapan dengan licik telah bersekongkol dengan Zahid daripada United Malays National Organization (Umno) untuk menubuhkan kerajaan.
Daripada 'kerajaan titah' ia diubah menjadi kerajaan Madani.
Tahun 2024 – sepanjang satu tahun kita lihat kerajaan Madani masih terumbang ambing. Masih tidak stabil. Masih goyah dan goyang.
Langkah licik Anwar melantik Zahid sebagai timbalan perdana menteri mungkin membolehkan Anwar menjadi perdana menteri tetapi ia tidak dapat memperklukuh kerajaan. Ini kerana Zahid berhadapan dengan 47 kes di mahkamah yang sedang dibicarakan.
Tidak ada siapa yang percaya 47 kes Zahid ini kes olok-olok. Semua warga Malaysia tahu bahawa Zahid sedang dibicarakan.
Anwar perlu mendapat sokongan Zahid untuk membentuk kerajaan justeru Zahid dibebaskan daripada tuduhan walaupun kes sedang dibicarakan.
Awal wahid lagi orang ramai melihat Anwar ini putar alam. Cakap lain dan yang dibuat lain. Tahun 2024 perangai Anwar buka mulut berohong makin terserlah.
Komedi Zahid bebas ini menjadi tragedi apabila Anwar mula berkempen untuk melawan rasuah.
Macam dunia nak kiamat kempen melawan Anwar rasuah hingga dia terlupa memandang ke kiri dan ke kanan untuk melihat muka Zahid yang terlibat dalam 47 kes rasuah dan salah guna kuasa. Kah kah kah.
Tragedi Zahid ini kembali menjadi komedi apabila Azam Baki kepala SPRM yang satu ketika dahulu dituduh oleh pemimpin PKR sebagai terlibat dalam rasuah kini menjadi aparacik setia kepada Anwar Ibrahim.
Anwar dengan licik mengambil pegawai kerajaan yang bermasalah untuk menjadi budak suruhan yang setia. Mat Salleh kata ‘’Ya tuan, ya tuan, tiga beg penuh”
Satu tahun ini watak dan tingkah laku Anwar semakin jelas difahami umum. Tidak perlu di sebut-sebut janji untuk mewujudkan reformasi atau perubahan dalam pentadbiran negara.
‘Lebih zalim dari Mahafiraun’
Semuanya terbarai. Malah kini slogan reformasi telah berubah menjadi reformati.
Bukan reformasi yang dibuat malah jelas dan sahih kerajaan Madani Anwar Ibrahim ini dilihat dan dibaca lebih zalim daripada kerajaan Mahafiraun Mahathir Muhamad.
Contoh paling afdal Akta Hasutan 1948. Ketika Mahathir menjadi perdana menteri kali kedua akta ini telah digantung penggunaannya.
Kini Anwar Ibrahim menghidupkan kembali akta ini. Kiri kanan depan belakang sesiapa sahaja yang cuba bersuara akan dikenakan Akta Hasutan 1948.
Undang-undang tahun 1948 ini diwujudkan oleh penjajah Inggeris untuk menentang nasionalis pejuang kemerdekaan Tanah Melayu.
Tahun 2024 Anwar Ibrahim telah menggunakan akta ini sebagai jala untuk menangkap sesiapa sahaja yang berani bersuara atau mengeluarkan pandangan yang berbeza dengan pandangan dan tingkah laku politik Anwar Ibrahim.
Tahun 2024 kita masuk ke zaman AI. Kecerdasan Buatan (AI) ini belum mengampuh seperti Internet.
Teknologi Internet telah menjadi senjata ampuh untuk pejuang demokrasi. Internet telah digunakan dengan bijak untuk menentang Mahathir. Buktinya Laman Mahafiraun.
Tik Tok senjata ampuh
Internet telah digunakan untuk mentertawakan Pak Lah yang suka tidur. Menantu Pak Lah dan Tingkat Empat menjadi bahan lawak pejuang demokrasi di Internet.
Najib dan suaminya Rosmah... opps... maaf silap.. isterinya telahpun menjadi sasaran Internet. Malah Internet memainkan peranan penting untuk menumbangkan Najib.
Internet kini berkembang. Telah wujud pelbagai jenis portal dan laman. Muncul Tik Tok kini dikatakan menjadi senjata ampuh untuk menegakkan keadilan dan menyelamatkan negara daripada Anwar Ibrahim.
Pada tahun 2024, Anwar Ibrahim dan kerajaan Madani sedar dan faham akan kekuatan Internet. Justeru satu undang-undang telah digubal. Undang-undang untuk mengawal Internet.
Akta ini di sifatkan oleh YB Syed Saddiq sebagai ‘Akta gam mulut rakyat, akta sakit hati’.
Anwar Ibrahim sakit hati terhadap musuh lama. Justeru tahun 2024 kita melihat satu demi satu musuh politik Anwar di tangkap dan di dakwa.
Jelas Anwar sakit hati pada Mahathir dan kepada Daim. Ini kes lama. Kes tahun 1998 bila mana Anwar Ibrahim dibuang dari kerusi Timbalan Perdana Menteri.
Atau saya silap ini bukan kes sakit hati tetapi kes dendam kesumat Anwar Ibrahim terhadap Mahathir dan Daim.
Tahun 2024 rakyat Malaysia wajib berbangga kerana boleh digunakan dengan perkataan Latin - addendum - yang memberi makna tambahan.
Awal tahun 2024 sebelum bersara Agong Sultan Pahang telah membuat titah tambahan kepada Najib yang kini di penjara di Kajang.
Titah tambahan ini telah menyelitkan perkataan Latin. Ini untuk memberi gempak kepada makcik dan pakcik Felda bahawa ilmu hukum hakam ini bukan mudah. Bukan sahaja petah bahasa Inggeris tapi wajib juga tahu bahasa Latin. Kah kah kah.
Sepanjang tahun 2024 satu Malaysia telah heboh dengan titah addendum ini. Titah addendum ini memberat dan menggoyahkan lagi kedudukan kerajaan Madani.
Titah addendum ini membuat perkara yang belum pernah berlaku berlaku. Semenjak Big Bang meledak Jabatan Peguam Negara tidak pernah mengeluarkan kenyataan pada hari Sabtu.
Hari Sabtu pejabat kerajaan tutup. Tetapi pada Sabtu 28 Disember 2024 ini ada kenyataan rasmi daripada Pejabat Peguam Negara tentang titah Adendum.
Untuk saya tahun 2024 akan saya ingat setiap tahun saya bertemu dengan perkataan Latin addendum.
Pada hemat saya jika Agong ada titah addendum saya yakin Anwar Ibrahim juga pasti tidak mahu kalah. Justeru tahun 2024 saya akan menambah ingatan sepanjang tahun addendam. Amin.
HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.