KOLUM | Memang ramai manusia tertarik kepada keganasan, rusuhan, gila dan bahaya kerana menganggap ia sebahagian daripada hiburan.
Tetapi Joker bukan sekadar seorang lelaki gila yang obses mempersembahkan jenaka hambar di depan penagih lawak jenakanya saja.
Sementara Folie à Deux tidak sekadar satu perkongsian imaginasi, delusi dan khayalan-khayalan gila serta bahaya antara Arthur Fleck dan Lee Quinzel dalam suatu hubungan cinta.
Banyak tahun dulu mendiang S Samy Vellu pernah berkata. “Sekarang banyak orang sudah gila. Dia layak untuk masuk ke Hospital Tanjung Rambutan atau hospital di Tampoi la.”
Tapi lama sebelum menjadi menteri, Samy Vellu pernah memanjat bangunan pejabat Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur pada 1963.
Dia bersama seorang lagi ahli politik, Khalid Yunus, ditakdirkan bertemu lalu sama-sama menurunkan bendera Indonesia sebelum menaikkan bendera Malaysia di anjung bangunan tersebut.
Sudah tentu Samy Vellu sangat tahu apa ertinya risiko atas perbuatan merusuh dan risiko daripada perbuatan tersebut.
Sistem, nilai yang punah
Tulisan ini akan menjadikan peristiwa Samy Vellu dan Khalid dalam demonstrasi itu sebagai analogi kepada Joker: Folie à Deux buat beberapa orang pempengaruh yang mengatakan filem itu slow, flat, lazy writing, “tiada plot”, below mediocre dan filem paling sampah tahun ini kerana jalan cerita yang teruk.
Mudah-mudahan rengekan adik-adik influencer yang mengeluh tak faham dan bingung kenapa filem itu dijadikan muzikal akan terubat.
Masalah terbesar pempengaruh yang buat ulasan filem ialah mereka tidak nampak fungsi dan konteks visual, selain terlepas banyak poin penting pada bait dialog dan lagu-lagu yang seharusnya diulas dengan otak.
Manusia seperti Joker tidak muncul dari ruang kosong. Dia lahir dari kebejatan politik dan kecurangan pemimpin - seperti Thomas Wayne yang enggan menyokong dan menyelesaikan banyak ketidakseimbangan di bandar Gotham.
Sistem dan nilai masyarakat yang punah kemudian memanafaatkan Joker sebagai hiburan melalui persembahan Murray Franklin yang penuh eksploitasi. Hinggakan manipulasi hiburan itu menjadi ketagihan yang tular, popular dan digila-gilakan.
Pembukaan filem Joker: Folie à Deux melalui prolog kartun Me and My Shadow bukan hanya paparan keparahan kecelaruan personaliti yang dideritai Arthur sejak sekian lama sehingga dia menjadi Joker.
Sebaliknya ia juga gambaran penderitaan yang dirangkum, sebelum keseluruhan cerita itu diruntuhkan dan cuba dibina semula.
Isyarat dari dialog berulang-ulang
Pengarahnya, Todd Phillips, yang menulis lakon layar filem itu bersama Scott Silver mendedahkan sisi lebih gelap Arthur yang sebelum ini diabaikan dalam filem pertama Joker.
Oleh kerana kita terlalu terpesona dengan Joker yang selamba dan gila, kita terlupa bahawa Arthur bukan hanya mangsa kepada ibu, pemimpin, sistem dan masyarakatnya.
Arthur juga mangsa penderaan seksual teman lelaki ibunya.
Lagu What the World Needs Now is Love yang dinyanyikan Arthur dan Joker sepatutnya dapat menyedarkan penonton bahawa filem sekual tersebut tidak akan ada ledakan bom dan api rusuhan untuk membakar hangus Gotham.
Jika adik-adik influencer amati, hampir semua orang dalam dunia kecil Arthur kecanduan lawak jenaka.
Baik sewaktu dia masih bebas - seperti dalam filem Joker pertama - mahupun setelah terpenjara dalam hospital gila Arkham.
Tidakkah dialog yang berulang-ulang bertanya seperti “Hey Fleck, you got a joke for us today?” atau kejutan terbesar yang datang daripada dialog “Can I tell you a joke I came up with?” mengganggu dan membuat adik-adik influencer terasa bahawa ada kemungkinan Joker yang sebenarnya bukanlah Arthur?
Filem Joker kali ini muncul ala courtroom movie yang menuntut kelasakan penonton menangkap apa yang diperkatakan oleh setiap wataknya.
Semasa hujah pergulungan Joker di mahkamah misalnya.
Apabila dia seakan sudah berputus asa lalu mengakui bahawa sudah tidak lagi boleh menjadi Joker atas kehendak seluruh penduduk bandar Gotham yang hanya suka dan terhibur melihat kegilaan Joker membunuh, menimbulkan rusuhan dan membiakkan keganasan.
Jawapan mengapa muzikal
Katanya, itu semua hanyalah fantasi dan Joker sebenarnya tidak pernah ada.
Momen itu menjadi akibat dan sebab Lee Quinzel - yang perlukan Joker untuk menjadi Harley Quinn - lari meninggalkannya.
Namun takdir cinta mereka berdua kuat. Apabila penyokong Joker meledakkan mahkamah, Joker bebas. Tapi bukan sebagai Joker, sebaliknya sebagai Arthur.
Maka pertemuannya dengan Lee Quinzel kali itu tidak lagi seperti saat pertama kali mereka bertentang mata. Wanita itu menolak Arthur kerana Arthur tidak penting. Hidupnya bosan lagi menyedihkan.
Lee Quinzel sama seperti penonton yang terdesak pada kegilaan-kegilaan ganas yang memberikannya hiburan.
Apabila Lee Quinzel mula menyanyikan lagi That’s Entertainment, Joker merayu agar wanita itu berhenti menyanyikan lagu itu dengan berkata: “I don’t wanna sing anymore. Shhhhh…. Just talk to me. Just talk and stop singing.”
Ada satu dialog yang penting dalam filem itu. Ia menjawab - atau mungkin menjadi sebab - mengapa Todd dan Scott memilih pendekatan muzikal.
“I know this might feel strange Mr Fleck, a new environment.
"You see, we use music in this class to make us whole to balance the conflicting forces, the fractures within ourselves. All I ask is that you sing, if and when you're ready to sing.”
Dialog yang diucapkan oleh seorang juruterapi Arthur itu kemudian membawa penonton ke suatu dunia imaginasi Arthur dan Joker bersama Lee Quinzel yang penuh dengan lagu, muzik dan irama menyedihkan.
Tapi pada masa sama membuat kita terhibur dan ketawa.
Setelah Samy Vellu dan Khalid menurunkan bendera Indonesia dalam demonstrasi itu, mereka kemudian mengheret bendera tersebut menaiki skuter menuju ke kediaman perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra.
Di sana mereka mendesak Tunku memijak bendera yang dibawa, tetapi Tunku menolak.
Mereka kemudian mengangkat Tunku lalu diletakkan di atas bendera tersebut. Walau dalam keadaan terperanjat, wajah Tunku jelas memancarkan kesedihan.
“Awat-lah hang buat aku macam ni?” kata ahli politik tersebut.
Kata-kata Tunku itu menjelaskan pengetahuan beliau bahawa kehidupan bukanlah suatu hiburan yang boleh kita gelak ketawakan.
Samy Vellu dan Khalid mungkin Joker yang kita suka kerana aksi mereka adalah hiburan. Tapi ada banyak hal yang Tunku nampak ketika kita, Samy Vellu dan Khalid tak nampak.
Justeru, jauhilah ulasan filem sampah kerana bak kata mendiang Samy Vellu: "Ini semua kerja orang gila punyalah... itulah saya punya komen. Orang gila la, sekarang banyak orang sudah gila.”
HARIS HAUZAH seorang penagih jambu yang sering mengenakan kostum Joker untuk menjaja jeruk mangga di bawah tiang lampu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.