KOLUM | Pembunuhan pertama sejarah manusia - antara Qabil dan Habil - menjadi peristiwa yang mengilhamkan penulis. Peristiwa itu dirakam oleh al-Quran sebagai iktibar kepada manusia.
Kebanyakan ustaz dan ustazah mengupas peristiwa tersebut dari sudut kekeluargaan, keagamaan dan sejarah manusia. Kupasan-kupasan tersebut tiada masalahnya dalam memberikan pengajaran untuk hidup yang baik di sisi agama.
Ali Shariati pula melihat peristiwa tersebut sebagai tindakan golongan mustakbirin terhadap kelompok mustadafin. Juga tentang pertentangan kelas. Justeru ia adalah peristiwa politik.
pengkhianatan Haji Murat terhadap ketuanya, Imam Syamil, yang menentang Tsar Rusia seperti dalam karya Leo Tolstoy adalah cerita politik. Bahkah ia menjadi karya sastera terbaik dunia.
Drama Hamlet karya William Shakespeare juga adalah sebuah karya politik. Namun ia menjadi medium hiburan dalam masyarakat Barat. Cerita orang politik dijadikan bahan hiburan.
Malah dari tamadun Greek, syair Odyssey dan Iliad yang mengandungi kisah tragedi dan komedi turut menjadi himpunan kisah politik.
Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah, Syair Perahu dan sebagainya adalah karya kesusasteraan klasik adalah sebuah idea politik. Semuanya kisah berasaskan perkembangan politik Melayu tradisi mengurus kuasa.
Begitu juga sejarah pemberontakan Tok Janggut di Pasir Putih. Ia mempunyai naratif politik yang bersalut unsur dendam, kuasa dan wanita.
Berhujah dengan kedegilan
Dalam buku Yahya Abdullah (Y’Abdullah Kelantan) pada 1955, Pemberontakan Tok Janggut atau Balasan Derhaka menyatakan bahawa pemberontakan tokoh itu adalah untuk membalas terhadap kematian bapanya, Panglima Monas, di tangan Pak Sulung Bulat, pengawal Raja Jeram, Tungku Seri Maharaja Tua.
Panglima Monas dibunuh kerana cuba menggoda Wan Serang Bulan, gundik Raja Jeram sewaktu dia keluar kawasan. Dia meminta Panglima Monas menjaga istana. Pun begitu sejarah Tok Janggut mempunyai banyak versi - daripada cerita rakyat hingga ke kajian ilmiah.
Pertarungan politik pada hari ini adalah sebuah idea sastera dalam proses pembinaan negara bangsa. Tiada siapa boleh menghentikan perseteruan politik kerana perdamaian dan persetujuan politik tidak kekal.
Akan ada hujah dan dalil demi mengesahkan tindakan politik masing-masing. Si jahil berhujah dengan kedegilannya, manakala si pintar berhujah dengan kesombongannya sendiri. Bodoh tidak boleh diajar, pandai tidak boleh dikongsi.
Langkah Kajang, Langkah Sheraton dan apa jua langkah yang diambil oleh politikus atau parti politik juga merupakan episod cerita tentang kuasa.
Sasterawan sejati melihat perlawanan politik meraih kuasa dengan penuh rawan. Mereka memikir dan menulis sehingga menjadi karya yang mengisi makna kehidupan.
Kerja sasterawan sejati ialah memberi pencerahan kepada masyarakat. Itulah tanggungjawab sasterawan yang berpegang pada politik sastera. Ia adalah tentang kuasa sastera untuk membentuk kebenaran.
Dalam ucapan Keris Mas sempena penganugerahan Sasterawan Negara pada 1982, dia berkata tentang politik sastera dan sastera politik.
Menurutnya, politik sastera bermaksud pendirian politik terhadap sastera dalam hubungannya kehidupan kebangsaan. Manakala sastera politik adalah sastera yang diperalatkan oleh kelompok politik.
Kedua-duanya bukanlah persoalan sihat atau tidak. Ia bergantung kepada sikap politik terhadap sastera kebangsaan sama ada melewati kepentingan politik atau tidak.
Sikap politik pertama, sastera menjadi alat untuk mencapai keadilan, kemakmuran, perdamaian dan kesejahteraan manusia. Sikap kedua pula, sastera yang berfungsi menumbuhkan fahaman perpaduan kebangsaan, mengurang jurang perpecahan akibat persaingan antara fraksi politik. Sikap ketiga ialah sastera yang menjamin kebebasan berfikir dan mencipta dalam kalangan sasterawan.
Sikap seterusnya adalah sastera yang memberikan suasana bernafas untuk sastera berkembang maju.
Ada sasterawan palsu
Menentukan sikap terhadap sastera adalah politik sastera sebagaimana yang dilakukan generasi awal dalam membangkitkan kesedaran kemerdekaan dari penjajah.
Shahnon Ahmad dalam bukunya Kesasterawanan, Kepolitikan, Kealaman, Kedirian, Kemanusiaan terbitan DBP pada 1992 juga banyak menghuraikan perihal ini.
Kata Sasterawan Negara itu, politikus ibarat tikus yang hidupnya hanya mengisi tembolok sendiri. Mereka tidak pernah kenyang bahkan membawa penyakit kepada orang lain.
Sebaliknya bagi Shahnon, sasterawan adalah kelompok manusia yang kerja utamanya ialah menjadi perawan yang sering merawan, mengundah-gulanakan diri untuk faedah orang lain, serta menyusahkan hati memikirkan ilham untuk diri yang lain.
Namun, pada Shahnon tidak semua sasterawan demikian.
Bukan dinamakan sasterawan sejati jika memperalatkan sifat suka rawannya untuk tujuan-tujuan yang menyeleweng daripada landasan kesusasteraan sebenar.
Kalau seorang sasterawan menodai kesasterawanannya, dia ialah sasterawan palsu meskipun banyak merawan dan banyak bersastera. Dia patut dianggap sasterawan tikus yang suka menikus, dan gemar menyebarkan wabak penyakit dalam masyarakat.
Lihatlah beza sasterawan zaman Reformasi dengan zaman Madani. Sewaktu reformasi, mereka menggubah pena menjadi beracun. Dialah mafia dalam berkuasa dan berkarya.
Setelah Madani, berubah 180 darjah menjadi penjilat, atau pemukul gong sastera negara. Dia sebenarnya sasterawan tidak berguna.
Sebagai politikus jasa Shahnon tidaklah sebesar jasanya dalam dunia kesusasteraan. Dia juga tidak menafikan wujud politikus yang baik dan tidak menikus.
Namun bagi dia, sejarah memperlihatkan bahawa perangai politikus di mana-mana pun memang penikuslah.
Cuma pada peringkat awal kepolitikusan itu, dia gemar merawan dan suka mengundah-gulanakan hatinya demi memikirkan rakyat. Dalam media sosial, dia dan juak-juaknya akan mengusung kamera telefon bimbitnya untuk mempamerkan kerawanan dirinya demi rakyat.
Namun setelah berjaya menggenggam kuasa, dia bukan saja menikus bahkan rakyat pula gundah-gulana dan derita kerananya.
Politik sebagai idea sastera berliku cabang penceritaannya.
Tiada pengalaman yang lebih indah dan bermakna selain daripada karya sastera yang berasaskan kemanusiaan.
Kadangkala sukar difahami dan sulit mencari maknanya. Dia menyulitkan otak pembaca kerana dari kesulitan itu menghasilkan pencerahan.
Idea sasterawan sejati tidak mati. Ideanya hidup meski dia tiada jawatan dan jabatan.
Bak kata Tan Malaka: ‘Ingatlah! Bahawa dari dalam kubur, suara saya akan lebih keras daripada dari atas bumi’.
MUHAIMIN SULAM ialah penulis, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.