KOLUM | Kajian menunjukkan bilangan wanita yang lebih tinggi di Parlimen umumnya membawa kepada perhatian yang lebih kuat terhadap isu wanita. Penyertaan politik wanita adalah prasyarat asas untuk kesaksamaan jantina dan demokrasi tulen yang perlu direalisasikan. Ia memudahkan penglibatan langsung wanita dalam proses membuat keputusan dan satu cara untuk memastikan akauntabiliti yang lebih baik.
Akauntabiliti politik kepada wanita seharusnya bermula dengan meningkatkan bilangan wanita dalam posisi membuat keputusan, tetapi ia tidak boleh berhenti di situ. Apa yang diperlukan ialah pembaharuan tadbir urus yang sensitif gender, yang akan menjadikan pemimpin yang dipilih lebih berkesan dalam mempromosikan kesaksamaan gender dan memastikan pelaksanaannya.
Antara sasaran utama Wanita PBB ialah memajukan penyertaan politik wanita dan tadbir urus yang baik bagi memastikan proses membuat keputusan adalah partisipatif, responsif, saksama dan inklusif. Usaha ditumpukan melalui gerbang strategik yang boleh memajukan status wanita dengan memangkin kesan jangka panjang yang luas.

Sokongan yang kuat diperlukan untuk memberdayakan wanita bagi menterjemah resolusi Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (Cedaw) - yang kini disokong kebanyakan negara di seluruh dunia - kepada jaminan undang-undang kesaksamaan jantina.
Strategi lain ialah melalui kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan, seperti organisasi wanita, kerajaan, sistem PBB dan sektor swasta. Ini bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam kerajaan, melatih pemimpin wanita dan meningkatkan kemahiran wanita untuk mengambil bahagian secara aktif dalam pilihan raya sebagai calon mahupun pengundi.
Jantina bukan penghalang
Buku Marriage for Moderns oleh Henry Bowman mendedahkan di zaman pemerintahan Ratu Victoria (1837-1901), lelaki sangat yakin dengan kelebihan jantina mereka yang membuatkan mereka berasa selamat dan pada masa sama sangat menggalakkan sikap rendah diri kepada kaum wanita.
Jantina tidak seharusnya menjadi faktor penghalang kepada wanita untuk menjadi pemimpin. Kepimpinan mestilah berdasarkan kecekapan, kemampuan dan kekuatan individu. Namun, dalam banyak situasi, wanita sering diabaikan.
Selain itu, kepercayaan penting setiap rangka kerja demokrasi ialah kesedaran tentang keutamaan prinsip hak asasi manusia yang merangkumi hak politik yang sama antara lelaki dan wanita. Walaupun secara biologi lelaki dan wanita tidak sama, mereka sepatutnya mempunyai hak yang sama untuk ke hadapan.
Namun, di negara maju dan membangun, wanita sentiasa menduduki jawatan kelas kedua, disokong pula dengan fakta yang kuota 30 peratus wanita di Parlimen tidak pernah direalisasikan. Ini kekal menjadi keadaan paling menyedihkan.
Sistem patriarki telah mewujudkan pembahagian kerja berdasarkan jantina. Lelaki diberi lebih kebebasan untuk menjalankan aktiviti dalam kehidupan yang membolehkan mereka berkembang. Bagi wanita pula, Pekerjaan untuk mereka lazimnya merangkumi perkara yang dianggap remeh secara subjektif.

Perdana Menteri wanita Britain yang pertama, yang juga paling lama berkhidmat pada abad ke-20, Margaret Hilda Thatcher pernah berkata,
"Setiap wanita yang memahami masalah mengendalikan rumah tangga akan lebih cepat untuk memahami cabaran menguruskan sebuah negara."
Barangkali, ia sesuatu yang benar dan perlu diperjuangkan.
Wanita pimpin revolusi politik
Pada pilihan raya di enam negeri pada 2023, seramai 71 daripada 570 calon yang bertanding adalah wanita. Ini bermakna hanya 12.5 peratus calon daripada kalangan wanita - masih jauh daripada kadar 30 peratus.
Demokrasi penyertaan tidak benar-benar bersifat partisipatif tanpa penyertaan wanita yang sama rata. Oleh kerana wanita merupakan separuh daripada populasi, suara dan pengalaman mereka adalah penting untuk membuat keputusan yang mempengaruhi semua orang (Didi, 2020).
Sedarkah kita, apabila wanita mendapat perwakilan yang sama dalam kerajaan, ia cenderung untuk membangkitkan dan memperjuangkan isu berkenaan wanita dan kanak-kanak, seperti penjagaan kanak-kanak, penjagaan kesihatan dan keganasan terhadap wanita, serta menggesa kerajaan untuk bertanggungjawab terhadap komitmen ke arah kesaksamaan jantina.
Walaupun pelbagai parti politik semuanya menyokong kuota 30 peratus perwakilan wanita, ia masih tidak diterjemahkan secara realiti dalam pilihan raya lalu.
Wanita menggempur arena politik
Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) Profesor Emeritus Sharifah Hapsah berkata sejumlah negara telah memenuhi sasaran berhubung jumlah pemimpin wanita di Parlimen dengan mengambil tindakan afirmatif bagi mewujudkan peluang untuk wanita memimpin.
Realitinya, bilangan pemimpin wanita di Malaysia sangat rendah. Khususnya peratusan wakil rakyat wanita di Parlimen yang tidak pernah melepasi kadar 20 peratus dalam tempoh 66 tahun sejak Malaysia merdeka, walaupun terdapat sejumlah besar wanita terpelajar dan berkemahiran di negara ini.
Wanita dalam politik berdepan lebih banyak cabaran daripada lelaki kerana stereotaip gender. Lebih membimbangkan ialah tahap keganasan berasaskan jantina yang perlu dihadapi. Begitu juga ahli politik wanita yang perlu berdepan komen seksis dan gangguan seksual daripada orang ramai serta ahli politik lelaki. Ini merujuk kepada masalah yang lebih luas dan berakar umbi dalam masyarakat di mana wanita tidak dilihat sebagai setara.

Hakikatnya, bilangan pemimpin wanita yang lebih ramai di Parlimen akan menambah nilai kepada keharmonian negara. Antaranya, ia akan membawa lebih banyak kepelbagaian menerusi perspektif dan sudut pandangan yang lebih seimbang. Selain itu, akan membawa kepada pembuatan keputusan dan dasar yang lebih baik, membawa kemajuan dan memperkayakan negara.
Kajian membuktikan lebih ramai wanita dalam kepimpinan adalah memberikan manfaat kepada masyarakat dan negara.
Tsunami wanita dalam politik
Akauntabiliti politik kepada wanita bermula dengan meluaskan perwakilan dan kompetensi wanita dalam kedudukan membuat keputusan. Penting juga untuk melaksanakan pembaharuan tadbir urus sensitif gender yang akan menyediakan pegawai dengan alat dan sumber yang mereka perlukan untuk memperjuangkan kesetaraan gender dalam dasar awam dan memastikan pelaksanaannya.
Menurut UN Women Asia and the Pacific, pembaharuan tadbir urus yang sensitif gender termasuklah:
Memastikan wanita mempunyai akses yang sama kepada penyertaan politik.
Menangani halangan sistemik yang menghalang wanita daripada bertanding jawatan, seperti kekurangan penjagaan anak dan sumber kewangan.
Menjadikan institusi awam lebih responsif gender dengan memastikan keutamaan dan keperluan lelaki juga wanita diambil kira dalam penggubalan serta pelaksanaan dasar.
Jika tiada tindakan segera, tentunya ia akan mengambil masa yang lama dan panjang untuk wanita mencapai perwakilan sama rata dalam Parlimen. Dengan mengambil langkah untuk meningkatkan perwakilan wanita, mengukuhkan akauntabiliti politik dan menggalakkan tadbir urus sensitif gender, kita boleh mencapai kemajuan ke arah Malaysia yang lebih harmoni, sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani.
Benarkah struktur parti yang berhierarki menyukarkan wanita untuk naik dan apabila mempunyai sayap wanita atau sayap belia wanita, pengasingan ini menyukarkan lagi jalan mereka menuju kepimpinan dan menyerlah jauh?
ATRIZA UMAR adalahfelo Nusantara Academy for Strategic Research (NASR).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
