KOLUM | Sewaktu masyarakat di bawah penjajahan Inggeris, mereka tidak pernah diajar tentang subsidi, bantuan, permit, atau hak-hak keistimewaan untuk menggapai kesejahteraan hidup.
Mereka yang tinggal di pinggir laut akan menjadi nelayan yang rezekinya tenggelam timbul bersama ombak, manakala yang di dusun, berjualan hasil tani yang berbuah.
Masyarakat yang tinggal di kawasan bendang, kerjanya menyemai benih padi hinggalah tiba musim menuai. Begitulah di tempat lain. Lain padang, lain belalang.
Tiada istilah kerjaya sebagai ulama apatah lagi menunggang agama demi kemewahan diri sendiri.
Tiada juga sijil atau ijazah bagi mendapatkan sesuatu pekerjaan.
Orang ramai menuntut ilmu di pondok, madrasah atau di rumah ulama semata-mata untuk mendapat ilmu pengetahuan bagi menyuluh kehidupan masing-masing, sama ada di dunia atau di akhirat.
Artikel ini adalah mengisahkan secebis kehidupan seorang ulama yang tiada dalam catatan sejarah perdana tetapi memainkan peranan penting membangunkan negara melalui pendidikan.
Bermula dari seorang penggembala kambing, Kiai Mohd Yassin mula mengorak langkah memajak tanah-tanah di sekitar kawasannya dengan bermodalkan hasil keuntungan jualan kambing.
Turut menjana ekonomi setempat
Tanah tersebut ditanam dengan pokok kelapa yang ketika itu mulai mempunyai pasaran tinggi.
Ketika itu penjajah memberi konsesi tanah kepada syarikat besar Eropah untuk ditanam dengan pokok kelapa. Antaranya syarikat itu ialah Straits Plantation, United Plantation, Nova Scotia Estate, dan Sime Darby.
Mereka diberikan tanah seluas sehingga ribuan ekar. Misalnya syarikat Strait Plantation mendapat hampir 5,000 ribu ekar.
Kebanyakan syarikat terbabit mengambil buruh dari India dan Sri Lanka untuk menjalankan pelbagai kerja di ladang masing-masing.
Sehingga 1913, Hilir Perak menyumbang 30 peratus daripada jumlah tanaman kelapa di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Peratusan itu agak besar kerana tanaman kelapa memang diberi penekanan disebabkan potensinya.
Pekebun-pekebun kecil yang terdiri daripada orang tempatan turut memberi peranan menjana ekonomi daerah Bagan Datuk.
Inggeris pula menggalakkan kemasukan buruh asing - termasuk dari Jawa - bagi memenuhi keperluan ekonomi.
Pada masa sama terdapat kaum Cina yang majoritinya berniaga di kawasan pekan selain sendiri kebun kelapa sendiri atau menjadi peraih. Semua kaum hidup dalam aman damai.
Asimilasi berlaku dengan bersahaja. Pergaulan yang erat membolehkan sesetengah orang Cina mampu menguasai bahasa Jawa dan tahu menghormati adat resam orang tempatan.
Kiai Mohd Yassin akhirnya memiliki berpuluh-puluh ekar kebun kelapa di sekitar Bagan Datuk. Dia juga mendirikan beberapa rumah salai untuk memproses kelapa dan mengupah penduduk kampung bekerja dengannya.
Rumah salai merupakan bangunan dua tingkat yang diperbuat daripada kayu. Saiznya bergantung kepada keluasan kebun kelapa yang dimiliki oleh seseorang.
Bahagian bawah adalah ruang untuk tempurung kelapa dibakar bagi mendapatkan bahang yang kemudian 'memasak' isi kelapa - yang sudah dibelah dan disusun - di tingkat atas.
Asaskan madrasah, sekolah
Kelapa itu disusun rapi bagi memastikan setiap satu menerima haba dari tempurung yang dibakar di bahagian bawah.
Setelah isi kelapa ‘masak’, kerja seterusnya ialah memisahkan isi kelapa dari tempurung dengan pencungkil. Kerja-kerja itu biasanya dilakukan oleh anak-anak perempuan kiai tersebut.
Kemudian isi kelapa yang sudah dipisahkan itu dimasukkan ke dalam guni. Bagi memastikan setiap guni mempunyai berat yang optimum, isi kelapa itu ditumbuk dengan antan sebelum dijahit dan dihantar untuk proses jualan.
Kiai Mohd Yasin juga ada beberapa sampan yang digunakan untuk mengangkut kelapa salai ke ‘darat’ atau ke jalan utama Bagan Datuk – Teluk Intan. Dari situ, barangan pertanian kampung dibawa oleh lori ke destinasi lain.
Awalnya, dia mengusahakan perniagaan itu bersama kalangan ahli keluarganya saja. Setelah hasil kelapa bertambah, dia mengambil pekerja dari kalangan orang kampung.
Hasil daripada perniagaan itu, dia mampu menjadi penyumbang untuk menampung perbelanjaan aktiviti kemasyarakatan.
Kiai Mohd Yasin ialah pengasas kepada madrasah, surau dan sekolah rendah kebangsaan yang menjadi institusi pendidikan kepada anak-anak kampung.
Ada sebidang kebun yang diperuntukkan bagi kegunaan harian para santrinya mendapatkan kayu memasak, kelapa untuk dibuat minyak masak, ulam-ulam dan sebagainya.
Dia juga sering menjadi tempat rujukan masyarakat dan meminta pertolongan terutama melibatkan urusan kewangan sama ada berkaitan perniagaan ataupun peribadi.
Begitulah sepatutnya adat orang berilmu dan berharta. Mereka memelihara dan membela masyarakat.
MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.