Rumah saya diberkati dengan empat generasi. Anak-anak saya terdiri dari Generasi Z iaitu yang lahir antara tahun 1995 sehingga 2012, dan Generasi Alfa iaitu anak-anak yang dilahirkan antara tahun 2013 sehingga 2025. Ini bermakna anak Gen Alfa yang termuda belum pun dilahirkan. Manakala Gen Z yang tertua dalam generasi ini sedang memulai kerjaya mereka.
Dalam masa sama, golongan termuda Gen Z pula masih di sekolah menengah.
Generasi Alfa dijangka akan memasuki pasaran kerja selepas tahun 2030an. Kedua-dua generasi ini Z, dan Alfa perlu diberi perhatian khusus kerana mereka memiliki ciri-ciri yang akan membezakan mereka sebagai generasi yang luar biasa dan unik. Tetapi saya dapati dalam banyak keadaan, mereka dibawa bermusuh.
Ketika pembukaan pembentangan kertas saya di Konvensyen Kebangsaan Bahasa Kolokial anjuran Arkib Negara baru-baru ini, saya sengaja mengusik audien yang kelihatan serius menangani gejala bahasa kolokial dengan langgam bahasa Gen Z dan Alfa.
Saya ujarkan begini; “Hi gais, apa khabar? Bilik sejuk sangat la, mood habis. Saya duduk tepi tu pishang beku. Sejuk. Itu sebab ootd saya pelik hari ini, pakai batik tapi berjaket kulit macam malam perayaan patah hati. Tak ada tujuan nak mogging ya. Panel-panel best, goyang juga ni. Saya paling kecik. Dr Lim bro kamu slay. Pak Aripin, saya terkedu; savage. Uncle sigma ya. Sekarang giliran saya untuk sembang padu. Engkorang dengar aku yapping pulak sekarang."
Memang ‘bunyinya buruk dan pelik’, tetapi nampaknya intro pembentangan saya itu serasa dekat dengan audien yang dipaksa datang ke Konvensyen tersebut, terdiri dari anak-anak sekolah menengah dan pelajar universiti.
Saya mendapati Generasi Millenial dan Gen X yang kebanyakannya adalah ibu bapa kepada Gen Z dan Gen Alfa ini sering mengeluh anak-anak mereka kurang fokus, manja mengada, perlu disuruh, khayal dan kabur, dipanggil sepuluh kali baru menyahut dan macam-macam rungutan lagi.
Jika pun dakwaan di atas semuanya benar, saya kira kita perlu memberi tumpuan istimewa kepada kekuatan dan potensi Generasi Z dan Alfa ini.

Tiga kekuatan unik Gen Z dan Alfa ialah pertamanya, mereka cekatan dengan teknologi. Generasi anak-anak ini sangat mahir misalnya menggunakan peranti VR dan AI dengan mudah sebagai alat inovasi dan kreativiti. Sebagai seorang baba berusia 50 tahun, anak sebelas tahun saya mengajarkan aneka perkara yang serasa enteng, tetapi untuk saya sangat renyah dan rumit.
Keduanya, anak-anak ini mudah mengadaptasi diri dengan lingkungan, dan ‘habitat baharu’. Perhatikan kebolehsuaian mereka yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan secepatnya. Mereka cekatan menerokai lanskap planet digital yang sentiasa bergerak. Tatkala Covid-19 dua anak kecil saya dengan mudah berpindah ke arena pembelajaran dalam talian walaupun masih bersekolah rendah. Dalam banyak keadaan, kita ibu- bapa; malah guru yang terkial-kial dan diajari pula oleh mereka.
Ketiga, anak-anak ini memiliki kekuatan lain yang menjadi mercu tanda, iaitu tidak lain tidak bukan; kreativiti. Kebolehan mereka, Generasi Z dan Alfa ini seakan-akan lahir dengan kehandalan dan kemahiran digital. Mereka selamba menyunting video di TikTok dan mencipta kandungan untuk saluran YouTube milik mereka sendiri.
Kekuatan di atas sebenarnya perlu diraikan. Apa yang perlu kita lakukan adalah untuk mengatasi kelemahan potensi Generasi Z dan Alfa ini. Ini bermakna sistem pendidikan kita perlu berubah pesat dan segera untuk membantu menyelesaikan isu-isu yang kita temukan pada mereka. Adakah Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi sudah pun bergerak ke arah ini?

Selalunya kekurangan mereka ada empat. Pertamanya, kedua-dua generasi ini mudah terheret oleh rangsangan luar dan liar. Jangka tumpuan mereka agak pendek dan singkat. Generasi Alfa khususnya berdepan cabaran untuk memastikan diri mereka fokus di tengah-tengah gangguan pelbagai itu.
Sebagai guru, pensyarah, atau majikan masa depan, adalah penting untuk kita menyesuaikan gaya latihan dan komunikasi dengan sungguh-sungguhnya demi melibatkan mereka.
Keduanya, Generasi Z dan Alfa ini sangat bergantung kepada teknologi. Kita akan mendapati mereka berada di titik rendah dalam penilaian komunikasi bersemuka dan kemahiran interpersonal. Kadang-kala untuk berurusan dengan anak-anak sendiri kita perlu mengutus mesej di aplikasi tertentu di mana istilah PM atau DM (personal message dan direct message) serasa kurang ajar dan begitu biadab. Namun untuk mereka itulah cara perhubungan yang patut.
Ketiganya, anak-anak ini cepat berpuas hati. Kita perlu mengasuh mereka dengan nilai kesabaran kerana dalam dunia mereka ini segalanya hanya dengan satu klik, atau cukup dengan sentuhan butang. Jika mereka mahu mencari satu jawapan kepada sebarang kemusykilan, mereka lazim menemukan penjelasan dalam masa sekelip mata. Kesabaran menjadi mahal.
Terakhirnya, Generasi Z dan Alfa ini perlu dipandu dan diberi pedoman bahawa mereka sedang berdepan dengan beban maklumat yang banyak dan semua itu senang diakses. Kita perlu mencari jalan agar Generasi Z dan Alfa ini reti dan mahir membezakan kandungan yang sebenar dan bermakna.
Mereka boleh mengembangkan kebolehan luar biasa dalam menyusun dan menganalisis data jika dilatih dengan elok. Dalam bidang pendidikan, sekolah dan pengajian tinggi perlu menitik- beratkan strategi pengambilan, penglibatan, dan pengekalan.
Untuk strategi pengambilan, dalam usaha menarik bakat Generasi Alfa misalnya, kita perlu menerapkan budaya dan nilai mereka melalui saluran interaktif. Ini agar mereka kelak turut mengambil berat tentang kesan kerja mereka terhadap dunia sekeliling.
Dalam strategi penglibatan, generasi ini mendambakan pengalaman yang menarik dan dinamik. Oleh itu kita mungkin perlu menggunakan gamifikasi dan realiti maya untuk memegang perhatian mereka. Silibus pendidikan sudah perlu menitik-beratkan aspek ini.

Sehubungan dengan itu, dalam strategi pengekalan; kita mesti memastikan peluang untuk pertumbuhan, bimbingan, dan persekitaran kerja yang anjal akan terus menjadi relevan dalam mengekalkan bakat mereka.
Saya membayangkan sistem pendidikan kita akan memadukan kerjasama erat ibu-bapa dan sekolah. Juga, kita perlu menyediakan di peringkat sekolah lagi program panduan kerjaya. Suka atau tidak kita juga akan terpaksa menyediakan pengalaman latihan praktikal kepada Generasi Z dan Alfa ini seawal di sekolah menengah rendah lagi agar mereka beroleh gambaran sebenar tentang persekitaran kerja.
Dalam pada itu Kementerian Pendidikan juga sudah perlu merenung aspek pembangunan kemahiran insaniah cara baharu di mana kemahiran komunikasi dan kecerdasan emosi adalah peri penting untuk kejayaan masa depan mereka. Kemahiran skil dalam bentuk pemikiran kritis (tambah anak- anak ini sukar membaca), kemahiran pertukangan, dan upaya diri sains rumah tangga akan muncul kembali, atau perlu relevan dalam dunia yang semakin automasi.
Satu hal yang tidak dinafikan adalah anak-anak ini akan juga bergelumang dengan apa yang kita namai hari ini sebagai Ekonomi GIG. Ia merujuk kepada pengurusan tugas khas yang boleh dilakukan pada masa tertentu dan membolehkan pembekal dan pembeli berurus niaga dengan kos yang berkesan, tanpa perlu ada majikan tetap. Bentuk ekonomi ini juga dikenali sebagai pekerjaan bebas atau tanpa majikan tetap.
Kerajaan mungkin perlu mendefinisikan semula apakah itu ‘pekerja’, memandangkan kebanyakan mereka akan selesa ‘bekerja sendiri’ atau hanya ingin bekerja secara fleksibel ketimbang pekerjaan tetap sepenuh masa.
Adakah kita bersedia atau mampu menyediakan Generasi Z dan Alfa kita ke arah semua di atas? Jika kita berjaya menghampar platform dan mengasah bakat mereka, selain mengatasi kekurangan yang saya sebutkan di atas, kita akan pasti dapat menyaingi negara dan peradaban lain. Sebaliknya jika kita masih termangu-mangu dan terbodoh-bodoh menyampahkan Gen Z dan Alfa ini dengan alasan mereka manja dan kememeh sudah tentu kita sebagai negara yang akan rugi.
Kita berada di simpang untuk memotong negara dan peradaban lain, siapa yang sedar akan hakikat ini?
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.