Paling Popular
Terkini

KOLUM | Berita terakhir pada Isnin lalu ialah perundingan antara Hamas dan Israel untuk mendapatkan gencatan senjata di Gaza dan pertukaran tahanan terhenti kerana persetujuan tidak dicapai. Rundingan itu berlangsung di Kaherah dengan Mesir menjadi tuan rumah dan orang tengah.

Pegawai perkhidmatan rahsia Israel dilaporkan berada di Kaherah. Andaiannya ialah mereka berunding dengan perkhidmatan rahsia Mesir. Namun tidak dimaklumkan tentang kehadiran wakil Hamas. Adalah dipercayai pertemuan langsung antara Hamas dengan Israel. Komunikasi antara Hamas dengan Israel dilakukan melalui Mesir.

Israel tidak mengiktiraf Hamas sebagai wakil Palestin. Mereka hanya nengiktiraf Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) sebagai wakil kepada rakyat Palestin. PLO yang terdiri daripada 10 pertubuhan Palestin mengiktiraf Israel tetapi menolak pendudukan mereka ke atas Baitulmaqdis Timur, Tebing Barat dan Gaza.

Pengiktirafan PLO itu adalah berasaskan persetujuan Israel ketika ia berada di bawah Parti Buruh bahawa sebuah negara Palestin merdeka ditubuhkan di Tebing Barat dan Gaza dengan beribunegarakan Baitulmaqdis Timur.

Tetapi apabila Parti Buruh kalah pilihan raya umum yang dimenangi oleh Parti Likud pada 2015, persetujuan untuk menubuhkan negara Palestin merdeka terhenti. Sebaliknya penempatan-penempatan Yahudi terus dibina di Tebing Barat menandakan bahawa Israel mahu terus menguasai wilayah itu. Ia juga mahu Baitulmaqdis Timur disatukan dengan Baitulmaqdis Barat untuk menjadi ibu negara Israel.

Hamas tidak mengiktitaf Israel. Ia mahu wilayah Palestin yang asal ketika menjadi Mandat British sebelum tahun 1948. Iaitu bertepatan dengan slogan “Dari sungai (Jordan) ke segara (Laut Mediterranean), Palestin tetap merdeka.”

Pembunuhan pemimpin Hamas

Selain Hamas, satu kumpulan yang tidak mengiktiraf Israel ialah Jihad Islami. Kumpulan ini turut berjuang bersama Hamas dalam peperangan di Gaza pada masa ini. Baru-baru ini apabila Ismail Haniyeh dibunuh, Jihad Islami mengeluarkan kenyataan solidariti bersama Hamas.

Israel dan Amerika menyenaraikan Hamas sebagai pertubuhan pengganas. Maka ia enggan berhubung dengan Hamas. Untuk sebarang komunikasi ia menggunakan Qatar dan Mesir. Qatar bukan saja memberi tempat perlindungan kepada pemimpin Hamas tetapi dilaporkan turut menyumbang dana kepada perjuangan Hamas.

Tetapi Mesir menguasai laluan keluar masuk Gaza ke dunia luar. Selain itu Mesir mempunyai hubungan diplomatik dan perjanjian damai dengan Israel. Namun, adalah dilaporkan bahawa semua rundingan antara Hamas dengan Israel baik di Kaherah mahupun di Doha, Qatar telah dihentikan ekoran pembunuhan Ismail dipercayai oleh Israel.

Ismail adalah salah seorang anggota perunding. Apabila Israel membunuhnya, maka ia juga membunuh rundingan untuk gencatan senjata dan pertukaran tebusan. Ada penganalisis yang menyebut bahawa Israel tidak serius. Tetapi mengapa begitu? Adakah Israel sememangnya tidak mahu rundingan itu? Sebab itu ia meletakkan syarat-syarat yang tidak akan dapat diterima oleh Hamas.

Adalah dipercayai bahawa syarat utama Israel ialah Hamas hendaklah dibubarkan. Tuntutan ini sejak awal lagi dituntut Israel. Sebelum itu pernah Israel meletak syarat supaya Hamas meletak senjata. Tentulah Hamas enggan. Meletak senjata bererti hentikan perjuangan. Dengan menghentikan perjuangan sebelum mencapai kemenangan bererti menerima kekalahan. Jika kalah, maka Israel yang menang. Apabila Israel menuntut Hamas meletakan senjata bererti seolah-olah seperti jika Hamas menuntut tentera Israel meletak senjata, tentulah mereka enggan.

Tetapi kini Israel mahu Hamas dibubarkan. Perkara ini lagi tidak dapat diterima. Ia seolah-olah menyuruh parti pemerintah Israel, Parti Likud dibubarkan.

Sejak peristiwa 7 Oktober 2023, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyatakan objektif serangannya ke atas Gaza adalah untuk memusnahkan Hamas, serentak dengan membebaskan tebusan.

Maka dalam konteks ini, Israel membunuh Ismail sebagai menghapuskan pucuk pimpinan Hamas. Tetapi apa yang dilakukan itu adalah seperti Palestin membunuh Netanyahu. Maka apabila melihat apa yang berlaku di mana Ismail dibunuh di Iran adalah seolah-olah jika pihak Palestin membunuh Netanyahu di Washington, AS. Begitulah apa yang sebenarnya telah dilakukan oleh Israel.

Kunjungan Netanyahu ke Washington

Sebelum Israel membunuh Ismail, Netanyahu telah pergi ke Washington bertemu Presiden Joe Biden, Naib Presiden Kamala Harris yang baru saja mengumumkan pencalonannya mewakili Parti Demokratik dalam pilihan raya presiden November ini. Netanyahu juga bertemu dengan calon presiden Parti Republikan, Donald Trump.

Kedua-dua parti itu memberikan sokongan kepada Israel. Netanyahu berucap di Kongres dan majoriti ahli kongres memberi tepukan kepada beliau dan menyatakan sokongan. Hanya segelintir ahli kongres Parti Demokratik yang membantah Israel membunuh begitu banyak orang awam khususnya wanita dan kanak-kanak di Gaza. Bagi Israel, kematian itu adalah “collateral damage” atau kerosakan yang tidak dapat dielakkan dalam sesuatu peperangan. Namun bagi banyak pihak di dunia, Israel telah melakukan genosid dan penghapusan etnik. Genosid bermaksud pembunuhan berdasarkan kaum. Israel sedang melakukan pembunuhan bangsa Palestin dengan tujuan menghapuskannya.

Kamala Harris menegur Netanyahu berkenaan jumlah kematian besar orang awam terutama kanak-kanak. Perkara itu tidak dapat diterima oleh Amerika dan juga ada sekutunya iaitu Jepun mempertikaikan pembunuhan orang awam khususnya kanak-kanak oleh tentera Israel. Tetapi Netanyahu mengingatkan kuasa besar itu bahawa Amerika dan Israel menghadapi musuh yang sama, iaitu Iran. Secara geopolitik, Hamas, Hezbollah dan Yaman dilihat hanyalah sebahagian daripada tangan Iran. Iaitu seperti Israel merupakan tangan Amerika.

Maka kalau dilihat garis masa, Israel kelihatannya tidak mahu gencatan senjata. Israel juga tidak mengambil berat terhadap keselamatan warga negaranya yang menjadi tebusan. Tekanan antarabangsa khususnya dari sekuru-sekutunya di Eropah dan dari Amerika sendiri supaya gencatan senjata diadakan demi kemanusiaan memaksa Israel berbuat demikian. Kelihatannya, Israel melumatkan Gaza hingga langsung tidak boleh bangkit semula supaya tidak ada lagi ancaman terhadap mereka. Sebab itu jika pembunuhan Haniyeh menjejaskan rundingan gencatan senjata, maka dibiarkan saja. Lepas selesai Gaza, perhatian Israel adalah pada penghapusan Hezbollah. Tetapi ancaman terbesar bagi Israel masih tetap Iran.

Ketika Netanyahu ke Washington, tentulah banyak pihak tertanya-tanya apakah yang akan dilakukan oleh Israel pada waktu terdekat hinggakan perdana menterinya perlu pergi ke Rumah Putih untuk memberi taklimat.

Selepas pembunuhan Ismail, seorang penganalisis akademik di Tel Aviv memberitahu Al-Jazeera bahawa tidak mungkin pembunuhan yang dilakukan oleh Israel itu dibuat tanpa izin Amerika.

Sebaik saja berlaku pembunuhan itu, Amerika cuma berkata pembunuhan itu tidak akan membawa kepada perang lebih besar di Timur Tengah. Ini kerana banyak pihak menyatakan bahawa perbuatan Israel itu boleh membawa peperangan yang lebih luas di rantau itu.

Apa yang dimaksudkan dengan perang besar adalah konflik yang bermula dengan Hamas dan Israel akan menjadi luas hingga membabitkan Iran dan Amerika. Dalam kata lain, Amerika tidak mahu terheret dalam perbalahan antara Iran dan Israel. Tetapi dari sudut lain pula, jika Iran berperang dengan Israel tentulah Amerika bertanggungjawab mempertahankan negara Yahudi itu. Sebab itu Netanyahu pergi ke Washington sebelum pembunuhan Haniyeh.

Provokasi terhadap Iran

Dalam serangan terhadap Gaza pun, Amerika bukan saja memberi bantuan senjata kepada Israel tetapi juga menempatkan kapal tentera lautnya berhampiran. Azam Iran hendak membalas pembunuhan terhadap Ismail mesti mengambil kira tindak balas Amerika.

Setakat rencana ini ditulis pada hari Selasa lalu, Iran belum melakukan serangan. Tetapi Israel dan Amerika dipercayai sedang bersedia dan menanti serangan itu. Malah tentunya agensi perisikan mereka iaitu CIA dan Mossad sudah menyampaikan maklumat mengenai apa yang Iran akan lakukan. Dengan melihat cara pembunuhan Ismail itu, hampir pasti terdapat banyak tali barut ejen Amerika dan Israel di Iran. Ejen perisikan Iran pun kalah.

Dari satu segi, Iran berhutang nyawa pada Hamas. Ini kerana Iran gagal melindungi tetamunya itu. Di kalangan masyarakat Islam, tetamu dimuliakan di mana segala keperluannya apatah lagi keselamatannya dipenuhi. Lebih-lebih lagi tetamu yang datang untuk menghadiri satu majlis terpenting negara iaitu pelantikan presiden baru.

Tentu menjadi tanda soal. Mengapakah Israel tidak membunuh Ismail semasa berada di Qatar? Jawapannya ialah Israel tidak mahu melanggar kedaulatan Qatar. Malah Israel tidak akan melanggar mana-mana ruang udara negara Arab yang dianggap bukan musuhnya. Selain Qatar, negara-negara Teluk Parsi yang lain termasuk Arab Saudi dan juga Mesir. Tetapi Israel tidak teragak-agak melanggar ruang udara Lubnan, Syria dan Iraq pada zaman Saddam Hussein.

Israel membunuh ketua Hamas kerana beliau berada di Iran. Bukan saja ia dapat menghapuskan ketua Hamas tetapi juga melakukan provokasi terhadap Iran. Tetapi untuk apa? Untuk menunjukkan Iran tidak mampu melawan Israel kerana Amerika berada di belakangnya. Amerika yakin peperangan tidak akan berlaku dengan meluas kerana Iran tidak akan mahu berperang dengan Amerika yang jauh lebih kuat. Iran tidak akan mahu menjadi Iraq, Syria, Afghanistan dan Libya.

Tetapi mengapa Iran perlu mengundang Ismail pada majlis pelantikan Presiden Masoud Pezeshkian? Iran perlu mengundang beliau untuk menyatakan mereka bersekutu. Ismail pula perlu memenuhi undangan itu. Tidak ada pilihan lain.

Israel kini berjaya untuk tidak meneruskan rundingan bagi gencatan senjata. Genosid penduduk Gaza diteruskan. Matlamatnya adalah Gaza dan Tebing Barat dimasukkan ke dalam Israel tanpa perlu memikirkan mengenai rakyat Palestin.

Namun ia tidak semudah itu. Iran boleh saja meneruskan program meningkatkan keupayaan senjata nuklearnya. Buat masa ini, Rusia dan Korea Utara meningkatkan hubungan ketenteraannya dengan Iran. Semuanya jadi tidak elok bagi dunia.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS