Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum

KOLUM | Ada satu soalan yang mahu saya tanyakan. Mengapakah kita amat marah apabila mengetahui pelaburan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) ke atas FashionValet Sdn Bhd (FashionValet) mengalami kerugian?

Kenapa tiba-tiba saja rakyat Malaysia jadi bengang apabila Khazanah dan PNB mengumumkan hanya RM3.1 juta diperolehi hasil penjualan saham mereka dalam FashionValet?

Apakah yang membuatkan kita lantang bersuara mengatakan dana RM43.9 juta yang leboh itu adalah wang mereka juga sebagai warganegara Malaysia?

Sampai ke saat ini saya masih tertanya-tanya - apakah yang telah mengejutkan mereka daripada tidur agaknya.

Mengapa tiba-tiba saja kita jadi begitu cakna hingga ramai yang panas dan melenting di media sosial. Kenapa mereka merasakan pelaburan RM47 juta oleh Khazanah dan PNB itu adalah skandal yang perlu siasatan segera?

Sekelip mata saja nama Khazanah dan PNB jadi sebutan dan polemik kerana didakwa cuai dalam penelitian sebelum melabur. Kemudian SPRM pun menjalankan siasatan.

Soalan kedua yang saya mahu tanyakan: Di manakah mereka yang bising-bising ini pada 2023?

Tidakkah mereka tahu bahawa Khazanah juga pernah rugi besar pada tahun tersebut?

Mengapa pada waktu itu tiada sebarang teriakan solidariti kedengaran? Ketika itu Khazanah dilaporkan mengalami kerugian hasil pelaburan dalam Pinewood Studios.

Tamat kerjasama serta-merta

Mengapa tiada kedengaran sebarang rungutan awam di media sosial apabila Khazanah menjual Iskandar Malaysia Studios Sdn Bhd kepada syarikat Singapura?

Begini. Pada tahun 2009, Beserah Ventures Sdn Bhd (BVSB) iaitu salah sebuah anak syarikat milik Khazanah telah memeterai kerjasama bersama sebuah syarikat British iaitu Pinewood Shepperton Plc (Pinewood).

Pelaburan yang dianggarkan menelan kos pembangunan antara RM528 juta hingga RM748 juta untuk sebuah studio di Iskandar Puteri Johor itu dikhabarkan akan membawa banyak limpahan ekonomi buat negara, negeri dan para pemain industri.

Keputusan Khazanah memilih Pinewood sebagai rakan strategik dalam pelaburan mereka itu dianggap bijak memandangkan reputasi Pinewood dalam industri studio selain memiliki kepakaran dan pengalaman puluhan tahun dalam produksi penerbitan filem dan tivi.

Namun kerjasama strategik mereka itu hanya kekal selama 10 tahun. Entah mengapa tiba-tiba saja pada 2019, Pinewood mengambil keputusan untuk menamatkan kerjasama mereka serta-merta.

Tiada siapa tahu apa sebenarnya yang berlaku. Tidak ada sesiapa yang benar-benar mengetahui dan memahami bagaimana hubungan strategik antara mereka boleh terlerai sehingga Pinewood - ketika itu memiliki studio di AS, Kanada, Republik Dominica dan tiga studio di United Kingdom - keluar dari Malaysia.

Semenjak itu nama Pinewood Iskandar Studios ditukar menjadi Iskandar Malaysia Studios.

Nah, tentu saja insiden itu memberikan kesan negatif dan memberikan cabaran luar jangka pada perniagaannya bagi mencapai objektif asal pelaburan mereka.

Ternyata peristiwa itu hanya menjadikan kompleks studio seluas 49 ekar dan dilengkapi bermacam-macam peralatan canggih itu berdepan kesukaran mencapai matlamatnya untuk menjadikan studio tersebut sebagai hab kreatif Asia Pasifik.

Melalui unjuran yang dikeluarkan Khazanah, studio canggih itu bakal mewujudkan 3,000 peluang pekerjaan langsung selain berpotensi menambah 5,000 pekerjaan tidak langsung.

Fesyen lebih dekat dengan jiwa

Ia malah dijangka memberikan impak ekonomi sekitar RM1 bilion dalam tempoh lapan tahun operasi selain berupaya menarik minat syarikat penerbitan filem dan tivi luar menjalankan proses penerbitan dan penggambaran di Malaysia.

Bagaimanapun pelaburan bernilai lebih RM500,000 juta itu akhirnya dijual pada harga RM32 juta saja kepada sebuah syarikat media terkemuka Singapura, GHY Culture & Media.

Pada waktu itu di manakah suara rakyat Malaysia yang merasakan pelaburan dana awam dari Khazanah itu adalah wang mereka juga?

Di manakah mereka yang berasa dana negara tidak patut disia-siakan sebegitu rupa?

Apakah kerana filem dan industri seni ini dirasakan tidak begitu penting kepada kehidupan rakyat malaysia berbanding tudung Duck dan selendang Lilit?

Atau sebenarnya memang dunia fesyen lebih dekat dengan jiwa kita Malaysia berbanding produksi filem yang dihasilkan para pengkarya di negara kita?

Dalam pembentangan belanjawan baru-baru ini sejumlah RM160 juta telah diperuntukkan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Daripada jumlah itu, RM65 juta akan disalurkan ke Dana Kandungan Digital untuk syarikat penerbitan yang difikirkan layakan oleh Finas supaya mereka boleh menghasilkan filem cereka yang bermakna.

Dalam sejarah Finas, memang ada banyak tercatat kerugian dalam pelaburan mereka.

Bukan sedikit isu kontroversi terkait tatakelola pengagihan dana yang pernah diributkan. Malangnya ribut taufan itu hanya berlegar dalam kalangan pemain industri saja.

Ia tidak pernah menggegarkan platform media sosial seperti apa yang kita lihat berlaku dalam isu FashionValet.

Oleh sebab itu boleh jadi ramai yang tidak tahu, pada April tahun lalu bekas Ketua Pegawai Operasi Finas, Md Nasir Ibrahim, mendedahkan bahawa terdapatnya penyelewengan dana melibatkan 47 syarikat produksi dan individu.

Ketirisan yang dilaporkan itu menyebabkan dana negara sebanyak RM22 juta lesap antara 2015 hingga 2019. Md Nasir dipecat daripada jawatannya pada Jun 2023.

Tahukah anda ada syarikat yang menerima dana lebih RM500,000 daripada Finas kemudian menerbitkan filem yang memungut hasil jualan tidak sampai RM5,100 di seluruh pawagam?

Ada soalan yang mahu saya pertanyakan: kenapa kerugian pelaburan dan skandal penyelewengan dana dalam industri perfileman tidak dianggap penting?


HARIS HAUZAH ialah penulis yang leka menghibur diri sendiri dengan membuat persembahan di beberapa pusat karaoke di sekitar Lembah Klang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS