Paling Popular
Terkini

KOLUM | Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, berkata untuk menang, parti itu perlu mendapat sokongan daripada Muslimat dan anak muda jahil agama dan jahil politik.

Kenyataan itu disebutnya semasa dia berucap dalam muktamar di Kota Sarang Semut, Kedah, sebelum PRU ke-15.

Dalam ucapannya, dia berkata: "Undi penentu daripada kalangan anak muda lelaki dan wanita perlu menjadi tumpuan dan sasaran, khususnya dalam kalangan umat Islam sendiri yang jahil agama dan lebih jahil lagi dalam aspek politik yang menjadi penentuan masa depan umat."

Kenyataan Abdul Hadi itu kemudian ditempelak oleh lawan politik PAS yang menganggap ia sebagai pendekatan Machiavellianisme. Pun begitu pendekatan tersebut menjadi salah satu faktor PAS mencapai kemenangan terbesar dalam sejarah sejak ia ditubuhkan.

PRU ke-15 adalah pilihan raya umum pertama selepas pelaksanaan Undi 18 dan pedaftaran secara automatik. Ia adalah idea politik bernas daripada PH yang kemudian memakan dirinya sendiri.

Kenyataan Abdul Hadi itu sebenarnya adalah perkiraan tepat dengan mengambil kira pemikiran masyarakat Melayu yang menjadi segmen utama sasaran parti berkenaan.

Tiada parameter tepat untuk mengukur tahap ‘kejahilan’ Muslimat dan pengundi muda, tetapi segmen tersebut sememangnya sangat terpengaruh dengan sentimen dan lazimnya berfikir singkat.

Tuntutan situasi ketakutan

Kenyataan itu juga mungkin tidak adil dan terpesong. Ia boleh juga dianggap prejudis terhadap kemampuan wanita Islam selain merendah-rendahkan pemikiran orang muda.

Gerakan indie, feminis dan anak muda tentu amat marah dengan kenyataan ini. Maafkanlah saya.

Menurut sumber SPR, seramai 1,393,549 pemilih berusia 18 hingga 20 tahun di seluruh negara layak mengundi kali pertama apabila PRU ke-15 diadakan pada Nov 2022. Angka itu memadai untuk membuat perubahan politik.

PAS di bawah pimpinan Abdul Hadi dalam PRU 2022 memperoleh 43 kerusi parlimen. Jumlah itu jauh lebih banyak berbanding apa yang dimenangi parti tersebut semasa ia dipimpin Dr Burhanuddin al-Helmy pada 1959 (13 kerusi) atau di bawah Fadzil Noor pada 1999 (27 kerusi).

Menurut Machiavelli dalam bukunya The Prince, pilihan-pilihan tindakan ahli politik bergantung kepada tuntutan keadaan dan desakan situasi sosial semasa.

Dalam gerakan politik Islam, ia disebut fiqh ul-waqi’. Ia mengambil kira aspek pertimbangan mengelak mudarat besar dengan mengambil mudarat yang lebih kecil.

Dengan pertimbangan itu, perkiraannya ialah: daripada pihak lawan yang menang, adalah lebih baik diri sendiri yang menang.

Niccolo Machiavelli menyebut bahawa pendekatan itu sememangnya falsafah politik yang bertitik tolak daripada tuntutan situasi ketakutan sehingga menimbulkan kemungkinan besar suatu ketidakstabilan kekuasaan.

Sebelum PRU ke-15, PAS menjadi sekutu dalam pembentukan kerajaan yang diasaskan hasil Langkah Sheraton. Dalam tempoh 18 bulan menjadi parti pemerintah, memadai untuk PAS menghayati kepentingan menjadi kerajaan.

Pendekatan parti itu ialah realistik dengan memisahkan persoalan kesahan moral daripada kekuasaan dalam konteks sistem demokrasi. PAS adalah sebuah parti yang memahami real politic.

Sandar pada proses mahkamah

Dalam dunia sebenar, hampir semua parti politik menggunakan kaedah sama namun didamaikan dengan justifikasi topeng moral, idealisme, undang-undang dan sebagainya.

Perbezaan hanya wujud dalam mewujudkan proses ‘perdamaian’ antara parti sama ada dengan cara menunggang kesucian agama, ketuanan kaum, idealisme ideologi, kehebatan sejarah, etos tokoh, mitos wilayah atau lain-lain.

Di sini ahli politik yang pintar akan mempergunakan bukan sahaja si jahil bagi mendapat sokongan, tetapi juga penyangak, penjahat dan mafia dalam usaha meraih kuasa.

Ahli politik pintar akan membiarkan para penyokong dan orang di sekelilingnya melakukan kerja jahat, sedangkan dia akan berlepas tangan demi menjaga 'kesucian' idealisme perjuangannya.

Jika rakan atau orang kuatnya didakwa di mahkamah, dengan jiwa besarnya dia akan berkata: "Biarlah mahkamah yang menentukan benar atau salah."

Keadaan akan memberi kelebihan kepada ahli politik terbabit berada di tampuk kekuasaan, sama ada dalam parti atau kerajaan. Sesuatu perkara akan lebih mudah untuk diatur dan disucikan.

Hal itu kerana pelbagai jentera birokrat korup dan saudagar jahat ada untuk membantu.

Ini bukan soal parti mana atau pemimpin mana. Ini adalah inti sari buku Machiavelli yang mendedahkan korupnya pemimpin politik.

Machiavelli juga menyebut bahawa kesahan kekuasaan membenarkan segala teknik memanipulasi sokongan masyarakat terhadap penguasa.

Disuap ilusi mudah diyakini

Dia membenarkan persaingan antara para pemimpin mafia yang saling merebut kekuasaan.

Ringkasnya, rebut dulu kuasa kemudian barulah laksanakan proses pembinaan moral dan justifikasi dengan pemujukan kepada masyarakat.

Machiavelli juga menyarankan agar pihak berkuasa - atau yang akan mendapat kuasa - memanfaatkan faedah lembaga agama untuk membingkaikan pendapat masyarakat bahawa penguasa adalah pendukung agama.

Dari situ sebenarnya Machiavelli menunjukkan inti permainan politik – rakyat (ini termasuk pengikut dan penyokong parti) mudah dibohongi dan dimanipulasi menerusi penampilan-penampilan secara menarik dan memujuk.

Rakyat hanya diberikan ilusi-ilusi yang kuat dan mudah diyakini dengan apa yang mereka saksikan.

Kebanyakan rakyat mudah terpedaya dengan dunia yang dipenuhi dengan penzahiran palsu dan  sandiwara. Ataupun, separa tipu seperti perkongsian foto sambutan kemerdekaan semalam yang kononnya membesarkan tulisan Cina.

Bak kata dialog AR Tompel dalam filem Nasib Do Re Me: "Takkan lebai nak menipu!"


MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS