Paling Popular
Terkini

KOLUM | Pagi Selasa, 10 Sept 2024. Dalam perjalanan membawa anjing saya – Ezi dan Tak Tak – bersiar-siar di Tanah Perkuburan Hokkien, telefon bimbit saya sibuk berbunyi. Banyak pesanan masuk.

Saya mengabaikan.

Sampai di bilik saya membuka komputer. Wow - ada berbelas-belas pesanan melalui WhatApps yang masuk. Apabila saya buka, semuanya membawa berita yang sama: Raja Petra Kamaruddin meninggal dunia di Manchester. Al-Fatihah.

Semua kawan dan kenalan mahu memberitahu saya maklumat penting ini. Amin.

Saya ambil muat naik berita ini ke dalam blog Tukar Tiub.

Lalu saya teringat bahawa dalam hidup ini - jika kita menjalani hidup dengan baik - sekali hidup pun sudah cukup. Saya yakin Raja Petra aka RPK telah menjalani hidupnya dengan baik.

Saya hanya mengenali Raja Petra ini sepulang saya dari 20 tahun berkelana. Saya berkenal baik dengan RPK kerana kami bersama-sama terlibat dalam kumpulan teater Bargeaves Ballerz.

Ini kumpulan teater MCOBA – Malay College Old Boy Association atau persatuan murid tua dari Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Nama kumpulan teater ini kami ambil untuk mengingati nama William Hargeaves.

Sosok itu menjadi guru besar MCKK sejak penubuhan pada 1905 hingga 1918.

Nama Raja Petra selalu ‘naik’

Raja Petra merupakan senior saya di MCKK. Saya menjadi murid MCKK pada 1969. Ketika saya menjadi budak Koleq Raja Petra pula telah meninggalkan MCKK pada 1965.

Saya ingat lagi ada dua kumpulan yang secara terbuka menerima saya pulang ke tanah air tanpa prejudis atau pandangan serong. Pertama, kawan-kawan dari Kelab Sosialis; manakala kedua kawan-kawan dari MCOBA.

Ahlan wa sahlan - mereka cukup jujur.

Pada 1995 - setahun sesudah pulang ke tanah air - saya mula aktif dalam MCOBA. Persatuan murid tua ini menganjurkan pelbagai aktiviti. Ada kelab ragbi, ada pasukan golf dan setahun sekali ada Old Boy Weekend.

Ini hujung minggu untuk semua murid tua diajak kembali pulang bermalam di sekolah lama.

Setiap tahun juga MCOBA akan mengadakan jamuan makan malam tahunan. Dan kami dari Ballgreaves Ballerz akan naik ke pentas beraksi sesudah jamuan makan malam. Kami penghibur dan penghadam dinner.

Saya ingat lagi teater What If... yang kami pentaskan pada 1995. RPK berlakon sebagai Mat Salleh kolonial yang mencadangkan kepada empat raja-raja Melayu untuk menubuhkan kolej Melayu.

Setiap tahun apabila Ballerz memerlukan mat salleh untuk berlakon pasti nama Raja Petra naik. Kami tak pernah panggil dia Raja Petra. Untuk kawan-kawan dalam MCOBA, kami panggil dia dengan nama manja - Pet.

Politik dan iklim politik berubah. Anwar Ibrahim yang juga murid tua MCKK dibuang dari kerajaan. Dibicara dan dimasukkan ke penjara.

Kami dari MCOBA semuanya penyokong setia Anwar. Semua menyimpan harapan old boys yang itu akan melakukan sama seperti old boys Tun Razak yang telah membawa pembaharuan kepada negara.

Menulis dengan baik

Pada masa yang sama teater kami juga pernah ada menyelitkan babak-babak komedi yang 'menganjing' Anwar. Sketsa-sketsa itu kami pentaskan untuk para old boys mentertawakan sesama sendiri.

Pada 20 Sept 1998, Anwar dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan. Saya dengan seorang junior, Isham Kecik, pergi ke Sungai Buloh. Saya ingat lagi, pada malam itu kami ke rumah Pet. Kami meminta dia terlibat untuk menyokong Anwar.

Caranya cukup senang – beratur di pintu masuk mahkamah dengan memakai tali leher murid tua MCKK.

Kami minta Raja Petra menjadi ketua untuk mengepalai beberapa orang lagi budak Koleq yang telah direkrut. Langkah itu untuk menunjukkan pada orang ramai bahawa murid tua MCKK juga bersama Anwar.

Pet bersetuju. Gambar budak Koleq berbaris dengan tali leher MCOBA keluar dalam Berita Harian. Saya puas hati.

Hubungan saya dengan Raja Petra dari pentas teater kemudian beralih ke pentas politik. Raja Petra menulis dengan baik dalam bahasa Inggeris. Apabila Anwar didapati bersalah dan masuk penjara, Raja Petra menerbitkan laman Free Anwar Campaign (FAC)di platform internet.

Ketika itu dunia internet baru bermula. Ketika itu ada laman bawah tanah bernama Mahazalim yang menyerang Mahathir Mohamad secara gelap. FAC - laman yang dikendalikan oleh Raja Petra - menyerang secara terbuka.

Duta AS di Malaysia, John Malott, sendiri pernah menulis untuk FAC.

Saya terlibat dalam ke dua-dua laman tersebut. Saya menghantar tulisan untuk FAC kepada Raja Petra. Saya juga menulis dan menyunting secara gelap laman Mahazalim yang membalun kerajaan Mahathir.

Saya ingat lagi di mana Raja Petra berada pada 4 April 1999. Pada petang Ahad itu PKN - Parti Keadilan Nasional - dirasmikan penubuhannya di Hotel Renaissance di Kuala Lumpur

Pada petang itu saya mendapat panggilan telefon daripada Pet.

"Isham, come over... aku di Concorde. Datanglaaa... aku dengan Rehman Rashid," Raja Petra mempelawa aku untuk minum petang. Rehman juga old boy yang selalu terlibat dalam Bargreaves Ballrez.

"Mari kita bet berapa lama parti ini akan bertahan," kata Raja Petra dengan agak sinikal melihat penubuhan Parti Keadilan Nasional. Saya menolak jemputan itu.

Terserempak di meja polis

Anwar masuk penjara. Kami yang di luar meneruskan perjuangan menentang Mahathir dan United Malays National Organisation. Beberapa demonstrasi kami anjurkan.

Pada 10 April 2001 seramai 10 aktivis Reformasi ditangkap di bawah ISA. Saya termasuk dalam senarai tangkapan. Para reformis sedang merancang untuk keluar berdemo di hadapan pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 14 April.

Demo itu diadakan untuk mengingati hari Black14 – hari Anwar dijatuhkan hukum penjara.

Saya ditangkap di pejabat saya di Jalan Kemuja, Bangsar, dan dibawa ke tempat rahsia yang hingga sekarang saya tidak tahu di mana tempat itu.

Saya dikurung dalam bilik sulit. Setiap hari kami berhadapan dengan lima pegawai polis tanpa uniform dan tanpa nama. Kami disoal siasat non stop – setiap hari – pagi hingga ke petang, ada adakala sampai ke malam.

Saya dikurung bersendirian. Ketika ke bilik siasatan kami digari dan mata kami ditutup. Kami tidak tahu di mana kami berada.

Untuk jadi cerita, satu hari dalam minggu ke tiga abang polis yang mengawal kami telah melakukan kesilapan. Sewaktu saya hendak dimasukan kembali ke dalam sel, saya terserempak dengan Raja Petra di meja abang polis.

Mata kami tidak ditutup lagi. Dua old boys MCKK bersua di bilik sulit.

"How are you old boy?" ini kata-kata Raja Petra yang saya masih ingat hingga ke hari ini.

"OK... me okay, Pet," saya jawab dengan ringkas sebelum abang polis membuka gari dan dengan pantas memasukan saya ke dalam sel. Esoknya saya dipindahkan ke sel lain.

Maka ketika itu saya tahu bahawa Raja Petra juga ditahan seperti saya.

Terus jadi ikutan ramai

Sebulan kemudian saya dipindahkan lagi. Kali ini di bilik tahanan yang lebih ketat. Mata masih ditutup. Berhampiran dengan bilik tahanan saya ialah dewan sukan.

Sesekali saya terdengar suara Raja Petra dari dewan sukan. Dia sedang bersukan dengan abang polis.

Satelah dua bulan disoal siasat saya bersama lima reformis – Ezam Mohd Nor, Tian Chua, Pak Abu (Saari Sungib), Ustaz Badrulamin dan Lokman Adam dihantar ke Kamunting. Raja Petra dibebaskan.

Keluar dari Kamunting saya meneruskan apa yang terhenti. Pengalaman di bawah ISA saya rakam dalam teater Bilik Sulit.

Walaupun awalnya sinikal tetapi Raja Petra tetap diyakini untuk mengendalikan akhbar mingguan rasmi PKR, Suara Keadilan. Ini berlaku sesudah Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia bergabung pada 3 Ogos 2003.

Raja Petra yang mengendalikan portal FAC terus menulis. Laman FAC menjadi rujukan. Tulisan Raja Petra menjadi ikutan ramai. Analisis dan gosip Raja Petra dibaca dan menjadi perbualan nasional.

Tetiba satu Malaysia terkejut dengan pembunuhan Altantuya yang dikaitkan dengan Najib Razak, serta Abdul Razak Baginda kawan baik si Najib.

Raja Petra terus menulis. Saya ingat lagi dalam satu tulisan Pet, dia memaparkan angka kilometer jalan perjalanan kereta Rosmah Mansor pada malam Altantuya dibunuh.

Dari angka kilometer itu Raja Petra mahu memberitahu kita semua bahawa Rosmah berada di tempat Altantuya di bunuh. Buktinya, menurut Pet, ialah jumlah jarak pergerakan kereta Rosmah pada malam itu.

Dari mana Raja Petra mendapat maklumat ini - hanya Guru Nanak yang tahu.

Rahsia lari dari Malaysia

Polis ingin menangkap Raja Petra sekali lagi. Raja Petra menghilangkan diri dan muncul di Manchester. Dia menjadi sosok pelarian politik.

"I changed FAC... F**k Anwar Completely ke Free Malaysia Today," Raja Petra memberitahu apabila laman dikendalikannya berubah nama dan Anwar dibebaskan.

Laman yang dikendalikan oleh Raja Petra itu terus menjadi rujukan politik untuk warga Malaysia. Pet tidak berhenti menulis walaupun berada di luar negara.

Pada Mac-April 2014 saya membawa teater Bilik Sulit ke United Kingdom. Selama sebulan Kumpulan Teater Bukan Teater berkelana mementaskan teater Bilik Sulit di Nottingham, Sheffield, Manchester dan London.

Sesudah pementasan di Manchester kami singgah di Gossip Cafe – kedai makan milik Raja Petra. Festival Uno Malasie – Satu Malaysia yang membawa Bilik Sulit ini terdiri daripada sembilan orang pelakon termasuk Adam Adli Abdul Halim.

Di kafe itu saya bertemu, berbual dan berlabun dengan Pet. Banyak yang kami labunkan.

Paling yang saya ingin nak tahu ialah bagaimana dia berjaya melarikan diri semasa meninggalkan Malaysia.

Menurut Raja Petra, Anwar berkawan baik dengan seseorang berpangkat Datuk dan pernah bekerja di Thailand. Pet mendakwa orang itulah yang membantu dia melarikan diri.

Di situ seorang old boy bercerita kepada old boy yang lain. Dan itulah kali akhir kami bertemu.

Sekali-sekala saya buka juga laman Free Malaysia Today. Kebelakangan ini Pet kelihatan agak kurus dan cengkung semasa bersiaran di podcastnya.

Pagi semalam saya menerima berita kematian Raja Petra. Saya menelefon Bull atau Nik Azmi yang menjadi kawan baik Pet. Untuk penjelasan, mereka ditempatkan dalam satu dorm semasa di MCKK.

"Tak tahu dia sakit apa," katanya.

Maka dalam hidup ini, jika kita lakukan sesatu dengan baik sekalipun sudah mencukupi. Raja Petra kerabat bangsawan Selangor telah menjalani hidupnya dengan baik.

Ini tulisan budak Koleq kepada budak Koleq. Al-Fatihah. Amin.


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS