Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum

KOLUM | "AJ tu maksudnya bukan Abdullahjones, tapi Ayam Jantan," kata Lokman.

Kamu mungkin menyangka yang ayam jantan dimaksudkan Lokman itu ialah seorang lelaki yang gagah berani. Dan sesungguhnya kamu silap.

Dia mengatakan kami ini ayam jantan dek kerana ‘rakusnya’ kami dalam dalam hal kekeluargaan.

Kata-kata itu tentu saja disambut oleh ketawa yang panjang oleh budak-budak SABS. Lalu kami juga ketawa bersama apabila hal tersebut diberitahu oleh Kepuk - yakni double agent - yang menjadi tukang bawa cerita dari SABS kepada kami.

Kepuk sudah menghebahkan tulisan lalu kami di sini kepada rakan-rakan sekolahnya.  Mereka pun berasa tidak puas hati dan mula mengumpat kami secara berjemaah.

Kemudian Kepuk menayangkan pula perbualan kumpulan WhatsApp kumpulan mereka kepada kami.

Bun si guru besar pencen itu khabarnya mahu mengikat kami untuk dimasukan ke dalam guni lalu dibuang ke Sungai Kuantan. Ada juga yang tidak sabar-sabar menunggu kami ke Kuantan untuk apa-apakan.

Ternyata mereka memang kuat bergaduh. Atau kalau kami mahu berkata benar, mereka itu semuanya kuat buat pedo’oh.

Takkan ambil hati

Yalah, apa sangat yang boleh diharapkan kepada kumpulan yang menjadikan kedai makan Cina Kuantan sebagai tempat 'suci' mereka itu.

Sebagai maklumat, budak-budak SABS akan berkumpul setiap hari di kedai berkenaan untuk menikmati makanan yang diragui halalnya. Malah tidak menghairankan jika mereka sedia ponteng sekolah, tetapi dikerat mati sekalipun mereka tidak akan ponteng daripada melaporkan diri ke kedai berkenaan setiap hari.

Penutupan kedai berkenaan pada hari cuti adalah hari mereka memukul-mukul badan sendiri dek kerana kesedihan.

Yang menghairankan ialah bagaimana Lokman boleh lulus hingga menjadi guru. Kami syak dia menggunakan ilmu guna-guna kerana dia memang terkenal dengan amalan-amalan berziarah ke kubur-kubur yang kononnya saktinya itu.

Kami harap Dimunoh memberi bimbingan yang benar kepada dia.

Kami boleh menulis ini semua kerana kami kenal setiap nama yang disebut. Dan tidak ada apa-apa kecederaan yang dialami oleh mana-mana pihak.

Juga, tidak ada sesiapa pun daripada kumpulan mereka yang kami umpat itu akan mengambil hati daripada apa yang kami katakan. Atau sekurang-kurangnya itulah pendapat peribadi kami.

Berlainan benar dengan kamu.

Gambar hiasan

Bila saja ketua partai kamu dimomok sedikit, kamu pun naik hantu. Marah yang teramat seolah-olah pemomok itu sudah melakukan dosa yang tidak mungkin diampuni tuhan.

Kamu jadi si pandir yang selamanya akan diperkuda. Kesetiaan kamu kepada apa pun partai yang kamu dukung membuatkan kamu menjadi buta, pekak dan tumpul.

Dunia seolah-olah telah kiamat dua kali hanya kerana pemimpin partai politik kesayangan kamu itu dipermain-mainkan oleh musuh kamu.

Kamu menuduh orang itu dan orang ini minum air janggut, air kaki dan air peluh pemimpinnya, walhal kamu sendiri tidak lebih dan tidak kurang pun daripada mereka itu.

Berita tanpa sumber

Pendoktarin bukan hanya berlaku kepada orang sesat malah doktrin untuk golongan yang nampak cahaya juga tidak kurang hebatnya sedang berjalan. Perlahan-lahan mereka sedang menuju jurang yang paling dalam.

Sebenarnya elok sangat kalau kamu pindah ke Korea Utara kerana katanya di sana, hukuman kepada sesiapa yang memperolok pemimpin mereka adalah kematian.

Suka gamaknya kamu jika semua yang menjadikan tokoh pujaan kamu sebagai bahan jenaka itu dihukum sebegitu rupa.

Di negara kita ini, yang mungkin tidak boleh disentuh ialah institusi diraja, namun seharusnya mereka yang selepas daripada garis itu adalah fair game.

Ahli politik mana pun sama seperti kita semua - semuanya adalah pendosa. Mereka tidak maksum dan tidak harus sentiasa dipertahankan.

Gambar hiasan

Jika mereka bebas bergurau semasa pilihan raya dengan membawa cerita dan berita yang entah dari mana sumbernya, kemudian mengelar orang itu dan orang ini dengan pelbagai nama, maka kita ada hak untuk memperlekehkan mereka walaupun sekadar untuk hiburan.

Ketawa sedikit tidak pernah membunuh sesiapa.

Berhentilah menjadi si bodoh yang diikat hidungnya. Pemimpin yang kamu  taat itu entah-entah esok lusa akan bertukar partai, atau bergabung dengan partai lawan hanya untuk memenuhi impian mereka menjadi kerajaan.

Lalu setelah mereka menjadi kerajaan, kamu akan menjadi tunggul yang tidak dipedulikan. Nanti apabila datang musim mengundi, tunggul yang sudah empat tahun mati itu pun akan mereka berikan baja.

Jiwa besar revolusioner

Mereka belai dan manjakan kamu - yakni tunggul tadi - sehingga lupalah kamu akan segala kebobrokan yang pernah mereka lakukan.

Tercungap-cungaplah kamu mengharap belas dan diberikan setitis air.  Setelah selesai musim mengundi, kamu pun menjadi tunggul mati sekali lagi.

Ia akan berulang-ulang sebegitu sehinggalah kamu sedar bahawa kamu adalah pemimpin sebenar. Bukannya mereka yang kerjanya sibuk memporak-perandakan penyokong mereka.

Pemimpin partai dan ahli politik juga harus lebih terbuka dalam menerima kritikan. Jangan mudah sangat untuk terkesot hati. Sedikit gurauan tidak seharusnya menjadikan kami manusia yang mahu kamu perangi.

Bagaimana mahu membangunkan negara jika hal sepele seperti itu pun menjadi igauan hidup kamu?

Gambar hiasan

Berhentilah menggunakan undang-undang yang hanya memenangkan kamu, sebaliknya berjiwa besarlah menghadapi cabaran untuk menjadi seorang revolusioner.

Sedikit cerita mengenai Kuantan.

Dulu-dulu, siapa pun yang bersekolah di SMKAA akan berusaha untuk menyorokkan fakta tersebut daripada diketahui oleh orang ramai. Pada waktu itu sekolah tersebut berada di ranking paling bawah dalam daerah Kuantan.

Stopa, Zul Tonjong, Fuad dan juga Rafi adalah pelajar sekolah tersebut, dan  mereka itu berkawan rapat dengan budak-budak SABS.

Gambar hiasan

Setelah sedikit lama, persahabatan antara murid SABS dan SMKAA semakin renggang sehingga boleh dikatakan hampir tiada sama sekali.

Kini SMKAA adalah antara sekolah terbaik dalam Kuantan. Malah ia pernah dinobatkan sebagai sekolah terbaik negara.

Itu adalah salah satu bukti bahawa pengaruh rakan sebaya adalah benar. SABS masih lagi tergapai-gapai mencari arah sehingga hari ini.

Budak-budak SABS mungkin tidak puas hati dengan kami namun mereka harus sedar bahawa kami tahu banyak hal mengenai mereka.

Kami harap mereka semua menerima apa saja yang kami katakan sebagai kebenaran sejati, dan duduk bertenang. Kerana jika mereka masih macam-macam, kami akan pecahkan rahsia bagaimana mereka semua - kecuali Deri - makan telur ayam kampung seorang sepapan dalam perjalanan ke sebuah wilayah di selatan negara jiran.

Kami ulang: ingat, jangan sampai cerita makan telur ayam kampung seorang sepapan diketahui orang!


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan pernah berasa dirinya seorang PBT.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS