Paling Popular
Terkini

KOLUM | Mengapakah kisah asal-usul besi pedang dan baju tentera nabi yang didakwa datang dari tanah kita lebih penting berbanding cerita negara diancam perubahan iklim global dan bakal menjadi sebuah negara menua?

Beberapa tahun dulu, saya sering dipelawa seorang teman yang memiliki syarikat penerbitan berulang alik ke stesen tivi. Kami sama-sama turun naik bangunan di beberapa platform penyiar.

Pada awalnya kami memang tak sempat nak rasa penat. Kami percaya idea-idea yang ingin dijual pada pelbagai sesi ‘pitching’ anjuran stesen-stesen penyiaran itu bakal mendapat kelulusan untuk diterbitkan.

Namun sebagai seorang penulis yang tidak punya nama, tugas itu memang terasa amat mencabar. Terlalu sukar bagi seorang penulis picisan yang tidak pernah menang apa-apa anugerah dapat meyakinkan orang lain.

Keadaan tentu berbeza jika kamu seorang penulis berstatus selebriti yang selalu tular dan sohor kini di media sosial.

Masyarakat tanpa seni

Saya masih ingat kata-kata teman penerbit saya itu.

“Kau ni selain degil, selekeh, tak pandai menyembang, idea-idea kau pun semuanya pelik-pelik, kan? Susah....

"Kalau kita gagal juga, baik kita sampai sini sajalah. Kau cari orang lain untuk teruskan," katanya.

Duduk sambil menunggu giliran memang menyeksakan. Ia bukan saja membuat kita tambah rasa tertekan, malah resah dan gelabah juga bertambah-tambah.

Dalam keadaan begitu kita mungkin terdorong untuk berfikir atau bercakap perkara yang bukan-bukan.

Meskipun idea cerita yang nak dicadang belum lepas ke telinga panel penilai untuk dipertimbangkan, sebagai penerbit tetap ada kos-kos awal seperti pengangkutan dan makan yang terpaksa dia dahulukan.

Jadi tentu saja saya faham dengan rasa rugi masa dan wang yang telah dia bazirkan. Satu demi satu penolakan oleh stesen-stesen penyiar juga menyumbang menjadikan dia buntu dan kepenatan.

Apabila kami dipanggil masuk ke bilik pembentangan, ayat pertama yang saya sebutkan adalah: negara tanpa sains akan tenggelam dan karam; masyarakat tanpa seni akan haru-biru dan kacau-bilau.

Hari ini agama dan sejarah tidak lagi dapat menawarkan apa-apa pencerahan atau kebijakan kerana kedua-duanya saling bersaing menjadi alat untuk mendapatkan perhatian.

Kegilaan kita mahukan perhatian inilah yang sedang menghancurkan ilmu-ilmu yang ada pada sains dan seni. Sedangkan ilmu pada sains dan seni sepatutnya jadi penyuluh kebenaran agama dan wejangan sejarah agar hidup manusia lebih terarah.

Ia juga sepatutnya memupuk minat manusia untuk terus belajar, mengkaji dan mencipta kemajuan bagi menyelesaikan banyak masalah.

Kata-kata itu serta-merta mengubah seri pada wajah empat orang panel dalam bilik itu menjadi pirau. Penerbit yang juga kawan saya yang ada di sebelah menepuk dahi sebelum mengurut dada.

Itu adalah petanda dia mula diserang rasa seriau.

Bongkak dengan leluhur

Idea yang pada asalnya merupakan filem tapi diturunkan tarafnya menjadi telefilem itu berkisar tentang sebuah bandar lama yang dihuni sepenuhnya oleh orang tua.

Ia dipimpin seorang tua yang bergelut mempertahankan kuasanya daripada dirampas politikus pikun berumur 100 tahun tetapi mahu kembali mengepalai bandar tersebut.

Rakyat di bandar tua yang majoritinya berumur lebih 65 tahun itu pula memang sejak sekian lama sudah terbiasa diapi-apikan dengan pelbagai isu ketuanan bangsa dan ketaasuban agama.

Namun, oleh kerana pemimpin tersebut tidak mempersiapkan bandar itu untuk menjadi sebuah bandar menua, kehidupan warganya yang baik dan sejahtera bertukar menjadi daif, miskin dan melarat.

Pada suatu ketika tidak ada sesiapa yang mampu berkerja lagi di situ.

Hal itulah yang dijadikan strategi politik oleh pemimpin berumur 100 tahun berkenaan. Secara halus dia menggalakkan orang tua-tua di bandar itu untuk terus bongkak dengan leluhur masing-masing.

Dia mengapi-apikan mereka agar menambah kesombongan terhadap sejarah nenek moyang mereka. Slogan bahawa mereka bangsa hebat dan berketurunan mulia itu pun jadi propaganda di tengah gelombang rakyat yang marah apabila pemimpin mereka mahu mengurangkan pencen dan elaun bulanan mereka.

Dalam ketidaktentuan politik, ekonomi dan sosial itu, muncul sekumpulan orang tua yang sedar bahawa bencana yang sedang dihadapi itu berpunca daripada tiadanya persiapan menjadi sebuah ‘negara menua.’

Warga bandar itu semasa muda pernah menolak idea untuk memiliki anak selepas berkahwin atas alasan mahu lebih bebas bersosial dan selesa dalam ekonomi serta kerjaya.

Dalam kesal yang menebal, mereka akhirnya mewujudkan gerakan reformasi bangsa yang membawa bermacam idea seni serta inovasi sains yang dianggap tidak masuk akal lagi gila.

Di sanalah pertembungan berlaku. Ia melibatkan orang tua - yang sudah terlewat tapi percaya bahawa masalah mereka dapat diselesaikan oleh sains dan seni - dengan para pejuang bangsa yang megah pada sejarah serta sombong pada agama.

Pertembungan itu menjadi kian genting, gawat dan seru.

Sebaik slaid akhir pembentangan dipaparkan, seorang panel dengan pantas bertanya: “Pelakon-pelakonnya macam mana?”

“Para pelakon dalam cerita ni semuanya orang tua-tua," jawab saya.

“Tak masuk akal langsung cerita awak ni. Siapa yang nak tengok cerita awak kalau pelakon orang tua saja semuanya?” balas salah seorang panel penilai sambil menggelengkan kepalanya.

Apabila melihat tiga lagi panel turut berwajah masam, tahulah saya ketika itu bahawa saya sekali lagi telah menghampakan penerbit saya.

Jawapan kepada isu besar dunia

Saya cuba mempertahankan idea itu dengan hujah bahawa cerita tersebut dapat mendatangkan kesedaran awam memandangkan Malaysia bakal menjadi negara menua.

Namun ia tetap tidak dapat diterima. Di mata panel yang bijaksana, tidak akan ada sesiapa mahu menonton cerita begitu di tempat kita.

Mungkin benarlah kata mereka. Orang kita memang lebih suka mendengar kata-kata ustaz yang mendakwa Nabi Adam pernah turun di Gunung Jerai atau Sayidina Uthman pernah singgah di Kedah.

Satu lagi kisah yang begitu menangkap ialah bagaimana Melayu ini merupakan susur-galur kepada Keturah, atau Sayidatina Khadijah berasal dari dunia Melayu.

Ia adalah jawapan kita kepada isu besar dunia seperti ancaman pemanasan global dan cabaran Malaysia menjadi negara menua menjelang 2030.

Ternyata idea saya itu meremehkan stesen tivi kerana ia bercerita tentang realiti konflik yang kita siapkan hasil kebodohan sendiri.

Saya pun faham - kalau ingin diterima dan mendapat sambutan puluhan juta laba, kita perlu menyiapkan filem mengenai Bani Keturah. Kemudian kita berkongsi rasa bangga secara berjemaah.


HARIS HAUZAH ialah penulis murbawan yang gemar berkawan dengan hartawan dan menulis tentang bangsawan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS