Ketika tulisan ini digarap lebih 32,000 orang telah mendaftar untuk menghadiri Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) COP29 tahun ini. COP ialah Persidangan Pihak-Pihak yang memeterai Konvensyen Kerangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).
COP29 berlangsung di Baku, Azerbaijan dari 11 hingga 22 November 2024.
Persidangan Perubahan Iklim PBB (COP) ini berlangsung setiap tahun semenjak tahun 1992.
Lembaga ini merupakan satu-satunya forum yang membuat keputusan pelbagai hala di dunia mengenai perubahan iklim yang membawa bersama-sama hampir setiap negara di bumi.
Tahun ini wakil dari 198 negara yang telah meratifikasi konvensyen COP hadir.
Turut sama di Baku, puluhan badan bukan kerajaan (NGO), aktivis iklim dan pakar cerdik pandai, ilmuwan dalam bidang iklim. Semua datang untuk mendengar dan melihat keadaan iklim dunia hari ini.
Taliban hadir sidang iklim
Tahun ini amat menarik kerana pertama kali Taliban menghadiri persidangan iklim PBB sejak mereka mengambil alih Afghanistan pada 2021.
Saya yakin Taliban hadir sama kerana pada 10 Mei 2024, hujan lebat dan banjir kilat telah melanda timur laut Afghanistan.
Tanah runtuh dan banjir mengakibatkan 300 nyawa hilang dan lebih 60,000 orang terjejas.
Sebelum persidangan bermula, PBB menyatakan pada tahun 2025 Nigeria dengan penduduk berjumlah 223 juta akan berhadapan dengan kekurangan makanan. Diramal seramai 33 juta warga Nigeria akan dilanda kebuluran.
Panas, banjir, kemarau, tanah runtuh, kebakaran, tuaian gagal, sawah kering-kontang dan kebuluran – semua akibat daripada pemanasan global.
Hutan di Kanada masih terbakar semenjak tahun 2022 hingga ke tahun ini.
Baranya masih menyala. Data menunjukkan pada tahun 2023 terdapat 6,551 kelompok hutan terbakar. Kebakaran ini melibatkan 15 juta hektar hutan. Ini satu rekod.
Di Australia saban tahun pihak bomba akan memadamkan 45,000 hingga 60,000 kebakaran hutan – apa yang dipanggil bushfire.
Pada tahun 2009 di Victoria 173 kematian dan 2,000 rumah musnah terbakar. Dari tahun 2023–2024 jumlah hutan terbakar di Australia ialah 144,537,200 hektar.
Di Eropah antara 11 dan 18 September 2024 yang lalu, hujan lebat dan ribut telah melanda bahagian Austria, Poland, Slovakia dan Republik Czech. Pekan dan kampung tenggelam dan ribuan wajib berpindah.
Pada Jun 2024, banjir besar melanda Jerman Selatan, menyebabkan 6 kematian. Banyak rumah dan kereta tenggelam hanyut dan ramai wajib berpindah.
Ketika tulisan ini di garap hujan lebat sedang turun di Sepanyol. Keadaan masih darurat dan berjaga-jaga.
Dua minggu dahulu banjir telah melanda wilayah Valencia yang berhadapan dengan Laut Tengah.
Warga Sepanyol demo
Lebih 214 nyawa hilang. Puluhan masih dicari dalam timbunan lumpur. Ratusan rumah musnah dan ribuan wajib berpindah.
Dunia tersenyum apabila Raja Felipe IV yang datang melawat mangsa banjir telah dimaki hamun oleh penduduk Valencia. Para politikus yang datang bersama Raja telah dibaling dengan lumpur dan batu. Warga amat marah kerana bantuan lambat sampai.
Malah banjir di Valencia ketika ini telah menjadi agenda politik. Pada Sabtu 9 November lalu lebih daripada 100,000 warga Valencia telah turun ke jalan raya menuntut kerajaan tempatan meletak jawatan kerana gagal mengatasi masalah banjir. Pada masa yang sama warga di wilayah Barcelona juga turut berdemo.
Pendedahan kepada bencana telah meningkat dalam beberapa dekad kebelakangan ini di Amerika Latin dan Caribbean.
Semua ini didorong oleh kesan perubahan iklim, pemanasan dunia serta kesan aktiviti manusia terhadap alam sekitar.
Saya menulis tulisan ini untuk membawa pencerahan. Untuk kita sesama memahami apa yang umat manusia sedang hadapi.
Bila hujan subuh sampai maka Shah Alam, Kepong, Klang dan jalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur di tanah banjir kilat. Nama Taman Seri Muda sinonim dengan banjir.
Sebut sahaja banjir warga Kuala Lumpur akan teringat dengan Taman Seri Muda yang berhadapan dengan banjir saban tahun. Ada kala teruk, ada kala ringan.
Jangan lupa dengan Banjir Kuning – ini terminologi Orang Kelantan. Banjir besar ini berlaku pada bulan Disember 2014.
Dunia makin panas
Banjir Kuning 2014 yang melanda Kelantan - Tumpat, Pasir Mas, Gua Musang dan Kota Bharu - antara yang terburuk dalam sejarah negara.
Rumah runtuh, jambatan hanyut, jalan terbarai - kerugian infrastruktur dan aset awam adalah dianggarkan sebanyak RM200 juta.
Ini belum termasuk kerugian dialami orang persendirian dan perniagaan.
Semua yang saya tulis ini manifestasi perubahan iklim. Dunia kita makin panas. Hari demi hari suhu panas makin meningkat.
Data baru , yang dikeluarkan pada persidangan iklim COP29 PBB di Azerbaijan, menunjukkan pelepasan gas karbon dioksida daripada arang batu, minyak dan gas akan meningkat sebanyak 0.8 peratus pada tahun 2024.
Kita – umat manusia seluruh dunia – wajib menurunkan pelepasan gas karbon dioksida sebanyak 43 peratus menjelang 2030.
Pengurangan ini agar kita ada peluang untuk mengekalkan sasaran penurunan suhu 1.5 Celcius.
Kita hanya ada enam tahun – saya ulang – dalam masa enam tahun ini kita wajib bertindak mengurangkan pelepasan suhu panas. Jika tidak....
Syaitan besar yang memanaskan bumi kita hari ini ialah pembakaran fosil – arang batu, minyak petroleum dan gas.
Dunia tempat umat manusia hidup ini dipanaskan oleh perbuatan dan tingkah laku manusia sendiri. Kitalah – manusia – yang sedang membakar dunia kita ini.
Pembakaran fosil yang kita lakukan ini merupakan penyumbang terbesar kepada perubahan iklim global, menyumbang lebih 75 peratus daripada pelepasan gas rumah hijau global dan hampir 90 peratus daripada semua pelepasan karbon dioksida.
Kita sekarang seperti duduk di bawah rumah hijau. Rumah hijau diguna oleh Pak Tani untuk memerangkap cahaya matahari agar sayuran yang ditanam tumbuh subur.
Jika bumi jadi rumah hijau maka umat manusia, tumbuhan dan haiwan akan mati kering.
Kesan rumah hijau lahir apabila gas-gas ini memerangkap haba daripada matahari, menyebabkan planet menjadi panas. Beberapa gas rumah hijau berlaku secara semula jadi, tetapi kita seperti membakar bahan api fosil – minyak kereta - telah meningkatkan jumlah karbon dioksida di atmosfera.
China pencemar iklim terbesar, membentuk hampir 30 peratus daripada pelepasan gas yang menimbulkan kesan rumah hijau.
Sesudah China ialah India, Amerika dan Kesatuan Eropah. Data PBB tahun 2022 menunjukkan negara-negara ini bertanggungjawab melepaskan 89 peratus gas-gas yang memanaskan dunia.
Para ilmuwan alam sekitar, para bijak pandai iklim, para perancang ekonomi dan para aktivis sedang berbincang mengenai masa depan dunia kita di Baku.
COP29 ini pasti akan membincangkan pertukaran sumber tenaga utama daripada minyak petrol dan arang batu kepada tenaga bersih dan boleh diperbaharui. Ini termasuk teknologi seperti tenaga suria, angin, ombak, pasang surut dan tenaga wap dari dalam perut.
Kita yang bukan pakar, kita yang bukan arif dalam hal iklim wajib juga menanyakan diri kita sendiri. Apakah yang boleh kita lakukan dalam masa enam tahun ini untuk memastikan suhu dunia tidak meledak naik?
Daripada apa yang kita semua tahu kerajaan hari ini juga mempunyai kesedaran tentang pemanasan global dan cuaca buruk yang sedang melanda.
Justeru kita ada APBN – Agensi Pengurusan Bencana Negara yang bersedia membantu mangsa banjir atau mangsa malapetaka iklim.
Malaysia salah satu negara dalam dunia ini yang ada kementerian khusus untuk alam sekitar. Ini tanda baik.
Kita wajib mengalu-alukan langkah kerajaan untuk menamatkan penggunaan plastik pada tahun 2025. Ini satu langkah positif. Mengalu-alukan tidak cukup jika kita sebagai warga wajib juga mengubah gaya hidup kita dengan mengurangkan penggunaan plastik.
Pada hemat saya pengumuman kerajaan untuk meninggalkan plastik pada tahun 2025 ini tidak cukup gempak. Kempen antiplastik wajib dirakyatkan.
Merakyatkan kesedaran akan bahaya plastik terhadap alam sekitar untuk saya adalah kempen numero uno – kempen utama.
Kesedaran individu secara organik dalam hal plastik ini penting. Ini kerana setiap hari kita berhadapan dengan plastik. Hidup kita selain daripada sedang dibakar oleh rumah hijau kita juga sedang dibungkus oleh plastik.
Melalui kempen tolak plastik ini kita boleh memberi pencerahan tentang alam sekitar dan pemanasan global kepada semua warga - tua muda janda dan dara.
Persidangan COP29 di Baku belum selesai. Kita tunggu apakah yang sedang di rancang
Pada hemat saya jika dalam masa 6 tahun umat manusia gagal untuk memastikan suhu dunia tidak naik maka setiap tahun kita akan membaca Kanada dan Australia terbakar. Setiap tahun kita akan baca tanah runtuh di Afghanistan.
Kita akan melihat gambar-gambar orang Afrika mati kebuluran. Kita akan membaca dan melihat binatang liar di Afrika mati bergelimpangan haus tanpa air.
Saya bukan pembawa berita buruk. Saya juga tidak mahu dilihat sebagai penyebar ayat-ayat syaitan.
Saya menulis ini kerana saya tidak mahu mendengar, membaca dan melihat berita Taman Seri Muda banjir lagi. Amin.
HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.