Paling Popular
Terkini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Kisah penubuhan Malaysia dan kehidupan seorang askar

Beberapa minggu selepas Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963, seorang pekedai runcit di Batu Pahat menerima telegram dari Mindef menawarkan beliau kembali berkhidmat dengan Rejimen Ketujuh Askar Melayu Diraja.

Mindef bermaksud Ministry of Defence iaitu Kementerian Pertahanan yang pejabatnya terletak di Rifle Range Road, Kuala Lumpur. Pada tahun 1967, Rifle Range Road ditukar nama kepada Jalan Padang Tembak.

Orang kampungnya memanggil pekedai runcit itu Kepok. Ia merupakan panggilan mesra dan  bukannya nama sebenar. Kepok adalah nama sejenis pisang  Panggilan itu diberikan kerana bapanya menanam dan menjual pisang kepok yang sesuai dibuat pisang goreng dan pisang rebus. Di tempat lain, ia dipanggil pisang nipah dan pisang sabah. Di Filipina, mereka juga memanggilnya pisang sabah. Asal-usul nama negeri Sabah datangnya dari pisang ini.

Kedai runcit itu bukanlah milik Kepok. Beliau hanya mengambil upah. Tetapi pendapatan dari kedai itu amat kecil. Ia terletak di pinggir sebuah pekan kecil. Penduduk sekitarnya pula adalah penanam kopi dan penoreh getah kebun kecil. Pada tahun 1963, pendapatan mereka amat kecil dan kemampuan mereka hendak membeli barang amat rendah. 

Sebelum menjadi pekedai runcit itu, Kepok menjual air minuman dengan menggunakan beca tiga roda. Kehidupan amat sukar sejak beliau dan ratusan anggota tentera yang lain diberhentikan apabila Darurat berakhir pada tahun 1960.

Kepok menyertai Askar Melayu Diraja pada tahun 1955 ketika berusia 17 tahun. Pada masa itu Malaya belum merdeka dan sedang menghadapi Darurat sejak tahun 1948, iaitu tahun Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan menggantikan Malayan Union.

Bukan mudah untuk mengalahkan pasukan bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM) yang disokong dan dibantu oleh Parti Komunis China (CCP) dan Republik Rakyat China (PRC). Tetapi tindakan PKM mengangkat senjata itu adalah atas arahan Parti Komunis Soviet Union (CPSU) yang memimpin pergerakan komunis sedunia. Pada masa itu, United Kingdom tidak mengiktiraf PRC. Mereka hanya mengiktiraf Republik China (ROC) yang hanya menguasai Taiwan tetapi mewakili keseluruhan Tanah Besar China.

Perang Dunia Kedua baru berakhir dan satu dunia keletihan untuk berperang. Banyak pasukan tentera British sudah dibawa pulang dan dibubarkan. British sememangnya kekurangan tentera untuk menghadapi Darurat. Langkah pertama adalah membawa semua tentera British dari Palestin ke Malaya. Bagi British, Malaya adalah lebih penting dari Palestin. Ini kerana suku pendapatan British datang dari Malaya melalui jualan getah dan bijih timah. 

Pengunduran British dari Palestin 

Dengan pengunduran tentera British dari Palestin pada tahun 1948, Zionis yang sebelum ini turut menyerang tentera mereka di sana, mengambil alih dan menubuhkan Negara Israel (State of Israel). United Kingdom yang mempunyai banyak penyokong Zionisme mengiktiraf Israel. Tetapi negara pertama yang mengiktiraf Israel ialah Kesatuan Soviet dengan harapan mereka menjadi sekutunya. Tetapi Tel Aviv memilih Washington dan Moscow pun beralih dengan menyebelahi Palestin dan negara-negara Arab.

Bilangan anggota  tentera British yang dibawa dari Palestin untuk menghadapi Darurat di Malaya masih tidak mencukupi. Pihak British memanggil tenteranya dari India dan Nepal iaitu pasukan  Gurkha. India dan Pakistan mencapai kemerdekaan pada tahun 1947 dan sebahagian besar tentera-tentera British di sana dijadikan  tentera mereka. Nepal tidak pernah dijajah British. Ia diiktiraf oleh mereka pada tahun 1923 untuk menjadi negara penampan antara India dan China seperti mana peranan Siam berdepan dengan Perancis di Indo-China dan British di Malaya dan Burma. 

British juga membawa masuk tentera Australia dan New Zealand untuk melawan  PKM. Tetapi lebih penting ialah meningkatkan kemampuan tentera Malaya khususnya Askar Melayu Diraja yang benar-benar dianggap tentera Tanah Melayu. Dengan gelaran “diraja”  itu, ia berkhidmat untuk Raja-raja Melayu yang berdaulat di sembilan negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu.

Setelah bekerja sebagai pemotong rumput di sebuah ladang di Paloh yang bayarannya amat rendah, Kepok pergi ke Singapura. Setelah sehari suntuk gagal mendapat pekerjaan, beliau ternampak poster mengajak anak-anak muda menyertai Askar Melayu Diraja.

Kepok pun menjadi anggota tentara yang dikerahkan masuk ke hutan untuk melawan anggota PKM yang mahu menubuhkan sebuah negara komunis bernama Republik Demokratik Rakyat Malaya. Antara medan operasi beliau ialah di Kluang dan Slim River. 

Tetapi pada tahun 1960, Darurat berakhir. PKM sudah berundur ke Thailand. Tinggal saki-baki yang ditangani oleh Pasukan Polis Hutan, kini dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am. Maka anggota-anggota tentera didapati berlebihan dan di luar keperluan. Lagipun negara sedang membangun balik ekonomi negara setelah terjejas akibat 12 tahun perang Darurat. 

Maka, kerajaan memberhentikan beratus-ratus anggota tentera termasuk Askar Melayu Diraja. Sebelum mereka diberhentikan, Tunku Abdul Rahman menawarkan mereka menjadi tentera pendamai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu  (PBB) di Congo selama enam bulan. Kepok pun ikut serta. Sekembalinya dari Congo, beliau pun pulang ke kampung.

Tetapi pada tahun 1960, Amerika dan British bimbang Singapura jatuh ke tangan komunis yang akan mengancam kepentingannya di pulau itu dan Malaya. Ini kerana terdapat banyak penyokong PKM di pulau itu. Cara mengatasinya ialah menggabungkan Singapura dengan Malaya. Tetapi Tunku tidak bersetuju kerana tidak mahu orang Melayu menjadi minoriti. Cara mengatasinya ialah menggabungkan kedua-dua Malaya dan Singapura dengan tanah-tanah jajahan British di pulau Borneo. Konsep Bumiputera dikemukakan dengan Melayu menjadi sebahagiannya. Dengan itu kaum Cina tetap minoriti dengan Bumiputeta adalah majoriti.

Projek Nekolim

Maka secara rasminya pada 27 Mei 1961, Tunku mencadangkan penggabungan Malaya, Singapura, Sarawak, Brunei dan Borneo Utara ke dalam sebuah negara bernama Malaysia. Cadangan Perdana Menteri Malaya itu mengejutkan Presiden Sukarno. Beliau menganggap Malaysia sebagai “projek Nekolim” untuk mengepung Indonesia dan selanjutnya menjatuhkan pemerintahan beliau.

Nekolim adalah kependekan daripada perkataan neo-kolonialisme dan neo-imperialisme. Ia bermaksud penjajahan dan penguasaan bentuk baharu. Maknanya kuasa-kuasa besar menguasai atau mempengaruhi semula bekas tanah-tanah jajahan mereka yang sudah merdeka.

Sukarno membantah penubuhan Malaysia dan melancarkan Konfrontasi iaitu satu dasar memusuhi Kuala Lumpur yang boleh datang dalam bentuk ketenteraan. Tentunya kekuatan tentera Malaya tidak mencukupi lebih-lebih lagi beratus-ratus orang tentera sudah diberhentikan. Tambahan pula, tentera Malaya yang akan menjadi Malaysia perlu juga mempertahankan Singapura, Sarawak dan Sabah. Brunei mahu terus berada di bawah perlindungan British. 

Kepok berbelah bahagi untuk kembali menjadi tentera. Pengalamannya masa Darurat membuat beliau serik untuk menjadi askar. Tetapi tanpa gaji yang tetap atau gaji yang amat rendah, berada di kampung adalah suatu yang sukar. Pada tahun 1963, anaknya berusia tiga tahun dan anak kedua sedang nenyusul. Isteri Kepok mendesak beliau supaya menerima tawaran untuk menjadi tentera. Akhirnya Kepok bersetuju dengan syarat isterinya mesti mengikut ke mana saja beliau ditempatkan. Ini kerana sebelumnya, isterinya lebih gemar tinggal di kampung, yang bermakna berpisah dengan suaminya. 

Maka Kepok ditempatkan di kem tentera Sungai Besi. Oleh kerana kuarters tidak mencukupi, banyak askar yang menyewa di rumah-rumah pekerja ladang getah di Jalan Sungei Besi. Rumah pekerja itu berbentuk panjang, berdinding papan dan berbumbung atap. Ia terletak di lereng bukit, di tengah-tengah ladang getah. Tempat itu dinamakan Kampung Malaysia Raya.

Kepok pula berbulan-bulan meninggalkan rumah kerana menjaga sempadan negara. Beliau ditempatkan di pantai Morib, Selangor dan ditugaskan meronda sepanjang pantai dan pesisir laut Selat Melaka untuk memastikan tiada pencerobohan dari tentera Indonesia.

Sukarno kehilangan kuasa pada tahun 1965 dan digantikan dengan Suharto. Pada tahun 1966, Konfrontasi ditamatkan. Kepok pulang dan bertugas di kem Sungai Besi. Beliau membawa keluarganya ke Kamping Kilang Papan yang terletak berdepan dengan pekan Sungai Besi. Kampung Malaysia Raya kemudian berpindah ke seberang jalan yang kini terletak berdekatan Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Walaupun Konfrontasi berakhir, terdapat saki-baki anggota Parti Rakyat Kalimantan Utara (Paraku) dan Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) yang masih beroperasi di Sarawak dan hanya berakhir pada tahun 1990.

Kali ini kerajaan tidak nemberhentikan tentera-tenteranya selepas ancaman itu. Sebaliknya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilengkapkan. Maka pada tahun 1970, Kepok ditawarkan menyertai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sedang pesat dibesarkan. Beliau bersara pada tahun 1986 dan meninggal dunia pada tahun 2019.

Jika tidak kerana penubuhan Malaysia dan ancaman Konfrontasi, Kepok akan terus tinggal di kampung dengan kehidupan yang susah kerana mempunyai pendapatan tidak tetap dan rendah. Perubahan geopolitik akan sentiasa mengubah keadaan negara dan menentukan nasib hidup seseorang.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS