Paling Popular
Terkini

KOLUM | "Dapat sorrgggaaaaa," kata Zainu.

Dia sepupu kami, ataupun mungkin juga hanya kupu-kupu.  Tetapi kerana keluarga besar kami sangat rapat maka kadang-kadang mereka yang tidak ada pertalian keluarga pun sama dianggap sebagai saudara-mara.

Yang betul-betul sepupu ialah Ading, kerabat kami yang ‘tak guna satu sen’ itu. Dan Ading sendiri adalah bersepupu dengan Zainu kerana emaknya dan emak Ading adalah adik beradik - jika kami tidak silap.

Atau mungkin juga emak Ading dan emak Zainu itu yang bersepupu sedang ayah Ading pula adalah abang kepada Mok kami.

Hal di atas sebenarnya boleh disahkan oleh Ading kerana, walaupun tidak memberi manfaat kepada manusia seluruh alam, Ading sangat arif hal-hal hubungan keluarga kami.

Zainu adalah antara ahli awal sebuah kumpulan ‘dakwah’ yang terkenal. Bahkan dalam kalangan keluarga kami, ramai yang menjadi ahli pertubuhan itu sejak awal penubuhannya.

Dia keluar dari pertubuhan itu apabila syeikhulnya membuat pengakuan kekhilafan di televisyen beberapa dekad dulu.

"Kalau dia betul, mesti Tuhan lindungi dia (dan tak dimalukan di televisyen)," kata Zainu mengenai mengapa dia bertindak memikirkan penglibatannya dalam pertubuhan tersebut.

Lama sebelum itu, Alang - sepupu kami yang juga ahli kumpulan tersebut - bersama Zainu terlebih dulu keluar setelah Ustaz Mokhtar Yaakob yakni timbalan syeikhul meninggalkan pertubuhan berkenaan.

Selalu nampak gembira

Kami hadir semasa Ustaz Mokhtar meninggal. Apa yang kami ingat ialah bagaimana keluarga dia tidak membenarkan ahli kumpulan tersebut naik ke rumah untuk memberi penghormatan terakhir.

Katanya, tindakan tersebut adalah kerana keluarga Ustaz Mokhtar sangat terasa dengan segala macam kata-kata tidak baik mengenai mengapa kononnya almarhum meninggalkan jemaah berkenaan.

Sultan yang memerintah ketika itu kemudiannya mengarahkan agar Ustaz Mokhtar disemadikan di dalam kawasan perkuburan diraja.

Hari ini dalam keluarga kami yang masih berpegang teguh dengan kumpulan tersebut hanya Pak Teh yang juga bapa saudara Zainu.  

Sesekali jika kebetulan lalu di kawasan tempat Pak Teh berniaga, kami akan singgah untuk minum di gerainya. Dia akan dengan gembira sambil mengomel mengenai betapa "anak-anak saudara" yang lain tidak lagi ke gerainya.

Menurut Pak Teh, keluarga di sebelah kami memang rajin menjenguk manakala yang di sebelah dia pula tidak rajin berbuat demikian.

Gambar hiasan

Lama dulu kami bertanya kepada Zainu mengenai mengapa budak-budak yang bekerja sebagai pelayan di restoran-restoran mereka kelihatan sangat gembira.

Jarang dilihat mereka mengeluh atau pun mengelat semasa bekerja.

Pertanyaan kami itu dibuat berdasarkan pengalaman sendiri.

Untuk pengetahuan semua, kami memarahi hampir semua budak-budak yang bekerja di kedai-kedai di kawasan kami. Tidak kira sama ada kedai serbaguna atau kedai makan.

Semuanya dimarahi kerana bagti kami, mereka semuanya seolah-olah dipaksa bekerja. Dengan muka yang tidak pernah senyum, ditambah pula kita ini dianggap pengganggu masa mereka untuk melayan media sosial (dalam masa bekerja).

Keluarga sudah besar

Agaknya kami ini adalah pelanggan yang paling tidak digemari di kawasan kami dek sifat kami yang nok maroh sokmo itu.

Maka kerana itulah kami jadi hairan apabila melihat budak-budak yang berkhidmat dengan kumpulan tersebut selalu kelihatan riang ria.

Kami juga hairan melihat mereka yang dalam usia bersekolah itu reda bekerja dan tidak pergi belajar. Kami juga bertanya kepada diri sendiri akan apa yang akan mereka lakukan setelah meningkat dewasa.

Apakah mereka akan terus bersama kumpulan tersebut selama-lamanya? Atau apakah mereka berupaya untuk bertahan duduk dalam keadaan begitu?

Tidak kami ketahui sama ada mereka itu dibayar gaji atau tidak. Daripada bertanya-tanya, kami diberitahu yang mereka ditanggung segala perbelanjaan hidup.

Nanti jika sudah sampai masanya untuk berumah tangga, maka pasangan masing-masing akan dipilih daripada kalangan kumpulan itu sendiri.

Mereka kemudianya akan mengambil-alih tampuk pimpinan pertubuhan tersebut. Ia akan berputar sebegitu selama masih ada apa  yang dinamakan waktu.

Kumpulan terbabit juga katanya kurang merekrut anggota baru. Semua ahlinya adalah dalam kalangan mereka yang sudah beranak cucu.  Keluarga mereka sudah tersangat besar sehingga tidak lagi memerlukan ‘orang luar’ untuk terus berkembang.

Pertanyaan kami kepada Zainu itu dijawab bahawa ahli-ahli mereka dijanjikan dengan kehidupan abadi yang sangat nyaman. Jika benar, maka sesiapa pun yang bertanggungjawab memberikan jaminan sedemikian kepada satu kumpulan manusia seharusnya diiktiraf pempengaruh sebenar.

Apa yang mungkin tidak diketahui umum ialah kumpulan berkenaan didakwa mempunyai aset bernilai lebih RM300 juta di seluruh dunia dengan lebih 400 jaringan perniagaan di 20 negara termasuk di Asia, Eropah, Australasia dan Afrika.

Jaringan perniagaan mereka juga menguruskan pendapatan sebanyak RM187 juta setiap tahun. Itu adalah jumlah yang mengatasi pendapatan banyak syarikat besar di negara kita.

Kepada sesetengah orang, ia adalah pencapaian yang besar untuk suatu kumpulan perniagaan yang diketuai oleh orang Islam.

Kepada kumpulan yang lain pula kejayaan tersebut disamakan dengan perniagaan sweatshop yakni perniagaan yang menggunakan khidmat pekerja yang tidak dihormati haknya.

Terserah kamu mahu fikir bagaimana.

Halal atau haram

Kumpulan sebegitu adalah sebuah 'kultus' dan ia mesti dipandang sebagai yang itu. Kemajuan perniagaan mereka adalah membanggakan, dan pada masa yang sama, segala macam ketidakadilan dan apa saja yang mereka sembunyikan mesti dibawa kepada pengetahuan umum.

Yang paling dibimbangkan ialah masalah pegangan mereka.

Jika masih dengan kepercayaan akan saktinya pemimpin tertentu, maka mereka harus mengumumkan hal ini supaya semua orang tahu di mana kedudukan mereka.

Ini tentu saja akan memudahkan pihak yang berwajib untuk meletakkan mereka di mana dan para pelanggan mereka juga tidak lagi menjadi waswas.

Cerita-cerita mengenai ‘air kaki dan air janggut’ itu tidak lebih dari cerita ‘sependa dalam dalam masakan’ yang kita dengar terkait dengan perniagaan makan orang Melayu.

Ada yang benar dan banyak yang tidak benar. Terserah kita untuk percaya atau tidak.

Gambar hiasan

Namun jika ditentukan apa sebenarnya pegangan mereka, maka dari sana sekurang-kurangnya kita tahu halal atau haramnya makanan yang mereka hasilkan, misalnya.

Semasa menyertai ‘pertubuhan dakwah’ tersebut, Zainu adalah seorang mekanik kereta dan dia seorang mekanik yang bagus.

Namun kerana sering disalut minyak dan terpaksa menyucikan diri setiap kali masuk waktu sembahyang, dia kemudian menukar kerjaya sebagai pembekal ayam segar.

Dia memelihara sendiri ayam-ayamnya di tanah yang milik ayah Ading. Semasa cuti sekolah kami akan duduk di sana membantu dia. Dan nyarislah kami meninggal dunia kerana terkena renjatan elektrik dari mesin memproses ayam Zainu.

Waktu itu ada Rai dan juga Borhan, sepupu kami yang kemudian menjadi tauke balak sementara seorang lagi menjadi ustaz.

Mereka sudah tahu yang mesin tersebut bermasalah lalu untuk melihat sama ada masalah itu akan membawa maut atau tidak, mereka telah menggula-gulakan kami supaya menggunakan mesin berkenaan.

Demi memasukkan tangan ke mesin itu, kami kejang seluruh badan. Mereka bertiga cuma ketawa terbahak-bahak semasa kami bertarung nyawa.

Baser.

Setelah mendapati kami tidak meninggal, mereka meraikan kami di Restoran Pattani yang terkenal dengan pelbagai makanan yang enak pada waktu itu.

Cerita kami terkena renjatan elektrik ini akan diulang-ulang sehingga hari ini pada setiap kali kami berempat berjumpa.


ABDULLAHJONES ialah pelukis dan penulis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS