Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
Justin Hoh gagal ke separuh akhir Malaysia Super 100
Diterbitkan:  Oct 18, 2024 8:27 PM
Dikemaskini: 12:27 PM

Cabaran Malaysia dalam acara perseorangan lelaki berakhir apabila Justin Hoh gagal mara ke separuh akhir selepas ditumpaskan oleh pemain Taiwan Chi Yu Jen pada pusingan suku akhir Kejohanan Badminton Malaysia Super 100 di Stadium Juara, Bukit Kiara, di Kuala Lumpur hari ini.

Justin, 20, memberi tentangan sengit pada dua set pertama tetapi terpaksa akur apabila pilihan pertama kejohanan itu menunjukkan dominasi pada set penentuan sebelum menang 21-18, 17-21, 21-6.

Beliau mengakui sukar mengikuti rentak permainan ranking ke-33 dunia itu pada set penentuan tetapi bertekad untuk memperbaiki tahap kecergasan sebelum menyertai kejohanan seterusnya.

“Saya benar-benar mahu menang hari ini terutama sekali kerana bermain di laman sendiri. Saya sedikit kecewa dengan keputusan ini tetapi saya akan bekerja keras untuk memperbaiki prestasi di kejohanan akan datang,” kata pemain di ranking ke-50 dunia itu kepada media selepas perlawanan.

Yu Jen seterusnya akan melakukan perhitungan bersama wakil Jepun Koo Takahashi pada separuh akhir esok.

Sementara itu, perseorangan wanita negara Ong Xin Yee terpaksa mengakui kekalahan selepas terpaksa bergelut dengan kecederaan punggung kanan yang dialaminya sejak pusingan kelayakan pada Selasa lalu apabila tewas kepada pemain Jepun, Akari Kurihara, 21-17, 19-21,4-21.

Pemain berusia 18 tahun itu bagaimanapun enggan menjadikan kecederaan tersebut sebagai alasan dan bertekad meneruskan aksi dalam acara beregu wanita bersama Ong Xin Yee dalam pertemuan menentang beregu Hong Kong Lui Lok Lok-Tsang Hiu Yan di suku akhir hari ini.

Selain itu, perseorangan wanita negara K. Letshanaa turut tersingkir di peringkat sukur akhir apabila ditunjuk jalan keluar oleh wakil Jepun Asuka Takahashi 21-19, 21-16.

Menanti Asuka di separuh akhir ialah rakan senegara Kaoru Sugiyama.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS